klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Rabu, 2 Disember 2009

Anwar & Sembilan MP PKR Kutuk Tindakan Memijak dan Membakar Gambar Ahli Politik

KUALA LUMPUR: Sembilan ahli parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengutuk tindakan membakar dan memijak gambar ahli-ahli politik sebagaimana yang dilakukan oleh Pemuda Barisan Nasional Pulau Pinang dan juga DAP di Perak baru-baru ini.
Malah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengeluarkan kenyataan keras tidak bersetuju dengan tindakan-tindakan seumpama itu.
Sementara itu sembilan ahli parlimen PKR yang diketuai oleh Datuk Zahrain Mohd Hashim (PKR-Bayan Baru) menyifatkan tindakan rakan-rakan mereka dari DAP memijak gambar bekas adun DAP, Hee Yit Foong dan dua adun PKR, Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Radzi sebagai satu tindakan kebudak-budakan, biadap dan kurang ajar.
Mereka juga turut menyifatkan tindakan balas yang dilakukan oleh Pemuda Barisan Nasional di Pulau Pinang sebagai biadap, kurang ajar dan tidak patut dilakukan.
Malah mereka menuntut siapa yang terlibat dalam memijak poster gambar tiga adun di Perak itu dan juga tindakan membakar gambar Lim Guan Eng di Pulau Pinang supaya segera memohon maaf.
"Ini bukanlah satu budaya orang Asia, malah bagi orang Melayu jika tersentuh kepala seseorang pun sudah dianggap biadap, inikan pula memijak gambar mereka. Jadi kami tidak setuju dengan perbuatan seumpama ini," kata Zahrain.
Malah katanya, perbuatan seumpama ini semua memberikan pengajaran yang tidak baik ke atas generasi muda.
Malah Mohd Yusmadi Yusof (PKR-Balik Pulau) berkata, tindakan-tindakan seumpama ini hanya akan menyebabkan pihak yang lain melakukan perbuatan yang serupa dan oleh itu ia hendaklah dielakkan.
Tujuh lagi ahli parlimen PKR yang turut hadir dalam sidang akhbar yang berlangsung di lobi parlimen itu ialah Wee Choo Keong (Wangsa Maju); N. Gobalakrishnan (Padang Serai); Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru); Abd Aziz Kadir (Ketereh); Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai); Ahmad Kassim (Kuala Kedah) dan Azan Ismail (Indera Mahkota).
Baru-baru ini pada Konvensyen DAP Perak, para delegasi ke persidangan itu telah bertindak meletakkan gambar poster ketiga-tiga adun yang mengisytiharkan diri mereka sebagai adun bebas itu di atas lantai dan bertindak memijak-mijak gambar ahli-ahli politik berkenaan.
Perbuatan mereka telah menyebabkan Pemuda Barisan Nasional Pulau Pinang mengadakan perhimpunan di Pulau Pinang dan membakar gambar poster Lim Guan Eng pula iaitu ketua menteri negeri tersebut yang juga setiausaha agung DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan