klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Ahad, 17 Mei 2009

PUAK IDRIS SURUH MAD SAID LETAK JAWATAN ! MUHYIDDIN CAKAP MAD SAID KEKAL MB !

Muhyiddin Yassin , Timbalan Presiden Umno menyatakan ketegasan bahawa Datuk Ahmad Said , tidak akan dipecat daripada jawatan Menteri Besar Negeri Terengganu . Sebelum ini desas desus di Terengganu membayangkan akan berlaku penyingkiran Datuk Ahmad Said daripada jawatan nombor wahid kerajaan negeri Terengganu ekoran konflik politik melibatkan perbalahan dan perpecahan yang semakin teruk di dalam UMNO Terengganu . Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tiada sebarang cadangan untuk menukarkan Datuk Ahmad Said daripada jawatan Menteri Besar.Oleh itu, katanya, Ahmad akan kekal memegang jawatan tersebut. Isu pertukaran MB Terengganu tidak pernah berbangkit sebelum ini.
Pertembungan Kem Ahmad Said dan Kem Idris Jusoh telah dilihat begitu 'panas' dan tidak mampu dibendung dan disimpan lagi sehingga menimbulkan rasa kelakar dan melucukan kepada rakyat negeri Terengganu . Persidangan DUN Negeri Terengganu tempohari menyaksikan ' retak yang sudah berbelah' di antara kedua-dua kem tersebut dan menimbulkan bisikan yang berkedengaran kuat bahawa Ahmad Said akan berdepan dengan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar , Datuk Ahmad Said . Ketidakhadiran 10 ADUN yang bertujuan memboikot persidangan DUN adalah tujuan untuk memberikan tekanan dan memalukan Ahmad Said dan menimbulkan pelbagai persepsi umum terhadap apa yang berlaku.
Pada 13 April lepas, tiga ADUN BN iaitu Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima ‘SMS Ugut Bunuh’. SMS ugutan bunuh inilah yang menjadi alasan dan punca kononnya mereka tidak hadir kerana ugutan sms tersebut yang sangat mereka takuti dan termasuk juga 7 lagi yang lain turut sama memontengkan diri untuk tidak hadir ke dewan yang mulia tersebut kerana teramat takut dengan sms ugutan bunuh yang diterima oleh 3 rakan pasukan mereka . Laporan polis telah dibuat dan pihak polis memulakan siasatan terhadap kes tersebut .
Tindakan tidak menghadirkan diri ke sidang DUN itu kemudiannya bertukar menjadi satu agenda politik kumpulan yang pro-Idris bertujuan ‘menekan dan mengugut’ Menteri Besar Terengganu. Dalam sidang media yang diadakan pada hari yang sama, Rosol telah menggesa Dato’ Ahmad Said meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu. Kes SMS Ugutan Bunuh tapi mendesak Ahmad Said letak jawatan . Tidak tahu yang mana satu kesahihannya tindakan mereka tidak hadir ke Sidang DUN . Kerana takut diugut bunuhkah atau kerana bencikan Ahmad Said ? Difahamkan kerana arahan Najib Tun Razak , mereka hadir ke Persidangan DUN dan terpaksa menghentikan tindakan memboikot persidangan tersebut.
Sebelum itu , pihak polis telah berjaya menahan seorang kerani sebuah syarikat swasta berusia 31 tahun di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 20 April,bagi membantu siasatan kes tersebut kerana disyaki menghantar SMS ugutan itu dan kemudian dibebaskan . Malah beliau dipercayai adalah blogger yang mengendalikan laman ‘GanuLening’. Selepas itu gempar apabila pihak polis mencari seorang ahli politik bagi membantu siasatan dalam kes tersebut. Akhirnya pihak polis terpaksa memberi kata dua kepada tokoh politik tersebut untuk tampil melaporkan diri dalam tempoh 72 jam kerana beliau tidak dapat dikesan . Hairan bagaimana seorang ahli politik yang pernah bertanding sebagai calon Barisan Nasional di Parlimen Marang ini hilang tanpa di jejak .
Tokoh tersebut ialah , Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir , bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh , bekas calon Barisan Nasional Parlimen Marang yang melawan Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang . Beliau adalah merupakan seorang orang kepercayaan dan kesayangan Datuk Seri Idris Jusoh yang kini merupakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat ( MARA ) . Beliau sekarang menjawat jawatan sebagai Pegawai Khas kepada Pengerusi Mara . Sayang betul Idris Jusoh kepada Ramzi . Tapi adalah amat pelik bila Idris Jusoh diam tanpa bahasa terhadap kehilangan orang kesayangan dan kepercayaan beliau .
Akhirnya Ramzi di tahan selepas waran tangkap dikeluarkan oleh pihak polis terhadap beliau di sebuah hotel di Kuala Terengganu . Lebih mengejutkan apabila Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC II Hamzah Mohd Jamil berkata pihaknya mempunyai bukti untuk mempercayai Ramzi terlibat dengan penghantaran SMS itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Telekomunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan Ramzi boleh didenda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu.
Adakah Ramzi sahajakah yang terlibat ? Atau kehilangan Ramzi sebelum ini sebenarnya cubaan menutup 'dalang' sebenar yang mengarah atau bersekongkol dengan beliau . Adalah amat menghairankan kalau berdasarkan kepada SMS ugutan yang diterima oleh 3 ADUN tersebut yang merupakan pasukan Kem Idris Jusoh . Ramzi pula orang kepercayaan Idris Jusoh . SMS ugutan bunuh pula seolah berpihak kepada Kem Ahmad Said . SMS yang berbunyi " Baik jangan teruskan niat YB , YB tak sayang nyawa ? ". Tetapi yang kena tahan orang Idris Jusoh dan orang yang terima SMS juga orang Idris Jusoh ????? Kalau dilihat, kerja kotor dan jijik ini bukan dirancang dan dilaksanakan oleh orang daripada Kem Ahmad Said . Apa cerita sebenarnya ini ?
Ramzi telah dibebaskan dengan ikat jamin . Terlalu cepat soal-siasat yang dikenakan oleh pihak polis dalam kes yang sangat serius ini . Saya dulu sewaktu di tahan kerana menampal poster gambar Altantuya bagi tujuan menyambut Najib Tun Razak di dakwa di bawah Akta Mesin Cetak dan Percetakan dan dibawa ke Mahkamah Majestrit untuk disambung reman selama 4 hari lagi ! Tetapi dalam kes mengungut bunuh , Ramzi dibebaskan dengan cepat . Atau ada 'tangan ghaib' yang campurtangan dalam kes tersebut .
Tekanan Ahmad Said cukup jelas dirasai bagi memastikan beliau meletakkan jawatan terutama daripada Kem Idris Jusoh . Kebencian yang dinyatakan cukup jelas . Lebih ketara lagi apabila Ahmad Said diturunkan pangkat apabila Najib Tun Razak dan melantik Dato' Seri Hisamuddin Hussein , Naib Presiden UMNO sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu . Kehadiran Hishamuddin tidak akan mampu menyelesaikan kemelut dan perpecahan yang sangat ketara di antara Kem Ahmad Said dan Kem Idris Jusoh . Walaupun Pengerusi Badan perhubungan Umno Terengganu akan mengadakan pertemuan dengan semua 24 ADUN BN yang bertelagah di negeri serta ketua-ketua Umno bahagian bagi mencari penyelesaian terhadap krisis tersebut.Pertemuan itu akan diadakan di pejabat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga menteri dalam negeri, di Putrajaya akan turut dihadiri oleh Ahmad Said dan Idris Jusoh . Mampukah Hisamuddin menyelesaikan problem ini ?
Sebelum ini AMK Negeri Terengganu juga menyangkal kenyataan Ghani Patail apabila membangkitkan isu Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang tidak layak menjadi Menteri Besar Perak kerana tidak mendapat kepercayaan majoriti ADUN Perak , sedangkan dalam masa yang sama Ahmad Said juga tidak layak menjadi Menteri Besar Terengganu kerana 18 ADUN hilang kepercayaan terhadap beliau . Adalah amat menghairankan Najib Tun Razak tidak mampu untuk memecat Ahmad Said .
Apa yang berlaku membutikan bahawa pemimpin dan ADUN UMNO / BN bukan bertujuan untuk membela dan memperjuangkan rakyat Terengganu tetapi secara jelas lagi nyata mereka sebenarnya lebih mementingkan kepentingan diri daripada agenda memperjuangkan rakyat Terengganu . UMNO Terengganu sudah lagi tidak relevan untuk memimpin negeri Terengganu . Rakyat Terengganu terutama ahli-ahli UMNO seharusnya sedar bahawa UMNO bukan lagi parti yang memperjuangkan nasib orang melayu , tetapi memperjuangkan kepentingan peribadi dan tembolok mereka .
Kerana kebencian terhadap Ahmad Said , sekali lagi ADUN UMNO/BN bertindak menderhaka kepada DYMM Sultan Terengganu dengan terus menolak dan mendesak Ahmad Said meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sedangkan Ahmad adalah orang yang diberikan kepercayaan oleh DYMM Sultan Terengganu menjadi MB Terengganu .
Terbaik ialah bubar DUN Terengganu dan memberikan mandat kepada rakyat negeri Terengganu memilih pimpinan baru yang membentuk Kerajaan Negeri Terengganu dan membangun serta menjaga kebajikan rakyat Terengganu yang merupakan negeri ke 2 miskin di Malaysia .

fariz musa

1 ulasan:

  1. semoga Allah S.W.T...
    gerakkan hati mat said..
    untuk bubarkan dun...
    untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat..

    BalasPadam