klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Rabu, 28 Oktober 2009

Tiga Exco Terengganu Akan Di Gugurkan

Wednesday, 28 October 2009 04:42 Editor

KUALA TERENGGANU – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali dikatakan berikrar untuk taat setia kepada Menteri Besar Dato’ Ahmad Said mengukuhkan dakwaan, satu rombakan ahli Exco kerajaan negeri Terengganu akan berlaku.
Sumber dari pusat pentadbiran kerajaan negeri, Wisma Darul Iman memberitahu, rombakan tersebut akan berlaku selepas sidang DUN Disember ini atau pada awal tahun hadapan.Walaupun ’cakap-cakap’ berkaitan rombakan ahli Exco Terengganu sudah banyak kali dihebohkan, bahkan pernah dinafikan oleh Ahmad Said, namun berita mengenainya tetap muncul kembali.
Pada Oktober tahun lalu, Ahmad Said pernah mengugut untuk memecat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad yang juga ADUN Pengkalan Berangan kerana mengengkari arahan beliau.Ahmad berkata beliau berhak menggugurkan Yahya kerana ia terletak di bawah bidang kuasanya. "Saya kira apa (kehendak peringkat akar umbi)? Kehendak saya dia kena ikut juga. Saya menteri besar dan ada hak terhadap Exco saya...saya yang lantik. Hak bahagian melantik ketua bahagian, hak saya melantik Exco.“Dua keadaan berbeza. Dia tak langgar disiplin parti, tapi langgar arahan saya," katanya. "Saya mengarahkan semua Exco supaya tidak terbabit dalam pertandingan jawatan utama peringkat bahagian sebelum pertandingan peringkat cawangan lagi kerana saya minta mereka beri tumpuan kepada jawatan dalam kerajaan dan biar orang lain pegang jawatan ketua bahagian, kecuali jika dia memang dah ketua bahagian. Itu arahan saya jelas," tambah Ahmad ketika itu.
Menurut sumber tersebut, rombakan Exco pada kali ini adalah bertujuan untuk menguatkan barisan pentadbiran Ahmad Said setelah sebahagian ADUN dari ‘Geng 10 budak hitam’ kembali menyokongnya.Ahmad Said dilaporkan telah mendapat ’ketenangan’ dalam politik setelah satu kumpulan ADUN yang berbalah dengannya, berikrar kembali taat setia kepadanya.
Pada 16 September sekumpulan tujuh ADUN Terengganu diketuai oleh Dato’ Din Adam mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.Antara ADUN yang hadir ialah ADUN Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof, Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Abd Halim Jusoh (Permaisuri), Ramlan Ali (Jabi), Wan Mohd Hakim Wan Mokhtar (Air Putih) dan ADUN Hulu Besut, Nawi Muhamad.
Din Adam dilaporkan mengumumkan pendirian mereka dan menjelaskan hubungan sesama ADUN terbabit dengan Menteri Besar, Ahmad Said adalah sentiasa baik dan tidak pernah timbul soal perpecahan. “Kita tiada masalah dengan Menteri Besar, kita juga akur kepada pelantikan yang telah dibuat, kita tidak sesekali akan derhaka,” kata Din Adam.
Namun, pemerhati politik melihat, pertemuan Din Adam dan kumpulannya ke Putrajaya adalah untuk memperkuatkan pengaruh Hishamudin di Terengganu, selain mencari ’laba politik’ untuk diri masing-masing.
Ekoran pertemuan itu, Din Adam telah dilantik Hishamudin sebagai Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri, menjadikannya orang yang paling berkuasa dan berpengaruh di Terengganu masakini.Oleh yang demikian, giliran mereka yang bersama Din Adam pula dibalas jasanya.
Justeru, tiga orang dikalangan sepuluh Exco kerajaan negeri yang masih bermasalah dengan Ahmad Said bakal digugurkan.Menurut sumber itu lagi, salah seorang daripadanya telah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan kerana masalah dalaman Umno dan MB Terengganu yang tidak berkesudahan. Seorang daripadanya dikatakan ‘rela dan redha’ sekiranya beliau digugurkan dari jawatan Exco, kerana tindakan dan cakap-cakapnya begitu ’bebas dan sudah tidak terbatas’. ”Manakala individu yang ketiga, sudah banyak kali disebut-sebut akan digugurkan kerana beliau memang amat tidak disenangi oleh MB,”kata sumber tersebut.
Oleh yang demikian, sebagai gantinya, tiga orang akan dipilih di kalangan ‘Geng 10 budak hitam’ yang telah berpaling tadah dan kembali ke pangkuan Ahmad Said.- buletioonline

Terkini: Sidang DUN Perak

11.10am: ADUN Pakatan sedang berucap di dalam Dewan, walaupun Speaker BN telah menangguhkan sindang sehingga jam 11.30 pagi.
10.52am: Walaupun sidang DUN Perak ditangguhkan, tetapi Speaker Datuk R Ganesan masih duduk di kerusinya, mungkin kerana bimbang V Sivakumar duduk di situ.
10.35am: Sekitar bangunan sekretariat kerajaan negeri Perak dikawal ketat ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pembentangan bajet bermula.
ADUN Pakatan Rakyat mendakwa polis menghalang mereka masuk ke dalam Dewan, dan mendakwa beberapa orang daripada mereka telah dikasari. Mereka masuk ke Dewan sewaktu Speaker menangguhkan sidang selama sejam mulai jam 10.20 pagi.
10.22am: ADUN Pakatan masuk ke dewan, sambil mengejek Speaker sebelum duduk di tempat masing-masing.Terdengar komen: "Wah! Speaker haram, bodyguard banyak" dan "Woi, Ganesan pakai sari lebih baik lah!".
10.20am: Ganesan menangguhkan sidang dewan sehaingga jam 11.20 pagi.
10.15am: Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mula membentang bajet. ADUN Pakatan belum kelihatan.
Bagaimanapun, satu drama berlaku di luar bangunan.Sepasukan anggota polis yang diketuai oleh OCCI Ipoh Anthony Glenn didakwa menghalang ADUN Pakatan daripada masuk ke Dewan beberapa kali dan mengkasari sebahagian daripada mereka.
Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin memberitahu pemberita bahawa mereka dihalang sebelum dapat menaiki lif.Sivakumar mendakwa anggota polis merampas songkoknya, tetapi tidak berjaya merampas jubahnya.
ADUN masuk semula ke dalam bangunan selepas sidang akhbar, tetapi Sivakumar muncul semula bersama ADUN Jalong Leong Mee Meng - kali ini tanpa memakai jubah."Mereka merampas jubah saya dan memukul beberapa orang ADUN di dalam bangunan," dakwanya.
10.20am Speaker Datuk R Ganesan menangguhkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selama sejam sehingga jam 11.20 pagi.
10.05am: Speaker Datuk Ganesan memulakan sidang dengan membuat pengumuman mengenai larangan penggunaan alat-alat rakaman dan telefon bimbit di dalam Dewan. Pengawal keselamatan dewan diberi kuasa merampasnya.
Katanya, jumlah pengawal keselamatan telah ditambah - sekurang-kurangnya 22 orang di dalam Dewan - bagi menghalang berulang kekecohan seperti yang berlaku pada 7 Mei lalu.
Dewan bertafakur sebentar berhubung kejadian seorang peserta perkhemahan 1Malaysia yang lemas di Kampar malam kelmarin, apabila jambatan gantung yang dilalui peserta runtuh.
10.00am Sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bermula dengan bacaan doa. Kerusi pembangkang masih kosong, ekoran spekulasi ADUN Pakatan masih melalui pemeriksaan ketat.
9.50am Semua ADUN Pakatan Rakyat masuk ke bangunan sekretariat kerajaan negeri selepas melalui dua sekatan polis. Polis membiarkan mereka masuk.
9.45am Para ADUN Pakatan Rakyat mula bergerak dari pejabat DAP untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. V Sivakumar kelihatan memakai jubah Speaker.9am: Masih tidak nampak sebarang perhimpunan tetapi ADUN mula memasuk bangunan sekretariat. Antara yang awal tiba ialah pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham Thomas Su tetapi mereka tidak dibenar masuk ke dalam bangunan, menyebabkan berlaku pertengkaran antara kedua mereka dengan polis. Akhirnya, polis membenar Ngeh dan Su masuk.
Laporan awal:Polis mengawal ketat di luar bangunan sekretariat kerajaan negeri di Ipoh pagi ini menjelang sidang DUN untuk pembentangan bajet.Helikopter polis kelihatan berlegar-legar di udara di atas bangunan sekretariat. Para wartawan masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pemeriksaan ketat.
Sidang tersebut dipanggil oleh kedua-dua Speaker BN, Datuk R Ganesan dan Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar. Ganesan sebelum ini menggantikan Sivakumar ekoran kontroversi BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Mei lalu.
Ekoran Pakatan masih terus mempertikaikan kesahan kerajaan negeri BN, maka sidang hari ini dijangka panas.Bagi mengelak sebarang kekecohan, pihak polis juga telah mendapatkan perintah mahkamah lewat semalan untuk melarang sebarang perhimpunan dalam jarak 50 meter dari bangunan sekretariat. Perintah itu berkuatkuasa hari ini sehingga 11 malam Jumaat ini.
Awal pagi ini, polis telah menempatkan sekurang-kurangnya lapan trak, sebuah van, dua jib, dua tarik Unit Simpanan Persekutuan dan dua trak meriam air di luar bangunan sekretariat.Kenderaana pertama polis tiba di bangunan itu pada kira-kira jam 6.20 pagi. Beberapa anggota polis juga ditempat di dalam bangunan tersebut.pada jam 7 pagi, anggota polis mula memasang benteng dan dawai berduri untuk menghalang orang ramai yang tidak berkenaan masuk ke bangunan tersebut. Kira-kira 450 anggota polis berkawal di bangunan itu.
Sidang dewan dijadual bermula jam 10 pagi tetapi pintu bangunan sekretariat dijangka dibuka pada jam 9 pagi untuk membolehkan ADUN Bn masuk ke dewan.Difahamkan ADUN Pakatan hanya akan dibenarkan masuk ke dewan pasda jam 9.55 pagi, bagi mengelak berlaku insiden merebut kerusi Speakar.Malaysiakini

Keluarga mohon gali mayat Teoh

Okt 27,
Keluarga Teoh Beng Hock hari ini mengemukakan permohonan ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi mendapatkan perintah membenarkan mayat pembantu politik itu dikeluarkan dari perkuburan untuk pemeriksaan bedah siasat kedua.Permohonan itu, yang turut disertakan dengan afidavit bersumpah oleh abang mendiang, Teoh Meng Kee, dibuat melalui peguam mereka Gobind Singh Deo pada pukul 3.45 petang tadi.
Dalam afidavit itu, Meng Kee, 33, menyatakan bahawa keterangan pakar forensik Thailand, Dr Porntip Rojanasunand di mahkamah minggu lalu yang mendedahkan kemungkinan Beng Hock mati akibat dicekik dan didera perlu dibuktikan dengan melakukan pemeriksaan ke atas mayat itu sekali lagi.
"Saksi ini telah memberitahu bahawa, pemeriksaan yang beliau jalankan melalui gambar-gambar bedah siasat menunjukkan terdapat kesan tekanan di bahagian kiri leher si mati dan kesan hematoma di bawah permukaan kulit bahagian itu yang konsisten dengan 'kesan cekik secara manual' pada si mati.
"Juga kecederaan di bahagian dubur si mati tidak konsisten dengan kecederaan daripada jatuh dari tempat tinggi dan kelihatan terdapat cedera akibat penembusan di bahagian itu," katanya dalam afidavit itu.Ini berbeza dengan keterangan pakar bedah dan forensik Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar yang melakukan bedah siasat ke atas mayat Beng Hock, yang merumuskan kematian mendiang adalah kerana jatuh dari tempat tinggi.
"Kedua-dua saksi ini telah memberikan keterangan pendapat bahawa kemungkinan besar si mati telah membunuh diri. Walau bagaimanapun Dr Khairul ada menyatakan kemungkinan yang si mati telah dicederakan sebelum jatuh," kata Meng Kee.Beliau berkata Dr Porntip, melalui keterangannya di mahkamah, telah merumuskan bahawa Beng Hock tidak meninggal dunia kerana bunuh diri, sebaliknya mati dibunuh.
Oleh itu Dr Porntip perlu diberikan peluang sepenuhnya untuk mengendalikan pemeriksaan ke atas mayat Beng Hock bagi menentusahkan keputusan dan pendapat beliau, menurut afidavit itu lagi.Dr Porntip, 54, merupakan ketua pengarah Institut Sains Forensik Sentral, Kementerian Kehakiman Thailand dan telah dipanggil oleh kerajaan negeri Selangor untuk memberikan keterangan dalam prosiding inkues bagi membantu menyiasat punca kematian Beng Hock.
Pada 16 Julai, Beng Hock, setiausaha politik kepada anggota exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salahguna peruntukan kerajaan negeri Selangor di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bangunan yang sama.Mayatnya telah dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor.
Di luar mahkamah, Gobind memberitahu media beliau berharap permohonan itu akan didengar di mahkamah secepat mungkin, dan berkata jika permohonan itu dibenarkan, pemeriksaan ke atas mayat Beng Hock akan dilakukan oleh Dr Porntip pada awal bulan depan. BERNAMA

Saya sudah tua untuk didalangi — Nik Aziz

Oleh - Mohd Zuharman
KOTA BHARU, Okt 25 — “Saya dah tua tak perlu jadi didalangi orang dah. Seperti yang saya katakan saya hanya hendak jaga parti saya supaya dihormati sampai bila bila. Masalah letak jawatan tu… Selagi umur saya ada, banyak lagi perkara yang belum berakhir.”Inilah penegasan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap beberapa kenyataan kononnya bukan Nik Aziz yang membuat kenyataan agar diadakan satu mesyuarat khas untuk menukar kepimpinan partinya.
Nik Aziz menafikan tuduhan kononnya dia telah didalangi pihak tertentu dalam membuat kenyataan atau cadangan tersebut dan tindakannya itu adalah sebagai tindakan terakhirnya sebelum melepaskan jawatan.Antara yang membuat kenyataan seolah-olah Nik Aziz hanya membuat kenyataan berdasarkan pandangan orang lain adalah Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir yang tidak percaya kenyataan itu datang dari Nik Aziz sendiri.
Harun berkata, beliau tidak percaya Nik Abdul Aziz yang menulis di dalam blog berhubung muktamar khas itu.“Setakat ini saya masih tak percaya Tok Guru Nik Abdul Aziz buat keputusan seperti itu,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Jubli Perak Pasti Negeri Terengganu di Dewan Banat Maahad Darul Quran, Rusila, petang ini.
Katanya, walaupun perkara itu terdapat di dalam blog tok guru, namun siapa sebenarnya yang menulis tidak diketahui.“Saya tak percaya tok guru kata. Saya rasa bukan tok guru (tulis). Saya kenal tok guru,” ujarnya.Baginya, dengan kecanggihan yang ada sekarang, sesiapa sahaja boleh menulis dan memasukkannya ke dalam blog Menteri Besar Kelantan itu.
Kenyataan kedua-duanya membayangkan seolah-olah Nik Aziz dipergunakan oleh sesetengah pihak yang rapat dengan beliau untuk membuat kenyataan sebegitu. Yang menjadi sasaran adalah bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang dianggap sangat rapat dengan Menteri Besar Kelantan itu.Ketika ditanya media mengenainya,
Nik Aziz menegas, beliau sudah tua dan tidak perlu jadi dalang orang.Beliau memberitahu, apa yang diluahkan tidak ubah sebagai melontarkan buah pikiran demi menjaga keluhuran parti kerana parti PAS adalah sebuah parti yang dihormati oleh seluruh masyarakat.
Dan umumpun sudah maklum bahawa PAS sebelum ini memang bertindak dalam membuat sesuatu keputusan ialah secara kolektif iaitu malaui Majlis Syura yang juga berfungsi sebagai tempat membuat dasar.“Jadi kalau ada orang yang tidak setujupun tidak mengapa, saya tidak kecewa. Saya Cuma beri idea bila timbul sesuatu yang memaksa saya buat begitu,” katanya yang juga sedikitpun tidak merasa kesal terhadap penolakan PAS Selangor mengenai cadangan itu.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas perasmian masjid baru, masjid Nuraini di Pasir Hor, dekat sini. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithaudeen.
Semasa menjawab soalan media kemungkinan menarik balik cadangan itu atau mungkin ada pendekatan lain dalam usaha menjernihkan keadaan Nik Aziz yang juga Menteri Besar tetap bertegas tidak ada sebab untuknya menarik balik kenyataan itu kerana baginya ia adalah realiti di dalam PAS, dan juga tidak ada pendekatan lain perlu dilakukan kerana ia adalah hanya satu teguran, bukan satu perbalahan.
Dalam pada itu Nik Aziz yakin perkara yang berbangkit itu adalah bukan satu gambaran konflik dalaman membawa kepada perpecahan PAS.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berharap perkara tersebut tidak dimanipulasikan oleh semua pihak termasuk ahli PAS sendiri sebelum kenyataan rasmi parti dikeluarkan.
Selari dengan kenyataan Nik Aziz, beliau juga menafikan wujudnya perpecahan di dalam parti.“Saya rasa tidak ada isu dalaman parti” jelasnya ringkas sambil memaklumkan akan membawa amanah Nik Aziz berhubung perkara berkenaan kepada parti samaada presiden ataupun pucuk pimpinan tertinggi parti dalam masa terdekat ini.

Tulang Besi

Bertemu Blogger2 UMNO & Pro UMNO Untuk Memfitnah Sesama Pimpinan PAS..?

Sesungguhnya saya mendapat laporan telah berlaku perjumpaan anjuran Roslan SMS dan Ustaz Mat Zain di KUIS tempohari untuk membincangkan bagaimana hendak menangani masalah2 blogger yang ramai dan majoriti “hostile” pada kepimpinan PAS Selangor.
Tidak sangka2 saya satu perjumpaan telah dianjurkan dengan beberapa orang blogger UMNO (dan PAS ada jugak) yang mana blogger2 ini jelas menampakkan kebencian mereka kepada Tok Guru Nik Aziz kita. Namun, mereka dijemput dalam satu pertemuan ramah mesra dengan kepimpinan PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Mat Isa dan Dato Hasan Ali.
Misalnya, dijemput dalam majlis itu, si Mahaguru59. Saya menulis satu artikel khas mendedahkan bagaimana dia pernah mendoakan Tok Guru Nik Aziz mati cepat. Juga dalam jemputan adalah Akasyah Sanusi Junid yang merupakan anak kepada Sanusi Junid, musuh tradisi PAS Pusat dan juga kawan saya satu sekolah agama dulu. Beliau juga tidak kurang nista dan fitnah beliau ke atas Tuan Guru Nik Aziz yang kita cintai itu.
Ada juga Mohammad Sayuti Omar/MSO/Tinta Merah yang juga saya telah jelaskan aktiviti beliau memfitnah Dato Husam Musa sehingga imej Kerajaan Kelantan terjejas sedikit akibat laporan BPR yang dilakukan oleh Norzula Mat Diah. Norzula telah membuat beberapa laporan BPR berdasarkan kepada artikel2 yang diterbitkan oleh MSO hasil dari rasa marah MSO kepada Husam kerana tidak mahu membantu rakan bisnes beliau yang UMNO dalam isu pembelian kambing Jamnapuri.
Ada juga Azizi Abdullah yang juga terkenal pro kepada Fraksi UMNO. Dan lain-lain lagi. Ada juga seekor blogger yang menggunakan nama “Blog GOMO” yang memanggil Tok Guru kita dengan nama Nik Ajis.
Selain dari itu, dijemput juga seorang Blogger nama Al Brangi yang memang bai'ah kepada kepimpinan PAS Terengganu. Kalau baca laporan beliau amat berlawanan dengan laporan blog dari Al-Banjari yang juga telah dijemput.
Tup tup dia pegi jemput juga Al Banjari, tu yang meletup isu ini sampai ke puncak. Dari pembacaan saya pertemuan tersebut adalah untuk membina satu pasukan blogger yang mampu mempertahankan kepimpinan PAS Selangor dan juga Fraksi UMNO di dalam usaha mereka membawa PAS kepada UMNO.
Perkataan2 Yang Tidak Enak Yang Diungkapkan Di Hadapan Blogger UMNO
Oleh kerana Al-Banjari mempunyai imej yang hanya berkata benar dan mempunyai rekod bersih berkata benar, maka di bawah di bawa beberapa ungkapan yang telah diungkap oleh Ustaz Nasa dan Hasan Ali di hadapan blogger2 UMNO yang dilaporkan di blog beliau :
Dilaporkan dalam blog Al-Banjari bahawa telah berlaku satu pertemuan antara Blogger dengan Dato Hasan dan ustaz Nasauddin Mat Isa di kediaman Dato Hasan di Pinggir Taman Tun Dr Ismail.Laporan beliau adalah :
Isu kerajaan Perpaduan antara Pas dan Umno ini sebenarnya telah dibincangkan oleh seluruh pimpinan atasan Pas. Nik Ajis tiada dalam perbincangan ini.
Seluruh Pimpinan Pas lah yang mencadangkan idea Kerajaan Perpaduan ini. Diketuai oleh Haji Hadi sebagai Presiden dan seluruh majlis tertinggi Pas.
Husam memainkan peranan yang besar dalam membawa agenda Anwar meresap dalam politik Pas.
Al-Banjari memberi respon kepada laporan dari seorang blogger UMNO yang turut dijemput. Dan beliau mengesahkan ungkapan2 di atas telah datang dari kepimpinan PAS yang hadzir. Al Banjari kata dia ada recording lagi berkaitan dengan perjumpaan tersebut bagi menentang laporan2 liar dari sumber2 UMNO.Walau bagaimanapun, ungkapan2 di atas DISAHKAN oleh Al Banjari.
Bolehkah Mengeluarkan Fitnah Pada Sesama Pimpinan?
Kalau benar apa yang disahkan oleh Al Banjari, maka ia bererti:
Isu kerajaan Perpaduan masih lagi berlegar dan masih kuat dalam mind Fraksi UMNO.
Fitnah “Husam agen Anwar” masih lagi disebarkan oleh mereka2 yang pro kepada UMNO.
Kata2 seperti “wala’” kepada pimpinan hanya kata2 kosong dari mereka kerana jelas mereka sendiri menaja fitnah ke atas Husam Musa.
Mereka mahu menyembunyikan hasrat membawa PAS kepada UMNO dengan menaikkan isu “pengaruh Anwar”. Padahal, tiada siapa yang menjadikan Anwar sebagai rujukan dalam isu ni.
Mereka lupa bahawa Arwah Ustaz Fadzil sendiri mahu melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya Barisan Alternatif menang.
Mereka kata juga mereka sokong SELCAT pada waktu yang sama mereka suruh SELCAT dirombak. DAn tiada bukti pun pegawai2 kerajaan dilayan tidak baik?
Blogger UMNO dijemput untuk membantu mereka membersihkan PAS dari pengaruh blogger yang anti kepada usaha membawa PAS kepada UMNO.
Itulah motif sebenar perjumpaan dengan Nasaruddin Mat Isa dan Hasan Ali.
Kemungkaran ini wajib dilawan dan dihentikan oleh semua ahli PAS. WAJIB.

Tulang Besi

SURAT PALSU SPEAKER V. SIVAKUMAR DISEBARKAN DI PERAK !!!!


MEMORANDUM PENDUDUK SETINGGAN KEMPAS, JOHOR

Y.A.B. Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia.

Selasa 27hb Oktober 2009

Assalamualaikum Wrh, Wbt.

MEMORANDUM PENDUDUK SETINGGAN KEMPAS

Jawatankuasa Bertindak Penduduk Setinggan Kempas telah ditubuhkan pada Jumaat 18hb April 2008 di bawah Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas. Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk membela nasib penduduk setinggan Kempas yang berjumlah lebih kurang 9,624 orang terdiri daripada 2,000 keluarga. Ia bertanggungjawab menjaga kepentingan 18 perkampungan penduduk setinggan iaitu Denai Pinggiran, Denai Utama, Denai Selatan, Denai Aman, Denai Damai, Kg Semangat, Sawa, Lurah, Seri Rahmat 1, Seri Rahmat 2, Kg Gudang Beras, Seri Kempas 1, Seri Kempas 2, Kg Lembah Murni, Permatang, Sinaran, Banjaran dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Kempas Permai.
Penduduk setinggan Kempas telah memohon untuk mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak tetapi malangnya tiada pihak yang sanggup mendengar rintihan kami. Berikut kami nyatakan tindakan-tindakan yang telah kami lakukan :
01. 20.Jun.2008 : Penyerahan Memorandum Penduduk Setinggan Kempas Kepada Y.A.B Dato’ Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor. Tetapi Tidak dilayan
02. 20.Jun.2008 : Jemputan Untuk Berdialog Bersama Menteri Besar Negeri Johor. Tetapi Tidak dilayan
03. 9.Jun 2009 : Permohonan Berjumpa Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. YassinTimbalan Perdana Menteri Malaysia. Tetapi Tidak dilayan
Lebih menyedihkan lagi adalah kenyataan yang telah dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian di dalam Dewan Undangan Negeri Johor pada 26hb Jun 2008 yang telah melabelkan setinggan Kempas sebagai ’buta hati’ dan ’buta mata’. Kami penduduk setinggan Kempas mempunyai asas-asas yang kukuh untuk menuntut kepada pihak kerajaan. Berikut adalah asas-asas tuntutan kami :
1. Kampung kami telah diteroka sejak 20 tahun yang lalu. Sebelum ini tanah ini adalah kawasan hutan yang menakutkan penduduk setempat. Kami telah membersihkan kawasan ini. Selama ini kami tidak mendapat bekalan air dan elektrik. Dengan penuh kesabaran, kami sesama penduduk saling bermuafakat membangunkan kampung ini dengan segala kekurangannya. Anak-anak dan cucu-cucu kami dibesarkan di sini. Kampung ini mempunyai sentimental value kepada kami semua. Kami sangat sayangkan kampung ini.
2. Penduduk kampung bekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan bagi membantu membangunkan negara ini termasuk perindustrian, pendidikan, perniagaan, pentadbiran dan lain-lain lagi. Secara tidak langsung penduduk kampung membekalkan tenaga buruh yang murah kepada pengembangan ekonomi negara. Penduduk kampung sangat komited dengan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan. Sebahagian daripada kami menganggotai pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan telah banyak membantu menjaga keselamatan pimpinan utama negara yang melawat ke Negeri Johor seperti Y.A.B Perdana Menteri, Y.A.B Timbalan Perdana Menteri dan ramai lagi VIP negara.
3. Penduduk kampung adalah golongan yang sangat setia kepada parti pemerintah khususnya UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu). Kami telah banyak kali menyokong parti ini dalam pilihanraya sebelum ini. Kami telah berkempen dengan sepenuh hati bagi menarik sokongan pengundi menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN). Atas sokongan padu ini BN telah menang mudah di peringkat DUN Kempas dan Parlimen Pulai.
4. Penduduk kampung kami adalah majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Sebahagian kami berpendapatan di bawah paras kemiskinan. Kelembapan ekonomi global masakini telah menyebabkan sebahagian kami kehilangan pekerjaan. Kehidupan di bandar besar seperti Johor Bahru memerlukan komitmen kewangan yang besar. Kami juga perlu menyara keluarga yang serba-serbinya memerlukan kewangan. Jikalau pihak kerajaan boleh memberi peluang kepada warga asing khususnya daripada Singapura membeli rumah dan tanah bernilai lebih daripada RM250,000 mengapa tidak kerajaan boleh menganugerahkan tanah kepada penduduk setinggan Kempas.
5. Kami juga sangat tertarik dengan pendekatan pihak Kerajaan Negeri Johor dalam menangani isu setinggan di Kg. Seri Serdang Baru, Kg Seri Jaya Baru, Perling dan Kg Pasir, Tampoi. Penyusunan semula kampung mereka telah memberi peluang kepada penduduk memiliki tanah yang cukup strategik. Sebahagian penduduk di Kampung Gudang Beras, Kempas telah menerima bantuan kewangan sebanyak RM10 ribu/sebuah rumah. Setinggan Kg Serantau Baru (Kebun Teh) telah menerima bantuan sebanyak RM10,000/sebuah rumah atau pengurangan harga rumah sebanyak RM32,000. Setinggan Kg Jalan Rajawali, Larkin Jaya mendapat sumbangan sebanyak RM25 ribu/sebuah rumah. Terkini adalah setinggan Kg Baru Pelentong Tengah hanya perlu membayar premium bagi memperolehi tanah lot di Kg Bukit Dagang, Ulu Tiram, Johor.
Tidak dinafikan bahawa pihak kerajaan telah menyediakan rumah rakyat dalam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Kempas Permai. Walaubagaimana pun kami terpaksa mengeluarkan wang lebihkurang RM2,500 untuk proses perpindahan. Setakat ini pihak Kerajaan Negeri Johor tidak langsung membantu meringankan beban kami. Kami berpindah tanpa sumbangan saguhati daripada pihak kerajaan seperti rakan-rakan kami di tempat lain. Rumah pangsa17 tingkat ini pula mempunyai perbagai masalah yang merungsingkan kami seperti masalah sosial, masalah kebersihan, jenayah yang meningkat, kekurangan kemudahan infrastruktur dan kelemahan pengurusan. Kami sangat bimbang PPR Taman Kempas Permai bakal menjadi seperti Rumah Pangsa Larkin yang telah menjadi liabiliti kepada imej Kerajaan Negeri Johor sekarang.
Pihak kami sangat teruja dengan keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Y.A.B. Lim Guang Eng yang telah menguruskan setinggan di Kg Buah Pala dengan baik, di mana pihak Syarikat Perumahan telah menganugerahkan mereka sebuah rumah bernilai RM500 ribu/sebuah keluarga. Walaupun umur Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat (PR) baru setahun jagung tetapi mereka telah memberi perhatian yang lebih kepada rakyatnya. Berbanding dengan kami yang telah 30 tahun menyokong BN tetapi tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
Y.A.B. Perdana Menteri telah melancarkan agenda Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kami merasakan agenda ini adalah sangat bersesuaian dengan kehendak semasa. Tahniah diucapkan. Sehubungan itu pihak kami mendesak Y.A.B merealisasikan agenda rakyat ini dengan melunaskan tuntutan-tuntutan kami seperti di bawah :
1. Memohon Y.A.B Perdana Menteri turun ke Kempas untuk mengadakan dialog terbuka dengan seluruh setinggan Kempas tidak kira fahaman politik.
2. Menganugerahkan tanah milik kekal kepada kampung setinggan yang tersusun.
3. Memberikan sumbangan kewangan sekurang-kurangnya RM30,000 bagi setiap rumah dan menawarkan rumah sewa-beli atau gantian tanah di tempat lain.
4. Menangguhkan notis Mengosongkan Tanah Kerajaan yang telah dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah Johor Bahru di Kg Denai Pinggiran, Kempas dan dan sekitarnya sehingga tuntutan kami dipenuhi.
Pihak Kerajaan Negeri Johor sering memberi alasan kekurangan dana untuk memberi sumbangan kepada rakyat Johor khususnya setinggan Kempas. Di sini suka untuk kami nyatakan sumber kewangan yang seharusnya dimanfaatkan oleh pihak kerajaan. Dalam jawapan kepada Dewan Undangan Negeri Johor pada November 2008, telah dinyatakan bahawa pada mesyuarat kerajaan negeri Johor bertarikh 14hb Ogos 2007 kerajaan negeri telah membuat keputusan bahawa kerajaan persekutuan perlu menjelaskan ¼ bayaran premium tanah kawasan tanah Hospital Permai sebanyak RM108,492,450 kepada kerajaan negeri Johor. Tanah Hospital Permai adalah tanah yang didiami oleh sebahagian setinggan Kempas. Sebagai kerajaan yang prihatin kepada rakyat, tentulah pihak kerajaan boleh memperuntukkan sebahagian kecil daripada nilai premium ini kepada rakyat untuk mengurangkan bebanan kami.
Semoga perlunasan terhadap tuntutan ini menjadi bukti kepada rakyat Malaysia bahawa Y.A.B sangat serius terhadap agenda rakyat yang telah dilancarkan.
Sekian, Terima Kasih. Wassalam
Yang Benar
Ramli Bin Hj. Ibrahim
Pengerusi
JAWATANKUASA BERTINDAK,
PENDUDUK SETINGGAN KEMPAS,
NO 39 JALAN DAHLIA 9,
TAMAN DAHLIA,
81200 JOHOR BAHRU, JOHOR
Tel Pej : 07-2346997, H/P : 019-7285174,
No Fax : 07-5205002
s.k : Y.A.B Dato’ Abdul Ghani Bin Othman,Menteri Besar Johor
Y.B Datuk Sri Anwar Ibrahim.Ketua Pembangkang/ Penasihat PKR
Y.B Dato’ Sri Hj. Abdul Hadi Awang.Presiden PAS
Y.B Lim Kit Siang.Pengerusi DAP
Y.B Dato Nurjazlan Bin Mohammad.Ahli Parlimen Pulai