Demikian dinyatakan Pengarah Strategik KEADILAN, Rafizi Ramli dalam forum Buku Jingga di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor semalam.
“Empat program dirangka untuk meningkatkan pendapatan rakyat, tiga program bertujuan mengurangkan perbelanjaan rakyat agar pendapatan bolehguna rakyat bertambah, sementara tiga lagi bertujuan memperbetul masalah struktur di dalam masyarakat, seperti Akta Keselamatan dalam negeri dan isu pendatang tanpa izin di Sabah,” kata Rafizi.
Forum tersebut dipengerusi Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi dan turut disertai Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.
Pakatan Rakyat semasa Konvensyennya November tahun lalu melancarkan Buku Jingga yang menggariskan 10 agenda utama dalam Program 100 Hari selepas mentadbir negara.
Pakatan Rakyat juga berjanji untuk menghapuskan penswastaan pengurusan air, menyediakan Wi-Fi percuma kepada rakyat, membatal Felda Plantations, menaikkan royalti minyak sebanyak 20 peratus dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin di Sabah.
Rafizi, antara individu yang terbabit dalam merangka Buku Jingga menerangkan aspek bagaimana Program 100 Hari tersebut mampu dilaksana apabila Pakatan mentadbir negara.
Menurutnya, fokus utama Program 100 Hari tersebut adalah memastikan sebarang inisiatif ekonomi perlu sampai terus kepada rakyat kebanyakan.
“Perancangan kita tidak bertumpu kepada ‘pertumbuhan’ semata-mata seperti diuar-uarkan Barisan Nasional. Samada ‘pertumbuhan’ itu sampai ke bawah atau tidak, tidak pernah mereka ambil pusing.
“Pada pandangan Pakatan Rakyat, tidak kira betapa banyak pertumbuhan ekonomi berlaku, yang penting realiti ekonomi yang dirasai rakyat di bawah adalah perkara utama yang kita fokuskan,” kata Rafizi yang juga Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.
Tambah Rafizi lagi, realiti pada hari ini 40 peratus rakyat masih hidup di bawah paras kemiskinan. Satu keluarga dengan enam orang ahli dan berpendapatan cuma RM1,500 dianggap sebagai berada di bawah paras kemiskinan di negara ini.
Dalam usaha mengurangkan kos pula, kata Rafizi, penghapusan tol akan memberi rakyat lebih banyak pendapatan bolehguna kerana rakyat akan mengalami perbelanjaan pengangkutan yang lebih rendah dan sebahagiannya boleh diguna untuk pelaburan dalam aspek pendidikan yang akan menggalakkan mobiliti sosial.
“Bertentangan dengan pendapat pihak tertentu mengatakan penghapusan tol sebagai langkah populis semata-mata, harga barang dan perkhidmatan akan dapat diturunkan apabila kita menghapuskan tol.
“Ini kerana tol atau pengangkutan merupakan sebahagian daripada struktur kos barang-barang yang kita beli. Maka apabila tiada lagi tol, harga barang jadi lebih murah,” kata Rafizi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan