Kenyataan Akhbar
12 Febuari 2010
Angkatan Muda Keadilan (AMK ) Negeri Terengganu membantah tindakan tidak serius Kerajaan Negeri Terengganu dalam isu pengusiran penduduk Kg. Paya Bunga yang diberikan tempoh sebulan sehingga 28 Febuari 2010 .
AMK mendesak agar YB Menteri Besar Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri Terengganu membantu menyelesaikan dengan SEGERA dan BIJAKSANA agar penduduk yang rata-rata adalah tergolong dalam golongan miskin diberikan pembelaan dan ditangani permasalahan serta rintihan mereka .
Walaupun majoriti mereka adalah penyewa dan beberapa orang adalah merupakan tuan rumah tetapi keseluruhan mereka adalah golongan yang berpendapatan rendah , warga emas , ibu tunggal , penerima bantuan kebajikan masyarakat, penerima zakat , uzur dan sakit serta malah ada juga yang tidak mempunyai pekerjaan tetap .
AMK mempertikaikan keputusan Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak membayar sebarang pampasan kepada tuan-tuan rumah sedangkan mereka sebelum ini adalah pemilik Lesen Menduduki Sementara ( TOL ) , membayar cukai pintu ( sejak 1954 ) dan lain-lain sepertimana yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Terengganu melalui Pejabat Tanah Kuala Terengganu .
Mereka sebenarnya bersedia untuk berpindah tetapi sebahagian daripada mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menyewa di tempat lain dan tidak mempunyai kemampuan untuk mendirikan kembali rumah mereka walaupun diberikan tanah sekalipun kerana pihak kerajaan negeri sedikit pun tiada belas kasihan untuk memberikan bayaran pampasan perpindahan kepada mereka terutama penyewa dan tuan tanah yang masih tinggal di situ.
Tindakan pihak MB Negeri Terengganu menawarkan rumah rakyat di Mengabang Lekor adalah sangat TIDAK BIJAK dan sudah pasti akan menyusahkan mereka . Kerana kebanyakkan mereka bekerja di bandar Kuala Terengganu untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga .
Walaupun sebahagian daripada mereka bersedia untuk mendapatkan rumah yang ditawarkan tersebut dan telah membuat permohonan , tetapi sudah pasti mereka tidak akan mampu menjelaskan bayaran pendahuluan berjumlah RM 3,000.00 serta pendahuluan air dan elektrik berjumlah RM250.00 sekiranya permohonan mereka diluluskan .
Apakah nasib yang bakal menimpa mereka yang dizalimi dan diinaya ini ? Sekiranya mereka tidak berpindah , pihak kerajaan negeri Terengganu akan menyaman sejumlah RM50,000 atau tidak lebih dari 5 tahun penjara atau kedua-duanya berdasarkan notis arahan keluar dari tanah kerajaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Kuala Terengganu kepada mereka .
Apakah nasib yang bakal diterima oleh Makcik Hindong seorang warga emas , berumur 82 tahun , penerima bantuan kebajikan masyarakat RM 300 sebulan , yang terpaksa membela seorangt cucu yang kematian bapa berumur 6 tahun ? Sudah pasti beliau tidak mampu untuk membiayai kos mendapatkan rumah rakyat di Kg. Mengabang Lekor . Sudah pasti beliau tidak mempunyai tanah serta tidak mampu membiayai kos perpindahan . Adakah terlalu zalim kerajaan Negeri Terengganu hingga sanggup meginaya beliau yang tinggal di Kg. Paya Bunga lebih daripada 50 tahun .
Bagaimana pula dengan Pakcik Wahab ( 67 tahun ) , penerima zakat daripada MAIDAM , menyewa rumah selama 47 tahun di Kg. Paya Bunga , seorang pembantu tukang rumah yang banyak tidak bekerja daripada bekerja dan beliau menolak tawaran oleh MB Terengganu mendapatkan rumah rakyat di Kg. Mengabang Lekor kerana tidak mampu membiayai kos bayaran pendahuluan rumah , air , elektrik dan membayar sewa bulanan .
Apakah pula nasib Sdr Zamri Sulaiman ( 47 tahun ) yang menduduki rumah peninggalan ibu bapa di kampung tersebut selama 47 tahun , bekerja sebagai penjual ikan ( bekerja dengan orang ) dengan pendapatan RM700 sebulan membiayai keluarga ?
Apakah nasib seorang ibu tunggal yang mempunyai 4 orang anak , bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM500 sebulan ? mampukah beliau membayar bayaran pendahuluan rumah , air dan elektrik sekiranya permohonan rumah tersebut diluluskan .
Dimanakah slogan ” Rakyat Didahulukan , Pencapaian diutamakan” ? Bagaimana dengan slogan Kerajaan Negeri Terengganu , ” Merakyatkan Pembangunan dan Pengurusan” ? Atau sekadar ungkapan retorik yang hanya ’manis’ menggula-gulakan rakyat .
AMK Negeri Terengganu mendesak MB Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri Terengganu menyelesaikan isu ini dengan bijaksana dan terbaik . Bukannya menzalimi dan menginaya rakyat miskin dan dhaif yang sepatutnya dibela dan dibantu .
FARIZ MUSA
Ketua AMK Terengganu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan