Baru mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan Isnin ini.
Bercakap kepada Suara Keadilan, Baru menjelaskan, tahap kesiap siagaan parti itu kali ini lebih baik berbanding pilihan raya negeri 2006.
“Kita baru sahaja selesai mengadakan Konvensyen KEADILAN dan gerak kerja aktif dalam kalangan parti diteruskan. Mudah-mudahan kita mampu melakukan kejutan kali ini,” katanya kepada Suara Keadilan.
Menyentuh mengenai agihan kerusi sesama komponen Pakatan Rakyat, Baru berkata, gabungan parti itu bersama PAS, DAP dan SNAP menjadikan meja rundingan sebagai penyelesaian secara kekeluargaan.
Menurut Baru yang juga Biro Politik KEADILAN Pusat, tindakan media pro BN mempropagandakan isu itu sekadar usikan nakal untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat.
“Hakikatnya, hanya wakil komponen Pakatan Rakyat yang berunding. Laporan media BN hanya berprasangka jahat dan saya yakin persepsi yang ingin mereka cipta akan memakan diri,” katanya.
Tambah beliau, krisis yang melanda sekutu BN di Sarawak, semakin parah dan sukar diselesaikan sehingga kini meskipun dengan campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sekalipun.
“DUN Pelagus misalnya, Presiden Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Taib Mahmud mahukan kaum Cina, Larry Sng Wei Shen sebagai calon. Manakala Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), James Jemut Masing mahukan calon Dayak.
“Berpuluh tahun mentadbir, satu kerusi yang diwakili menteri (Larry) pun terlalu sukar diselesaikan?” soal Baru.
Menurut rekod, DUN Pelagus merupakan kuota untuk PRS namun sehingga kini, Taib tetap mahu Larry bertanding di kawasan itu.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sarawak mengundi setiap calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya kali ini sekaligus memberikan peluang untuk perubahan dasar secara menyeluruh dilaksana negeri itu melalui agenda Buku Jingga Pakatan rakyat.
“Esok, Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali akan ke Sarawak untuk memuktamadkan senarai calon akhir parti itu untuk bertanding pada pilihan raya negeri kali ini sebelum membawanya ke mesyuarat Biro Politik di Kuala Lumpur pada Rabu depan,” kata Baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan