Allahyarham dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya.
Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Noor Mansor berkata pihak Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh mengesahkan Zaharuddin, 63, meninggal dunia
di hospital berkenaan pada jam 7.15 petang.
"Datuk Zaharuddin disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung," katanya ketika dihubungi di Kuantan.
Sejak setahun lalu, Zaharuddin seringkali keluar masuk hospital kerana pelbagai penyakit.
Kali terakhir adalah pada November tahun lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Hospital di Temerloh kerana tekanan darah yang tidak menentu.
Allahyarham juga sebelum ini pernah dimasukkan ke IJN pada 9 Mei tahun lalu apabila berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya selepas menjalani pembedahan ulser usus.
Sementara itu, ahli parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata Zaharuddin yang terjatuh di dalam bilik air di rumahnya itu telah dibawa ke hospital dan dimasukkan di unit rawatan rapi, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan.
"Menurut pembantunya, Datuk Zaharuddin sebelum itu mengadu sakit perut dan pembantunya membawanya ke bilik air, tiba-tiba beliau terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya.
Ismail berkata allahyarham ketika itu sedang bersiap-siap untuk menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina di Temerloh. - MALAYSIAKINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan