KUALA TERENGGANU, 3 Jun (Bernama) -- Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dekat sini, yang runtuh pagi semalam tidak memiliki Sijil Siap Kerja yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR).Timbalan Pengarah Kerja Raya Negeri, Ghazali Hashim mengesahkan perkara itu dan berkata bumbung berkenaan adalah antara kemudahan di stadium tersebut yang belum diberikan sijil tersebut.Mengikut amalan kerja, katanya JKR akan mengeluarkan Sijil Siap Kerja terhadap bangunan milik kerajaan yang sudah siap dibina."Hanya kemudahan seperti trek, padang selain beberapa tempat di luar stadium telah diberikan sijil itu. Sijil ini telah dikeluarkan semasa penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) pada 31 Mei tahun lepas.
"Bumbung stadium masih belum diberikan sijil tersebut kerana masih dalam tempoh kecacatan (jaminan)," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek meninjau stadium berkenaan hari ini.
Ghazali berkata sebelum ini, jururunding yang dilantik telah memaklumkan kepada JKR bahawa bangunan stadium berkenaan sudah siap."Bagaimanapun, kita masih menunggu komen daripada pihak kontraktor berhubung keupayaan struktur bumbung stadium itu sebelum mengeluarkan sijil ini," katanya.
Berikutan insiden runtuhan itu, beliau berkata pihaknya akan berurusan dengan kontraktor utama stadium tersebut dan bukannya syarikat kontraktor dari Korea Selatan yang merupakan subkontraktor dan bertanggungjawab memasang bumbung tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya stadium berkenaan dijangka ditutup selama enam bulan bagi membolehkan siasatan terhadap insiden runtuhan itu dijalankan. Beliau berkata dalam tempoh itu, kerja-kerja membersih dan membaik pulih stadium berkenaan juga tidak akan dilakukan.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan