Tindakan kerajaan Selangor menolak tuntutan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk menaikkan tarif air, jelas menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan rakyat yang perlu diutamakan, kata Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor. "AMK Selangor memuji tindakan bijak dan prihatin kerajaan Selangor dalam isu ini yang tidak sekali-kali berkompromi dan tunduk atas nama kepentingan rakyat Selangor. AMK Selangor juga mengulangi desakan yang dibuat oleh penasihat ekonomi kerajaan Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan pusat mengembalikan aset air dan pengurusan air kepada kerajaan Selangor. "Atas tindakan Syabas untuk menaikkan tarif air ini maka AMK Selangor tampil mempertahankan pendirian kerajaan Selangor yang komited mempertahankan kebajikan rakyat," kata ketua penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut. "Kita tidak mahu Syabas menaikkan tarif air kerana jelas ia akan membebankan pengguna tatkala perkembangan ekonomi rakyat masih belum pulih sepenuhnya. "Malahan ia akan menjejaskan kualiti hidup rakyat yang perlu membayar lebih tatkala ura-ura kenaikan tarif elektrik, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta perlaksanaan sistem cukai GST yang masih dipertikaikan akan dilaksanakan kelak," katanya. Mohd Ezli berkata, kesungguhan dan komiten kerajaan Selangor untuk menyelesaikan isu air dalam agenda 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' akan terus dipertahankan bersama-sama oleh AMK Selangor dengan sokongan dan dokongan mantap rakyat. "Kita mahu rakyat Selangor menikmati kualiti hidup yang baik serta mendapat mutu serta kualiti perkhidmatan bekalan air pada tahap yang terbaik dan pada harga yang rendah," katanya. Semalam, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri sedia dibawa ke mahkamah kerana menolak tuntutan Syabas untuk menaikkan kenaikan tarif air sebanyak 30 peratus tahun lalu. Bulan lalu, Syabas telah menghantar notis menuntut Selangor membayar pampasan RM339 juta kerana tidak membenarkan kenaikan harga itu tahun lalu. |
Khamis, 25 Februari 2010
Isu air: K'jaan S'gor prihatin kepentingan rakyat
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan