Hasil ujian awal yang dilakukan terhadap kesan yang ditemui di tangga antara tingkat 14 dan 15 bangunan Plaza Masalam mendapati ianya bukan darah tetapi satu bahan yang belum dikenalpasti.Dikatakan bahan berkenaan berkemungkinan besar adalah cat anti karat.Hasil berkenaan diperolehi melalui pemeriksaan bersama pakar kimia, pakar forensik dan pakar forensik dari luar yang dilantik Kerajaan Negeri Selangor. Pemeriksaan ke atas kesan berkenaan turut disaksikan peguam dari kedua-dua pihak.
Dua pakar forensik yang dilantik kerajaan negeri untuk menjalankan pemeriksaan bersama berkenaan adalah Pakar Forensik Malaysia Hamidon Anan dan Pakar Forensik Somchai Chailermsooksant dari Central Institute of Forensic Science Thailand.Peguam pemerhati kepada keluarga Teoh Gobind Singh Deo berkata, bagaimanapun ujian lanjut akan dilakukan dan laporannya akan dikemukakan oleh pakar secepat mungkin.“Ahli kimia telahpun memberitahu kami secara awal bahawa mungkin ianya anti karat yang digunakan untuk cat dan sebagainya tetapi ahli kimia telah meminta sedikit masa untuk mengesahkan dan akan diberikan secara rasmi kepada kami menerusi laporan yang akan dikemukakan.“Kemungkinan (hasil kajian boleh diperoleh esok), pakar kimia bekerja keras dan saya harap mereka akan mengemukakan laporan pada petang ini atau awal pagi esok,” katanya pada sidang media selepas mengikuti pakar kimia dan forensik menjalankan pemeriksaan terhadap kesan berkenaan.
Gobind berkata, sekiranya ujian lanjut mendapati ianya adalah darah berkemungkinan ujian DNA akan dilakukan.Proses pemeriksaan berkenaan bermula dari jam 11.30 pagi dan berakhir jam 2.30 petang. Pemeriksaan terperinci juga telah dilakukan sekali lagi di tingkat 14, 15 dan 5 bangunan berkenaan.Menurutnya, pihaknya juga menemui petunjuk baru yang dipercayai boleh membantu dalam usaha mendapatkan gambaran yang jelas apa yang berlaku pada malam sebelum mayat Beng Hock ditemui.Katanya, pakar kimia telah mengambil specimen petunjuk iaitu gentian benang dipercayai dari seluar Beng Hock yang dijumpai di koridor tingkat lima di mana mayatnya ditemui dan membawanya ke makmal untuk mejalankan analisa.
“Di tempat kejadian kami menemui gentian yang dipercayai dari seluar tetapi pakar kimia akan membuat ujian dan memaklumkan kepada kami laporan selepas membuat ujian gentian berkenaan bersama dengan seluar.“Ianya merupakan bahan benang yang mungkin boleh menolong atau membantu kami dengan lebih mendalam bagaimana impak apabila beliau jatuh. Itu menjadi satu perkara yang penting,” katanya.Menurutnya, satu laporan terperinci akan disediakan oleh pakar kimia pada hari ini atau esok untuk dikemukakan kepada koroner untuk inkues.Terdahulu, Pakar forensik dan peguam hadir semula ke Plaza Masalam bagi mengambil kesan yang dipercayai darah yang ditemui di tangga antara tingkat 14 dan tingkat 15 semasa lawatan Mahkamah Koroner mengadakan lawatan ke Pejabat SPRM Jumaat lalu.
Tindakan berkenaan dibuat setelah Koroner Azmil Muntapha Abas membenarkan permohonan peguam pemerhati keluarga Teoh yang meminta supaya Pakar DNA Dr Seah Lay Hong dan pakar forensik ke tempat kejadian.Dalam inkues yang berlangsung selama 30 minit sebelum ditangguhkan, Gobind turut memohon agar Koroner Azmil membenarkan pihak peguam termasuk peguam pemerhati Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Peguam untuk mengikuti proses berkenaan.
Koroner Azmil turut membenarkan permohonan Gobind membawa dua pakar forensik yang dilantik kerajaan negeri dari Central Institute Of Forensic Science Thailand Pol. Lt. Col. Somchai Chailermsooksant dan Dr Triyarith Temahivong untuk mengikuti proses berkenaan.Dalam prosiding berkenaan Gobind memberitahu mahkamah selain kesan tompokan dipercayai darah itu, mereka turut menemui kesan yang mencurigakan di dalam pejabat SPRM."Perkara ini telah dibawa kepada perhatian pegawai penyiasat dan kami telah meminta supaya kawasan tersebut dikawal tetapi sehingga hari ini masih belum ada pemeriksaan dilakukan ke atas kesan-kesan tersebut."Kami berpendapat perkara ini cukup penting dan oleh itu pakar DNA dan pakar forensik perlu mengambil spesimen kesan-kesan ini untuk menentukan sama ada ia adalah kesan darah, dan jika ia adalah darah, sama ada ia darah si mati," katanya.
Peguam pemerhati kerajaan negeri Malik Imtiaz Sarwar turut menyokong permohonan berkenaan. Sementara itu, Hock Chuan tidak membantah supaya pemeriksaan berkenaan dilakukan.Mahkamah dimaklumkan Hock Chuan bahawa polis telah mengawal tempat penemuan kesan berkenaan berikutan surat yang diterimanya daripada Malik lewat Jumaat lalu meminta berbuat demikian.Hock Chuan memaklumkan bahawa hasil ujian terhadap kesan berkenaan boleh diperolehi hari ini. Prosiding disambung esok.Sementara itu, di luar mahkamah, Peguam Kerajaan Negeri Selangor Malik Imtiaz Sarwar berkata, kedua-dua pakar dari Thailand itu akan membantu pihaknya meneliti kesemua dokumen yang diperolehi.Katanya, kedua-duanya akan mengikut prosiding inkues dan mendengar keterangan pakar forensik kerajaan dan kemudiannya akan membuat keputusan sama ada akan memanggil Pakar Forensik Patalogi Dr Pornthip Rojana-sunand dan seorang pakar dari Australia atau tidak.
Ia bergantung kepada keterangan pakar forensik kerajaan.Dr Pornthip Rojana-sunand dan seorang pakar dari Australia yang dilantik Kerajaan Negeri Selangor bertindak sebagai perunding dalam membantu pihaknya meneliti dokumen berhubung laporan forensik yang dikemukan pakar forensik kerajaan. -TVA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan