Syabas! Fariz ’Juara Rakyat’
HARI INI...Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang semakin merosot sokongan rakyat terhadapnya mula mencari-cari formula baru bagi meraih kembali ’mood’ rakyat.
Maka, bertemulah pula dengan satu slogan baru iaitu Umno ’Juara Rakyat’ dan kini dicanang di seluruh negara.
Pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh kerajaan akan dikaitkan dengan Umno sebagai ’Juara Rakyat’.
Awang banyak menerima komen-komen serta pandangan orang ramai yang mengatakan Umno sebenarnya bukan ’Juara Rakyat’ tetapi ’Juara Menjahanamkan Rakyat’. Betulkah begitu?
Bila Awang renung-renung dan fikir-fikir macam manasabah juga dengan pendapat orang ramai itu. Awang cuba perjelaskan apa yang orang kata.
’Apa Orang Kata’?...Isunya, orang kata Umno bukan ’Juara Rakyat’. Bilanya yang Umno tolong rakyat dengan ikhlas? Semua yang Umno buat untuk rakyat tidak ikhlas melain ada ’rasuah’ atau ’timbal balas’ antara dua pihak, kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said dalam ucapannya di beberapa majlis dengan rakyat.
Jadinya, setiap yang dikeluarkan oleh kerajaan Umno-BN kepada rakyat mesti dibalas oleh rakyat kepada kerajaan Umno-BN.
Jika tidak...jadilah seperti penduduk setinggan di Kampung Paya Bunga di Jalan Tok Lam, dekat Wisma Darul Iman.
Kelmarin, hari Selasa ( 2 Mac 2010 ) satu operasi besar-besaran pihak kerajaan Umno-BN Terengganu merobohkan rumah-rumah rakyat di kampung berkenaan atas nama pembangunan.
Rakyat atau pemilik rumah di kampung tersebut telah lama mendiami tanah itu sejak sebelum merdeka dengan status Lesen Menduduki Sementara (LMS).
Setiap tahun, pemilik rumah atau tuan tanah akan membayar cukai-cukai pintu sebagai rakyat yang patuh kepada kerajaan.
Kini, di atas tanah tersebut dikatakan orang akan dibangunkan satu kawasan tempat letak kereta (parkir) bertingkat kononnya untuk mengatasi masalah kesesakan dan kekurangan parkir di bandar.
Rata-rata penduduk adalah berpendapatan rendah, miskin dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat Majlis Ahama Islam Dan Adat Melayu (Maidam).
Justeru itu, member Awang yang berkebetulan jadi pemimpin sebuah parti politik dalam Pakatan Rakyat bertekad mempertahankan hak rakyat bersama-sama.
Puluhan anggota keselamatan polis, SB, pegawai Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan banyak lagi bertugas pada hari perobohan itu.
Awang melihat satu-persatu, sebuah ke sebuah rumah-rumah rakyat dicincang dengan jentolak milik kerajaan negeri.
Namun begitu, pada hari itu yang menjadi ’Juara Rakyat’ sebenarnya ialah Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu, Fariz Musa yang ditangkap dan ditahan polis kira-kira jam 11.15 pagi.
Beliau ditahan bersama seorang pemilik rumah setinggan berkenaan iaitu Mohd Zamri Sulaiman ketika mempertahankan rumahnya dari dirobohkan pihak berkuasa.
Tindakan Fariz Musa dan Mohd Zamri itu dikatakan menghalang tugas penjawat awam ketika operasi meroboh rumah penduduk berkenaan.
Kedua-duanya, dikenakan di bawah Seksyen 186 kerana menghalang penjawat awam serta dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 3.25 petang.
Sebelum itu, dalam kenyataan medianya menjelaskan semua penduduk terbabit sedia berpindah tetapi menghadapai masalah penempatan.
Katanya, penduduk yang terlibat dengan mengambilan balik tanah tersebut merupakan di kalangan orang miskin dan dhaif.
”Mereka (penduduk) semua orang berpendapatan rendah, miskin dan dhaif. Dan ada yang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) RM300 sebulan dan bantuan zakat Maidam,” jelasnya.
Menurutnya, kenapa pampasan tidak diberikan kepada penduduk yang telah lama mendiami tanah tersebut sebelum merdeka.
”Mereka (penduduk) mendiami di atas tanah itu sejak sebelum merdeka lagi. Mereka bayar cukai pintu tetapi kenapa tidak dibayar pampasan kepada tuan rumah termasuk mereka yang terlibat dengan perpindahan,” ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan AMK Pusat menyifatkan pemimpin utama kerajaan negeri bertindak zalim terhadap rakyat.
Ini kerana, memorandum tentang masalah penduduk telah diajukan kepada Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said minggu lalu.
”Saya minta pihak kerajaan negeri jangan bertindak zalim sebab kita telah hantar memorandum ke pejabat Menteri Besar minggu lepas dan kita minta tangguh dahulu selesaikan masalah rakyat.
”Selesaikan pampasan dan masalah tempat tinggal mereka (penduduk).
Kenapa begitu zalim Menteri Besar Terengganu dengan mengambil sikap berdiam diri,” jelasnya.
Sehubungan itu, kata beliau bersedia dikenakan apa juga tindakan demi menuntut hak dan keadilan kepada rakyat.
Sebanyak tiga buah jentolak serta beberapa buah lori Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), kakitangan Jabatan Tanah dan Galian (PTG), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan puluhan anggota pasukan keselamatan polis menjayakan operasi meroboh rumah-rumah penduduk berkenaan.
Kejadian ’HITAM’ pada hari tersebut mengingatkan kembali Awang kisah-kisah lama yang ’bersarang’ dan ’menghidupkan’ kembali memori lama mengenai tradegi perobohan.
Awang masing ingat bagaimana Institut Berakan sebuah sekolah rakyat dirobohkan oleh kerajaan Umno-BN Terengganu ketika itu di bawah pentadbiran Tan Sri Wan Mikhtar Ahmad.
Tragedi pagi 19 November 1991, itu akan dikenang dan tidak dilupakan buat selama-lamanya. Pusat Ilmu dan Pusat Pendidikan Islam diroboh dan dihancurkan. Tetapi ’cahaya’ Islam tidak akan padam sehingga hari kiamat.
Natijahnya, dari peristiwa perobohan dan air mata rakyat yang mendoakan ’kecelakaan’ kepada pemerintah akan menyebabkan boleh jatuh kerajaan semasa.
Kesimpulannya, mantan MB, Tan Sri Wan Mokhtar tumbang kerajaannya pada tahun 1999. Maka, naiklah kerajaan PAS Terengganu antara tahun 1999-2004.
Kezaliman yang sama dilakukan juga oleh mantan MB Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh dalam kes perobohan Masjid Bujal, rumah-rumah RTB (Rancangan Tanah Berkelompok).
Maka, balanya...dia (Idris) kempunan hendak jadi MB Terengganu serta beberapa kerusi jatuh ketangan PAS.
Awang lihat...dalam kes di Kampung Paya Bunga ini. Kerajaan Umno-BN Terengganu di bawah Dato’ Ahmad Said juga boleh tumbang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.
RENUNG DENGAN MINDA TERBUKA...FIKIR DENGAN AKAL YANG TAJAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan