Dihubungi Tv Selangor, Ketuan Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin menuntut jawapan yang jelas daripada Muhyiddin selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap kerugiaan ini.
"Beliau adalah individu yang bertangungjawab ke atas kesilapan sehingga memberikan kesan implikasi bukan sahaja terhadap pelajar sekolah malah ke atas implikasi ekonomi.
"Ini jelas merupakan satu pembaziran yang membabitkan jumlah wang yang begitu besar, jumlah RM 4 juta ini jelas menunjukan Timbalan Perdana Menteri yang juga menteri pendidikan mengambil sikap endah tidak endah dan sikap melepaskan batuk ditangga dalam usaha kerajaan memberi ingatan kepada rakyat supaya berhemah dan berjimat cermat dalam berbelanja tetapi dalam hal ini wang itu dihabiskan begitu sahaja," kata Shamsul.
Harga seunit buku teks KSSR bahasa English tahun satu berkenaan ialah RM8.20 jika didarab dengan 400,000 naskah maka jumlahnya mencecah RM4 juta.
Ditanya apa tindakan yang patut diambil kepada pihak terbabit berhubung kerugian ini, Shamsul menegaskan Muhyiddin perlu dipertanggungjawabkan.
"Kalau berlaku di mana-mana negara, pada saya dari segi tanggungjawab, sudah pasti menteri berkenaan harus meletakan jawatan dan mengambil sikap tindakan bertanggungjawab kerana ia membabitkan wang rakyat yang begitu besar, sebab itu kami memberi ingatan dan teguran yang keras kepada TPM dengan mengambil mudah jawatan TPM dan juga menteri pelajaran dan jangan sibuk menyerang pembangkang dan sibuk berpolitik.
"Pada saya menteri kewangan, Datuk Seri Najib harus mengambil tindakan yang tegas, paling tidak pun memberi kata dua kepada menteri Pelajaran supaya perkara ini tidak berlaku lagi," katanya lagi.
Sementara itu, Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Loke Yim Phang berkata perkara yang menyebabkan kejadian itu masih belum diketahui puncanya samada disebabkan kesilapan manusia atau masalah percetakan namun beliau menegaskan kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku.
"Sesuatu benda itu bila diterbitkan mesti tepat, kerana ia akan menyebabkan pembaziran, kalau kita hendak fokus kepada kualiti asasnya buku yang hendak dikeluarkan perlu ada kualiti.
"Bagi saya kita kena pastikan bahawa dalam proses percetakan sesuatu buku untuk pelajar itu kita tidak boleh lupa kepada kualiti," katanya.
Presiden Persatuan Ibubapa Guru Negara atau PIBGN, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata kementerian perlu lebih berhati-hati dalam memilih panel penilai pada masa akan datang bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang serta mengelak ibu bapa berasa was-was dengan buku teks yang dikeluarkan kementerian.
Terdahulu dalam isu Interlok Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri mengeluarkan formula bahawa novel Interlok tetap akan digunakan dengan dibuat pindaan pada bahagian-bahagian yang sensitif.
Antara yang lantang menentang ialah Presiden Penulis Nasional atau PENA, Mohamad Saleeh Rahamad.
Beliau mendedahkan, formula yang dicadangkan Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam bercanggah dengan dialog yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Puad Zarkashi dalam dialog dengan pelbagai pihak bertelingkah di Putrajaya sebelum ini.
Dalam pada itu, Presiden Seniman Paksi Rakyat atau PAKSI, Dinsman berkata pihaknya turut membantah formula Putrajaya kerana beranggapan tiada sebarang pindaan harus dilakukan terhadap novel tersebut.
"Pada pandangan kami tiada sebarang pindaan harus dilakukan.
"Saya dan rakan-rakan dalam PAKSI, tidak nampak apa-apa yang harus diubah dan kami menyokong novel dikekalkan tanpa sebarang perubahan," katanya kepada Tv Selangor.
Mengulas isu yang sama, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia atau GAPENA tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan mahkamah sebagai langkah penyelesaian terakhir jika perjuangan mempertahankan hak kepengarangan novel kontroversi Interlok tidak menemui jalan keluar.
GAPENA juga akan mengambil langkah berperingkat untuk berunding secara intelektual dengan pihak berkaitan tanpa membabitkan elemen politik dan enggan pindaan dilakukan terhadap teks Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan