Written by Wartawan Buletin
KUALA TERENGGANU – UMNO Terengganu mengakui melakukan kesilapan dalam melaksanakan projek pembangunan kerana tidak mendengar suara rakyat bawahan.
Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Tengku Putera Awang berkata suara rakyat penting dalam memastikan pembangunan yang dijalankan bukan saja mendatangkan hasil kepada ekonomi kerajaan negeri, tetapi dapat dinikmati dan dimanfaatkan rakyat untuk jangka masa panjang.Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri ( Speaker DUN) berkata semua wakil rakyat diingatkan supaya mendengar suara rakyat setempat terutama pandangan mereka terhadap setiap projek pembangunan dirancang kerajaan negeri, bagi memastikan semua perancangan dilaksanakan memberi manfaat dan dapat dinikmati semua golongan.Beliau berkata, pengalaman sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Exco) banyak memberi pengajaran kerana ada kalanya pendapat disuarakan masyarakat di peringkat akar umbi lebih bernas berbanding pendapat pakar dalam sesuatu bidang."Saya masih ingat, pembinaan benteng pemecah ombak di Merang, Setiu dulu mendapat bantahan daripada penduduk setempat kerana ia dikhuatiri hanya mampu bertahan beberapa ketika."Bagaimanapun, pembinaan tetap diteruskan dan terbukti walaupun sudah melalui kajian dan nasihat dari pakar berkaitan, ia roboh dan tetap tidak boleh pakai."Daripada pengalaman ini kita boleh lihat bahawa pendapat dan suara rakyat sangat bernilai untuk membantu kerajaan negeri membangunkan negeri seiring dengan pendekatan merakyatkan pembangunan yang dilaungkan kerajaan negeri," katanya kepada pihak media sempena Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun DUN Terengganu di sini, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan