Beberapa pemimpin Umno bahagian Teluk Kemang kini "menutup mulut' berhubung isu pemilihan calon BN yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan 11 Oktober ini.Mereka berkata, terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon yang layak mewakili BN dalam pilihanraya kecil tersebut, yang akan diumumkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.
Setakat hari ini, isu siapa calon BN masih menjadi misteri walaupun Umno Teluk Kemang sebulat suara mencalonkan Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN.Muhyiddin sebelum ini meminta bahagian tersebut menyerahkan beberapa nama lagi untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti.Sebelum ini, dilaporkan Pergerakan Wanita dan Pemuda Teluk Kemang masih menyokong Isa sebagai calon BN bertanding dalam pilihan raya kecil DUN tersebut.
Turut dilaporkan mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad dan ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa Umno supaya tidak memilih Isa tetapi memilih calon yang bersih dan tidak dikaitkan dengan pelbagi isu, termasuk rasuah politik.
Ketika dihubungi Malaysiakini, timbalan ketua bahagian Ismail Taib berkata, Isa yang juga ketua bahagian Teluk Kemang pernah berkata bahawa bahagian tersebut akan menyokong sesiapa sahaja yang diputuskan oleh pucuk pimpinan bertanding di kerusi tersebut.
Tunggu esokBeliau bagaimanapun juga enggan mengulas sekiranya ada calon-calon lain yang dicalonkan untuk bertanding dalam pilihraya tersebut."Kita sudah buat keputusan, serah kepada Tan Sri Isa untuk buat keputusan (untuk tentukan calon). Dia pun tak pernah beritahu saya, saya pun tak pernah tanya. Tunggu pengumuman calon akan dibuat esok," katanya.
Menurut Ismail lagi, Muhyddin yang juga timbalan presiden Umno akan mengumumkan calon BN di pusat bilik gerakan BN di Bagan Pinang pada jam 4.30 petang esok.Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa Umno cawangan Bagan Pinang "enggan mengulas" tentang calon yang akan diumumkan esok.
Bagaimanapun, beliau yang enggan namanya disebut berkata, akar umbi di situ masih berharap Isa yang juga bekas menteri besar dicalonkan mewakili BN dalam pilihanraya kecil itu..Ditanya mengenai kesan yang akan timbul sekiranya Isa tidak dipilih, beliau percaya pengundi akan tetap mengundi BN.
'Turun jumpa pengundi'
Manakala sumber yang dekat dengan Isa pula berkata, kecenderungan akar umbi mahukan bekas naib presiden Umno itu bertanding dalam pilihanraya tersebut."Kalau nak diikutkan, pengundi Bagan Pinang cenderung kepada beliau untuk dijadikan calon."Turunlah sendiri berjumpa dengan pengundi, tanya siapa yang mereka nak," katanya sambil menambah, jentera pilihan raya BN kini bersemangat untuk berkempen.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.Ramli yang juga yang dipertua PAS kawasan tersebut, adalah antara tiga calon PAS yang disebut-sebut akan dipilih bertanding dalam pillihan raya kecil tersebut. - MALAYSIAKINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan