klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Isnin, 8 Jun 2009

Tuanku Mizan dukacita , Mad Said sukacita


KUALA TERENGGANU 6 Jun - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dukacita dengan tragedi runtuhan sebahagian bumbung stadium yang dinamakan sempena nama baginda di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak Selasa lalu.
Menurut Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, beliau sendiri telah menyampaikan sembah maklum mengenai tragedi itu kepada Tuanku Mizan pada hari kejadian dan baginda melahirkan perasaan sedih serta dukacita terhadap insiden yang berlaku itu.
Menurutnya, semalam beliau sekali lagi menghadap baginda untuk mempersembahkan maklumat dan gambar-gambar runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kepada baginda dan Yang di-Pertuan Agong kelihatan dukacita dengan perkara itu.
''Sudah tentu baginda sedih dan dukacita terhadap apa yang berlaku," katanya ketika ditemui selepas menyertai Polis Terengganu dalam operasi membanteras lumba haram dan mat rempit di sini malam tadi.
Berhubung siasatan tragedi itu, Ahmad Said memberitahu, beliau sedia mendedahkan kepada umum apa jua kepincangan yang berlaku sebagai ingatan kepada semua pihak terutama pihak berwajib agar peristiwa sedemikian tidak berulang.
Menteri Besar sekali lagi mengingatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini supaya melakukan pemeriksaan keselamatan terhadap semua bangunan tumpuan awam di kawasan masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.
Malah katanya, beliau sendiri akan melawat semua bangunan tersebut untuk memastikan arahan itu dipatuhi.
Menurutnya, pemeriksaan bukan hanya daripada segi struktur, tetapi juga perlu meliputi aspek pendawaian serta beban yang boleh ditampung terutama bangunan yang telah berusia.
Jelasnya, ada di antara bangunan tumpuan awam di negeri ini umpama jerangkap samar yang bila-bila masa boleh mendatangkan tragedi kepada orang ramai kerana strukturnya yang tidak sesuai.
Ahmad memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa salah sebuah bangunan tersebut ialah Pasar Raya The Store di Kampung Cina di sini yang asalnya adalah bangunan rumah kedai, namun diubah suai menjadi pusat membeli-belah.
''Dahulu bangunan itu bukan dibuat untuk pasar raya. Asalnya ialah rumah kedai dan saya bimbang dengan ketahanan bangunan itu sendiri terutama apabila musim perayaan dengan barang yang banyak dan orang yang ramai membeli-belah.
''Bangunan itu boleh memuatkan berapa orang sahaja bebannya, tetapi telah menjadi pasar raya. Kalau ada pesta hari minggu, beribu orang berada di dalamnya. Ini merupakan jerangkap samar kepada orang ramai," ujarnya.
Mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tragedi itu jelasnya, setakat ini beliau belum dihubungi oleh suruhanjaya itu untuk diambil keterangan.
Ahmad berkata, beliau bersikap terbuka dalam hal ini dan bersedia memberi kerjasama kepada semua pihak untuk mengenal pasti punca tragedi runtuhan bumbung stadium berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan