klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Selasa, 1 Februari 2011

Analisis PRK Tenang : Permainan politik kotor SPR , UMNO dan signal kematian MCA

PRK DUN Tenang telah pun berakhir dan memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional ( BN ) selepas calonnya Azahar Ibrahim berjaya meraih 6,699 undi berbanding calon PAS, Normala Sudirman yang mendapat 2,992 undi. Kemenangan BN di Tenang sememangnya telah diduga daripada awal lagi . Namun atas prinsip “ LAWAN TETAP LAWAN” dan keyakinan bahawa kuasa Allah adalah penentu segala-galanya , PR terus bangkit menentang UMNO / BN di PRK Tenang . Menggunakan segala apa yang ada , serba kekurangan daripada semua segi namun atas nama prinsip perjuangan , PR yang diwakili oleh PAS terus mengorak langkah berdepan dengan BN .

Saya bersikap optimis apabila menilai statistik pecahan pengundi di DUN Tenang 47.54% Melayu , 39.08% Cina , 12.07% India dan 1.23% lain-lain kaum termasuk demografinya yang tidak memberikan natijah yang baik kepada PR . Tenang yang mempunyai 3 buah penempatan peneroka FELDA sudah pasti menyukarkan PR untuk berdepan dengan UMNO/BN yang mana peneroka FELDA adalah ‘fexed deposit’ mereka . Pengalaman saya sewaktu bertanding dalam PRU 12 di parlimen Kemaman , saya kalah teruk disemua peti undi di kawasan peneroka FELDA . Dan pengalaman di beberapa PRK yang lalu termasuk di PRK Hulu Selangor , undi peneroka FELDA adalah majoriti mereka kepada BN .

Sebelum ini pemimpin UMNO/BN terutama Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri menganggarkan kemenangan bergaya BN iaitu dengan majoriti 5000 . Tapi malangnya , sasaran tersebut telah tersasar di mana BN hanya memperolehi majoriti 3,707 sahaja . Faktor hujan dan banjir dilihat sebab musabab mengapa target mereka tidak berjaya . Atau sebenarnya mereka bersyukur disebabkan oleh faktor cuaca teruk tersebut yang menyelamatkan daripada malu , kerana cakap besar mereka tidak menjadi kenyataan .

Cuaca yang buruk tersebut telah mengakibatkan peratus yang keluar mengundi ialah 66 % berbanding 2008 ialah 73.52% . Walaupun dalam keadaan cuaca dan banjir yang menimpa , berlaku peningkatan 2% kepada pengundi melayu iaitu sejumlah 81% telah keluar mengundi . Peratusan keluar mengundi yang sungguh luar biasa . Sememangnya tidak dinafikan , bagaimana penyediaan pengangkutan kepada para pengundi oleh pihak polis , bomba dan askar telah memungkinkan para pengundi melayu terutama di kawasan peneroka FELDA keluar mengundi , tetapi peratusan tersebut benar-benar saya ragui .

Sepertimana kenyataan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar menyatakan dengan awal-awal lagi “ Tiada Pengundi Hantu di DUN Tenang” . Suatu yang pelik dan luar biasa kerana tiba-tiba dengan terlalu awal mengeluarkan respon tersebut beberapa hari sebelum hari penamaan calon pun ? Atau ada muslihat tertentu yang cuba dilakukan oleh SPR bersekongkol dengan UMNO ? Sehingga jumlah yang keluar mengundi ialah 81% walaupun dalam suasana hujan lebat dan banjir, menarik ! Kekalutan dan suasana ketika cuaca sebegitu adakah memungkinkan ‘advantage’ untuk mereka melakukan kerja kotor ini .

MCA terutama Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dalam kempennya telah menggunakan isu agama bagi tujuan meraih undi daripada kaum cina di DUN Tenang . Isu ‘Negera Islam’ dan Isu ‘Cikgu Mala tidak mahu bersalam dengan lelaki dan menggunakan sarung tangan’ dicanang bagi tujuan menakut-nakutkan para pengundi kaum cina . Malah TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju dengan tindakan Chua Soi Lek menggunakan isu ‘Negera Islam’ .

Usaha dan manipulasi isu yang telah dimainkan oleh MCA dan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek benar-benar telah digunakan sehingga mencetus rasa kurang senang dikalangan umat Islam yang mempertikaikan hukum islam berkaitan dengan isu penggunaan sarung tangan dan ketidaksediaan Cikgu Mala bersalam dengan lelaki . Muhyiddin hanya sekadar meminta supaya Chua Soi Lek untuk menghentikannya tanpa menyuruh beliau memohon maaf diatas keceluparan dan kebiadapan yang dilakukan .

Tidak sepertimana di kawasan kampung-kampung Melayu dan di kawasan Felda , pengangkutan seperti bot tidak disediakan di Bandar labis Tengah dan di kawasan para pengundi majoriti kaum cina seperti di Tenang Station , Labis dan Labis Bandar Timor . Ini menyukarkan mereka untuk keluar mengundi di pusat-pusat pembuangan undi . Seperti di Bandar Labis Tengah peratusan keluar mengundi ialah hanya 55% daripada 95% pengundi . Menurut YB Tony Pua yang merupakan Setiausaha Publisiti DAP bahawa berlaku penurunan 54% di kalangan pengundi cina .

Kebimbangan BN terhadap pengundi cina dijangka tidak mengundi BN memungkinkan tiada penyediaan pengangkutan disediakan . Segala isu yang cuba dimainkan oleh MCA dan Chua Soi Lek tidak sedikitkan memberikan kesan . Sepertimana kenyataan Ilham Centre sebuah badan yang membuat kajian terhadap pola dan sentimen pengundi PRK Tenang menyatakan bahawa kaum cina adalah lebih terkesan terhadap isu kenaikan harga barang yang tidak terkawal di bawah pentadbiran BN sekarang . Termasuk juga isu bekas Menteri Kesihatan yang juga Presiden MCA terhadap skandal seks beliau telah memberikan impak yang cukup besar kepada kaum cina walaupun Parlimen Labis adalah merupakan tempat beliau dahulu dan sekarang disandang oleh anaknya .

Isu-isu extrim yang cuba diketengahkan oleh MCA berkaitan PAS nampaknya sudah tidak dapat diterima oleh para pengundi cina . Keyakinan dan penerimaan kaum cina terhadap PAS telah meningkatkan pola sokongan kepada PAS dan PR . Kalau dilihat kepada keputusan di Bandar Tengah Labis di mana PAS – 801 , BN – 365 .

Dalam pilihanraya umum 2008, di samping Bandar Labis Tengah, PAS memenangi Bandar Labis Timor dan Labis. Namun PRK DUN Tenang BN telah berjaya memenangi Bandar Labis Timor (63.4% Cina), Labis (58.3% Cina) dan Tenang Station (54% Cina). Dan hanya PAS mengekalkan kemenangan di Labis Bandar Tengah (95.7 % Cina).

Berdasarkan analisis DAP didapati PR telah memenangi 70% undi Cina di Tenang, berdasarkan kepada keputusan dari Bandar Labis Tengah, yang merupakan 95.7% pengundi Cina dengan memperolehi 69.8% undi keseluruhannya. Bagi dua lagi daerah undi majoriti Cina - Bandar Labis Timor (63.40 % Cina) dan Labis (58.3% Cina) pula DAP mendapati PR dapat mempertahankan undi pengundi Cina di situ, tetapi kalah sokongan pengundi Melayu dan India.

Berdasarkan kepada pola sokongan kaum cina terhadap PR seharusnya menjadi satu tamparan hebat kepada MCA terutama Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bahawa MCA dan beliau sudah TIDAK RELEVAN untuk mewakili kaum cina di Malaysia . MCA bukan lagi harapan kepada majoriti kaum cina yang dilihat bersekongkol dengan UMNO menghancurkan Negara ini .

Saya merasakan sudah masanya untuk MCA DIBUBARKAN dari arena politik Negara . Chua Soi Lek tidak mampu untuk membawa perubahan baru tetapi secara jelas sudah tidak dapat diterima oleh kaum cina di Tenang khususnya dan Malaysia amnya . Persepsi negatif kaum cina terhadap MCA sudah meletakkan parti rasis tersebut perlu dikuburkan . Masa sudah tiba untuk seluruh warga tionghua yang cintakan Negara untuk mengadakan upacara menghormati kematian serta membakar ‘duit kertas’ atas kematian MCA . Sudah sampai masanya !

Ubah sekarang , selamatkan Malaysia !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan