klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Sabtu, 13 November 2010

Kenyataan rasmi sulong Presiden isu pemilihan 2010

Justify Full

PETALING JAYA, 12 Nov — Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak dakwaan bahawa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak mengambil tindakan menyelesaikan aduan mengenai kepincangan dan kecacatan dalam proses pemilihan pusat sambil merayu agar diberikan peluang untuk meneruskan proses pengundian yang sedang berlangsung.

“Kita serah kepada JPP untuk mengenal pasti aduan dan masalah yang dikemukakan dalam pemilihan parti. Dakwaan kata JPP tidak ambil tindakan adalah tidak benar.

“JPP telah kenal pasti aduan tersebut dan kita harap parti diberi peluang untuk meneruskan pemilihan kali ini,” kata Presiden Keadilan selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Fauzi Abdul Rahman dan calon jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) di ibu pejabat Keadilan di sini.

Ia merupakan kenyataan rasmi pertama sejak kontroversi pemilihan pusat tercetus awal minggu ini, yang menyaksikan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding dan melepaskan kesemua jawatan dalam parti.

Selain itu, seorang lagi calon mengemukakan memorandum memberi kata dua kepada parti agar menyelesaikan kesemua aduan termasuk membatalkan dan mengadakan semula pemilihan.

Bagaimanapun beliau pagi tadi memutuskan untuk kekal dalam saingan manakala JPP pula berkata pemilihan pusat akan diteruskan.

Kumpulan Chegubard pula malam kelmarin mengadakan perhimpunan "Rapat Anak Muda" dan meluluskan enam resolusi antara lain melantik Dato' Fauzi, Pengerusi Keadilan Pahang dan membawa perutusan meminta pucuk kepimpinan parti menangguhkan pemilihan yang diadakan sekarang.

Resolusi yang diluluskan malam kelmarin termasuklah meminta agar media tidak harus digunakan sebagai medan perdebatan, pemilihan parti seharusnya berasaskan idea segar, nilai dan rekod ke arah memperkasa anggota dan rakyat, memperakui pemilihan kali ini mempunyai banyak masalah, parti dengan segera memperberhentikan proses pemilihan yang sedang berlangsung sehingga semua aduan disiasat dan meminta semua calon atau pemimpin di semua peringkat tidak mengambil tindakan meletakkan jawatan atau menarik diri daripada bertanding.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh Bendahari Agung Keadilan William Leong dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Dr Muhammad Nur Manuty, mewakili Biro Politik.

Biro Politik telah mengadakan mesyuarat khas malam kelmarin dan memutuskan pemilihan pusat akan diteruskan.

Sementara itu, Dato' Fauzi yang ditemui selepas menyerahkan resolusi kepada Dr Wan Azizah berkata pertemuan kira-kira satu jam itu adalah satu usaha lebih kepada untuk memperkukuhkan parti.

“Pertemuan ini berjalan dengan baik, saya hanya posmen bagi menghantar resolusi kepada beliau (Dr Wan Azizah). “Resolusi yang dihantar itu lebih untuk membawa suara di peringkat akar umbi tentang masalah-masalah yang dialami, itu sahaja.

“Bagaimana pun beliau mengakui bahawa parti ada kelemahan, tapi ia bukan alasan yang boleh membantutkan parti. Kita akan usaha mencari jalan penyelesaian,” kata beliau yang enggan mendedahkan isi kandungan resolusi yang diserahkan kepada Dr Wan Azizah hari ini.

Chegubard dalam pertemuan yang dinamakan sebagai “Himpunan Anak Muda Selamatkan Keadilan” malam kelmarin melantik Dato' Fauzi sebagai “orang tengah” untuk membawa resolusi tersebut kepada pucuk kepimpinan.

Chegubard pula berkata, resolusi tersebut lebih untuk memperkuatkan dan memperkukuhkan parti dalam menghadapi ancaman politik sedia ada. “Kita hanya mahu memperkuatkan parti, cari jalan penyelesaian untuk memperkukuhkan parti. Tidak guna kalau kita menang jika parti lemah."

“Dalam pertemuan ini, saya melihat ada signal positif, jadi saya minta semua ahli tidak harus meletakkan jawatan, tarik diri tapi gunakan jawatan yang ada untuk memperkasakan parti. Dalam resolusi itu juga tiada tekanan terhadap presiden parti, tiada ugutan kepada parti, hanya niat untuk memperkasakan parti,” katanya.

“Saya sifatkan pertemuan ini membawa harapan positif, ada tanda-tanda yang positif. Walaupun tidak memutuskan sama ada pemilihan ditangguh atau tidak, kita boleh putuskan bahawa ia ada membawa petanda positif,” tambah Chegubard

Ketua Keadilan Rembau ini menjelaskan kesemua calon dan pemimpin parti perlu bersama parti demi memperkukuhkan kedudukan komponen Pakatan Rakyat ini.