klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Isnin, 28 Februari 2011

Tiga dalil Dr M pengkhianat Melayu

Exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa mengemukakan tiga dalil bagi membuktikan dakwaannya bahawa mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad "pengkhianat Melayu".

Menurutnya, beliau sudah lama berpandangan sedemikian. Antara buktinya itu, termasuk pendaratan minyak dan gas ke Songkla dilakukan "secara sengaja dan terancang" bagi menafikan hak Kelantan yang majoriti penduduk Melayu mendapat apa sahaja peluang faedah berkenaan.

"Bila hak Kelantan ternafi sampai kini, hak rakyat Kelantan juga ternafi dan dikhianati. 95 peratus penduduk Kelantan adalah Melayu. Maknanya Tun M mengkhianati Melayu, Melayu Kelantan secara khusus," tulis Husam di blognya.

"Kawasan JDA (perdaratan minyak dan gas) hanyalah 150 km dari pantai Kelantan berbanding 270 km ke Songkla.

"Dari Songkla, terpaksa dibina saluran paip gas daratan sejauh 180 km lagi untuk gas tersebut dibawa semula ke Malaysia melalui Kedah untuk mengelakkan Kelantan tersentuh!" kata Husam.

pas muktamar 55 husam musa 050609Husam yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan berkata susulan itu, hak royalti Kelantan dan faedah industri hiliran turut dinafikan walaupun telaga itu paling hampir dengan Kelantan berbanding semua tempat lain sama ada di Malaysia atau Thailand.

"Namun sedikit pun faedahnya tidak dapat dikecapi oleh rakyat Kelantan, baik Melayu, Cina, India dan Orang Asli. Ia adalah program politik untuk memencilkan Kelantan.

"Secara automatik Melayu Kelantan juga terpencil. Sebagai anak Kelantan, saya merasai bagaimana hak kami dinafikan. Dan saya adalah Melayu," coretnya lagi.

Ahli jawatankuasa PAS pusat itu juga mendakwa "lebih jelas lagi pengkhianatan" Dr Mahathir apabila beliau membatalkan pemberian royalti kepada kerajaan Terengganu yang diberikan selama 22 tahun selepas negeri itu terlepas daripada BN.

"95 peratus rakyat Terengganu adalah Melayu. Sekali lagi Tun M lupa kepentingan Melayu demi kepentingan kepartian Umno semata-mata. Melayu Terengganu juga dikhianati.

mahathir and malay people"Tun M sanggup membatalkan apa yang telah menjadi amalan selama ini demi kerana politik.

"Orang seperti ini meletakkan politik parti mengatasi segala-galanya dan soal Melayu dengan sendirinya adalah lebih kecil dari kepentingan politik," katanya.

Dalam tulisan itu juga, Husam berkata pilihan raya 1999 menyaksikan perubahan sokongan pengundi Melayu terhadap Umno berikutan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri sehingga menyebabkan kuasa Umno tergugat.

"Pengundi bukan Melayu memilih untuk bersama BN pada waktu itu. Apa yang dilakukan oleh Tun M?

"(Beliau) mengubah sempadan pilihanraya dengan memasukkan kawasan pengundi bukan Melayu ke dalam DUN atau Parlimen majoriti pengundi Melayu di seluruh negara supaya peratusan pengundi Melayu mengecil untuk menjamin kemenangan Umno/BN," katanya.

azlanDengan nada sinis, Husam yang juga ADUN Salor mempersoal angkara siapa yang menyebabkan hari ini pemimpin Umno melaungkan 'ketuanan Melayu' terancam.

Sehubungan itu, beliau menyatakan kesediaannya untuk berdebat dalam diskusi ilmiah dengan bekas presiden Umno itu mengenai isu pengkhianatan Melayu oleh Umno

"Sementara itu, siapa sahaja yang mempunyai pandangan terhadap bagaimana Umno mengkhianati Melayu selama ini boleh berkongsi mengenainya dalam FB '54 tahun Umno Khianati Melayu'" katanya.

Program 100 Hari Pakatan Rakyat garis 3 tujuan utama

Program 100 Hari Pakatan Rakyat yang bakal dilaksana apabila Pakatan mentadbir Putrajaya adalah program tiga serangkai bertujuan meningkatkan pendapatan bolehguna rakyat, mengurangkan perbelanjaan dan memperbetul masalah struktur di dalam masyarakat.

Demikian dinyatakan Pengarah Strategik KEADILAN, Rafizi Ramli dalam forum Buku Jingga di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor .

“Empat program dirangka untuk meningkatkan pendapatan rakyat, tiga program bertujuan mengurangkan perbelanjaan rakyat agar pendapatan bolehguna rakyat bertambah, sementara tiga lagi bertujuan memperbetul masalah struktur di dalam masyarakat, seperti Akta Keselamatan dalam negeri dan isu pendatang tanpa izin di Sabah,” kata Rafizi.

Forum tersebut dipengerusi Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi dan turut disertai Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Pakatan Rakyat semasa Konvensyennya November tahun lalu melancarkan Buku Jingga yang menggariskan 10 agenda utama dalam Program 100 Hari selepas mentadbir negara.

Antara lain mereformasikan institusi penting seperti SPR,SPRM dan PDRM, mengambil alih konsesi lebuhraya, merombak struktur subsidi dan menaikkan gaji guru serta kakitangan pendidik.

Pakatan Rakyat juga berjanji untuk menghapuskan penswastaan pengurusan air, menyediakan Wi-Fi percuma kepada rakyat, membatal Felda Plantations, menaikkan royalti minyak sebanyak 20 peratus dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin di Sabah.

Rafizi, antara individu yang terbabit dalam merangka Buku Jingga menerangkan aspek bagaimana Program 100 Hari tersebut mampu dilaksana apabila Pakatan mentadbir negara.

Menurutnya, fokus utama Program 100 Hari tersebut adalah memastikan sebarang inisiatif ekonomi perlu sampai terus kepada rakyat kebanyakan.

“Perancangan kita tidak bertumpu kepada ‘pertumbuhan’ semata-mata seperti diuar-uarkan Barisan Nasional. Samada ‘pertumbuhan’ itu sampai ke bawah atau tidak, tidak pernah mereka ambil pusing.

“Pada pandangan Pakatan Rakyat, tidak kira betapa banyak pertumbuhan ekonomi berlaku, yang penting realiti ekonomi yang dirasai rakyat di bawah adalah perkara utama yang kita fokuskan,” kata Rafizi yang juga Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Tambah Rafizi lagi, realiti pada hari ini 40 peratus rakyat masih hidup di bawah paras kemiskinan. Satu keluarga dengan enam orang ahli dan berpendapatan cuma RM1,500 dianggap sebagai berada di bawah paras kemiskinan di negara ini.

Dalam usaha mengurangkan kos pula, kata Rafizi, penghapusan tol akan memberi rakyat lebih banyak pendapatan bolehguna kerana rakyat akan mengalami perbelanjaan pengangkutan yang lebih rendah dan sebahagiannya boleh diguna untuk pelaburan dalam aspek pendidikan yang akan menggalakkan mobiliti sosial.

“Bertentangan dengan pendapat pihak tertentu mengatakan penghapusan tol sebagai langkah populis semata-mata, harga barang dan perkhidmatan akan dapat diturunkan apabila kita menghapuskan tol.

“Ini kerana tol atau pengangkutan merupakan sebahagian daripada struktur kos barang-barang yang kita beli. Maka apabila tiada lagi tol, harga barang jadi lebih murah,” kata Rafizi.

kerajaan PR Selangor telus dan berintegriti

MB : Kerajaan Selangor Dedah Laporan Kewangan GLC Di Sidang DUN Mac Ini



SHAH ALAM 27 FEB : Kerajaan Selangor akan mendedahkan laporan kedudukan kewangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dijadual berlangsung Mac ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan menerangkan kedudukan sebenar kewangan GLC untuk tahun semasa dan cara akaun dibuat kepada setiap wakil rakyat pada persidangan itu.

"Saya akan dedahkan akaun GLC negeri (secara berperingkat) bermula persidangan DUN bulan Mac. Standard (laporan kewangan) serupa macam di PNB (Permodalan Nasional Berhad) dulu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Karate di sini semalam.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi melihat aliran dan prestasi kewangan serta nilai pertumbuhan pelaburan yang dicapai ambil alih pentadbiran Selangor pada Mac 2008.

Katanya mengikut prosedur, penyata kewangan GLC negeri Selangor mesti disiapdan diaudit dalam tempoh enam bulan selepas tahun berakhir 31 Disember. Beliau juga mendakwa terdapat laporan kewangan GLC negeri itu yang tidak dikemas kini selama lima tahun sewaktu pentadbiran terdahulu.


Tidak Mustahil Asia Ikut Jejak Mesir Jika Demokrasi Ditekan - Anwar

Kebanyakan negara Asia akan berdepan dengan kebangkitan rakyat ala Mesir jika mereka terus mengekang institusi- institusi seperti badan kehakiman dan media-massa yang menjadi penanda aras demokrasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu menegaskan pemerintah autokratik di rantau ini tidak lagi boleh menghalalkan kekangan sebegitu sebagai pra-syarat mengejar kemajuan kerana lambat laun rakyat akan bangkit menolak penindasan sebegitu.

“Anggapan bahawa sesebuah kerajaan harus memusatkan segala kuasa pada dirinya, memerintah secara autokratik demi mencapai pemodenan dan membasmi kemiskinan, tanpa diselia oleh institusi-institusi berwibawa...amat bertentangan dengan konsep demokrasi dan kebebasan,’ tegas Anwar.

Anwar menyifatkan Jepun, India dan kini Indonesia sebagai pengamal sistem demokrasi yang agak rancak, manakala kebanyakan negara Asia yang lain dibelit dengan pemerintahan kuku besi.

“Pemimpin di rantau ini harus diingatkan untuk melaksanakan pembaharuan sosio ekonomi dan memperkasakan institusi-institusi demokrasi dan hak kebebasan rakyat,” kata Anwar dalam ucaptamanya mengenai forum kebangkitan Asia yang berlansung di Phonm Penh Kemboja.

Anwar berkata gerakan demokrasi di Mesir, Libya, Tunisia dan dunia Islam lain mempunyai impak yang besar ke atas negara-negara Asia.

Seperti di Timur Tengah, ramai pemerintah di Asia secara sistematik bertindak menghakis, malah memansuhkan institusi yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan keseimbangan kuasa.

“Sebagai pengganti, mereka memperkenalkan undang-undang zalim yang mencabul kebebasan asas rakyat dan konsep pengasingan kuasa yang menjadi prinsip asas sistem demokrasi,” tegas Anwar.

Akibatnya, kata Anwar, hak dan kebebasan rakyat di negara-negara Asia berkenaan semakin terhakis, tidak kira samada mereka dari golongan miskin, suku kaum minoriti atau kelas pertengahan.

“Di tengah-tengah penindasan ini, kita melihat pemimpin kerajaan begitu ghairah mencari sokongan walaupun dengan cara meniupkan api perkauman yang menggugat kestabilan negara,” tambah Anwar.

Lebih menjengkelkan apabila pemimpin negara penduduk majmuk mengawal penuh institusi-institusi negara temasuk media massa hanya untuk mencetuskan ketegangan kaum demi kelangsungan politik diri.

Dalam ucapannya itu, Anwar menegaskan selain pilihanraya yang bebas dan adil, institusi kehakiman adalah tunjang utma untuk mempertahankan kewibawaan sesebuah negara.

“Sesebuah badan kehakiman yang tercemar boleh dan akan membawa negara ke ambang kehancuran. Ia akan membawa kepada kegagalan secara terancang proses keadilan di negara itu,” kata Anwar.

Anwar melahirkan rasa kesal dengan sesetengah pemimpin Asia yang terus engkar menghayati mesej yang dibawa menerusi kebangkitan rakyat di Timur Tengah.

“Kita harus ingatkan pemimpin autokrat yang angkuh ini bahawa lambat laun mereka akan membayar harga yang tinggi kerana menolak suara rakyat menuntut kebebasan dan demokrasi,” tegas Anwar.

“Apa yang rakyat mahukan ialah keadilan sosial, kebertanggungjawaban untuk membanteras rasuah, urus tadbir telus dan pemberdayaan politik,” tambah Anwar.

BERPULOH TAHUN UMNO/BN BUAT JANJI.. 3 TAHUN MEMERINTAH PR TUNAIKAN JANJI..

Selangor selesai 100,000 permohonan tanah dalam tempoh terdekat

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mensasarkan untuk menyelesaikan sehingga 100,000 permohonan berkaitan tanah dalam tempoh terdekat ini, kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Kakitangan Pejabat Tanah Daerah telah diminta membantu penduduk mengisi borang bagi mengelak penduduk terpaksa berulang-alik ke pejabat tanah dan secara tidak langsung dapat mengelak pembaziran masa, tenaga dan wang,” kata Khalid ketika menyerahkan surat kelulusan pemberimilikan tanah kepada 164 penduduk di Kampung Sri Kundang hari ini.

Selain itu, kadar premium baru ditawarkan kepada penerima notis 5A terbabit iaitu serendah RM2.00 bagi sekaki persegi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Sekretariat akhbar menteri besar, permohonan milikan tanah untuk pembinaan kediaman di kampung tersebut dibuat sejak tahun 1999 dengan lebih 700 pemohon. Daripada jumlah itu, 571 orang telah menerima hak milik.

Pada 20 Oktober tahun lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor menerima 216 permohonan lagi iaitu baki daripada permohonan terdahulu.

“Sebahagian pemohon telah ditawarkan surat kelulusan tetapi gagal untuk menjelaskan bayaran premium sehingga tamat tempoh notis 5A. Manakala sebahagian lagi adalah permohonan baru yang tercicir,” kata kenyataan tersebut.

Jelasnya, antara sebab permohonan ditolak kerana tapak yang diberi dibiarkan kosong serta tidak diusahakan, permohonan bertindih dan dua lagi tapak telah mempunyai hak milik.

"HOSNI MUBARAK SARAWAK" LEBIH KAYA DARIPADA SULTAN BRUNEI ?!!!!

Taib Mahmud lebih kaya daripada Sultan Brunei – Clare Rewcastle

Clare Rewcastle Brown bersama Peter John Jaban giat mendedahkan kekayaan luar biasa Taib Mahmud

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Mohd Taib Mahmud adalah antara orang terkaya di dunia, melebihi Sultan Brunei, kata Clare Rewcastle Brown, adik ipar bekas Perdana Menteri United Kingdom, Gordon Brown.

Clare, pengendali laman web Sarawak Report dan stesen radio bebas – Radio Free Sarawak, berkata demikian dalam artikel yang diterbitkan London Evening Standard pada 22 Februari lalu.

“Siasatan saya mendapati sebahagian harta kekayaan Taib terdapat di London melibatkan perusahaan hotel di tengah-tengah bandar ini,” katanya dalam artikel akhbar tabloid itu.

Mengikut artikel itu, beliau turut membongkar harta kekayaan Taib melibatkan Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom yang diperoleh hasil penjualan kawasan hutan di Sarawak melalui British Virgin Islands.

Dipetik artikel sama, Clare dilapor berkata, Sarawak yang dikelilingi 95 peratus hutan hujan dengan aktiviti pembalakan dan dipenuhi ladang kelapa sawit, sebenarnya mengkayakan Taib selama 30 tahun berkuasa di negeri itu.

“Kira-kira 2.5 juta penduduk Sarawak selama ini ditindas Taib. Rakyat inginkan perubahan dalam pilihan raya akan datang, tetapi akibat amalan rasuah menjadikan beliau semakin kaya,” katanya dipetik.

Mengikut artikel itu, Clare dan rakannya, Peter John Jaban, seorang Dayak Sarawak mengendalikan siaran Radio Free Sarawak walaupun bimbang akan keselamatan mereka selepas Sarawak Report menerima ancaman bunuh.

Apatah lagi, artikel berkenaan turut menyatakan, seorang bekas pekerja Taib yang didakwa mendedahkan maklumat, dijumpai mati Oktober lalu dan kes itu masih dalam siasatan polis.

Berusia 51 tahun, Clare adalah seorang wartawan penyiasat yang memulakan kerjaya dengan BBC World Service pada 1983, berkahwin dengan adik Brown – Andrew – juga bekas wartawan dan kini seorang ahli strategi media.

Artikel itu menyatakan, Clare sebenarnya dilahirkan di Sarawak sebelum bekas tanah jajahan Inggeris itu diserahkan kepada Malaysia dan mendiami Bumi Kenyayang sehingga berusia lapan tahun.