KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN MUDA KEADILAN
15 OKTOBER 2009
Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengutuk tindakan HEP Universiti Malaya (UM) yang melampau kerana mengadakan perbicaraan tatatertib yang tidak munasabah terhadap 8 orang mahasiswa UM. AMK berasa kecewa dengan tindakan HEP UM yang bukan sahaja melanggar hak kebebasan mahasiswa dalam wacana isu politik di Malaysia, malahan bercanggah dengan prinsip demokrasi serta hak kebebasan akademik mereka.
Pada 13 Oktober HEP telah menangguhkan perbicaraan tersebut. Namun demikian, pada keesokan hari HEP pula mengeluarkan surat untuk memanggil semula mahasiswa tersebut untuk tampil ke perbicaraan pada minggu depan. HEP tidak menghiraukan permintaan dari pelbagai pihak masyarakat malahan teruskan tindakan perbicaraan yang tidak munasabah. Ini merupakan satu seksaan minda kepada mahasiswa/mahasiswi yang terlibat.
AMK mengkritik HEP UM yang memanggil mahasiswa berulang kali untuk hadir ke perbicaraan. Lebih mengecewakan adalah tuduhan yang dikenakan juga bertukar-tukar. Ini membuktikan bahawa HEP tidak ada sebab yang munasabah untuk memanggil mahasiswa yang berkenaan untuk hadir ke perbicaraan. Tambahan pula, program tersebut telah mendapat kelulusan daripada pihak HEP. Mengapakah tiba-tiba HEP menyalahkan mahasiswa yang bersalah atas mengundang “orang luar” untuk menyertai program dalam universiti?
AMK berpendapat bahawa pihak HEP UM tidak harus mempersoalkan dan menghalang sebarang tetamu khas aktiviti mahasiswa kerana ini telah melanggar prinsip kebebasan akademik. Walaupun UM baru-baru ini telah berjaya masuk dalam senarai kedudukan 200 universiti terbaik di dunia, tetapi tindakan yang ditunjuk oleh HEP telah merosakkan prinsip demokrasi institusi universiti malah akan menjadi bahan gurauan masyarakat antarabangsa.
AMK tidak menafikan bahawa pihak HEP Universiti Malaya cuba wewujudkan suasana takut di kalangan mahasiswa untuk menyekat gerakan mahasiswa serta kebebasan akademik dalam kampus. Ini terbukti bahawa ada niat jahat dalam pentadbiran universiti.
Dengan ini AMK menegaskan kepada HEP UM untuk membatalkan perbicaraan tersebut dengan segera dan tanpa bersyarat.Segala bentuk hukuman termasuk amaran atau denda adalah tidak munasabah dan tidak akan diterima oleh AMK. Dengan ini barulah negara kita dapat mengembalikan kebebasan akademik di menara gading dan seterusnya mempertingkat daya saing mahasiswa kita.
LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan