KPRU: KADAR TAMBANG MINIMA MRT LEMBAH KLANG PATUT BERKISAR SEKITAR RM0.38 – RM0.87 Oleh Suara Keadilan | ||||||||||||
Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat bahawa Pameran awam MRT Lembah Klang Jajaran Sungai Buloh-Kajang yang diadakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Prasarana di 7 lokasi mulai 14 Februari hingga 14 Mei 2011 hanya membekalkan maklumat minima kepada orang awam dan tidak merangkumi aspek-aspek penting yang makin menjadi tanda tanya rakyat. Justeru, KPRU menyarankan agar satu lagi siri perundingan terbuka yang membekalkan maklumat yang mencukupi diadakan di samping pameran awam bagi menjamin hak akses warga Malaysia kepada maklumat penting MRT. Pameran awam yang kini sedang berlangsung dikhuatiri ”mislead” khalayak umum ke arah menyokong projek ini secara tergesa-gesa tanpa terlebih dahulu dibekalkan dengan maklumat yang mencukupi. DI MANA UNJURAN HARGA TAMBANG? Dalam konteks ini, maklumat penting yang diperlekehkan oleh SPAD ialah harga tambang. Ramai yang ingin mengetahui harga tambang MRT apabila ianya mula beroperasi supaya orang ramai dapat membuat perancangan perbelanjaan masing-masing terlebih awal. Ini adalah kerana keputusan seperti membeli kenderaan peribadi akan mengenakan satu kos lesap (sunk cost) yang menggalakkan penggunaan selepas pembeliannya bagi mengelakkan ’kerugian kerana tidak menggunakannya’. Rakyat yang menangguhkan pembelian kereta sekarang tidak ingin dibebani harga tambang MRT yang tinggi dan tidak memadai apabila MRT mula beroperasi nanti. Sesungguhnya, kini wujud kebimbangan bahawa harga tambang MRT bakal membebankan pengguna. Pengumuman harga tambang, atau sekurang-kurangnya pengumuman unjuran harga tambang secara awal dapat memastikan pengguna, pembangun hartanah, penjual kereta peribadi, agensi kerajaan serta pelbagai pihak berkepentingan lain dapat membuat persiapan dan rancangan seawal-awalnya bagi mengelakkan spekulasi. KPRU tidak dapat mengesan sebarang sebab mengapa kerajaan yang dapat membuat unjuran berbilion-bilion berkaitan projek ini, misalnya peningkatan Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM3-4 bilion dan kesan limpahannya RM8-12 bilion, serta kenaikan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM300 juta setahun tersebut tidak dapat memberikan satu angka unjuran atas harga tambang MRT sehingga hari ini. Maka KPRU berpendapat adalah wajar kerajaan mengumumkan unjuran harga tambang dengan kadar segera supaya rakyat dimaklumkan realiti sebenar apabila MRT mula beroperasi nanti. Selain itu, adalah dimaklumkan bahawa harga tambang dalam konteks pengangkutan awam tidak terhad kepada harga tambang MRT, tetapi juga merangkumi harga tempat letak kereta, harga tambang bas feeder, masa menunggu dan lain-lain. Kos-kos tersebut harus diambil kira kerana jumlah angka boleh menjadi agak besar. Misalnya, satu kajian yang dibentangkan oleh Persatuan Kajian Air dan Tenaga (Association of Water and Energy Research, AWER) telah mengatakan bahawa kos tambahan minyak api kepada pengguna jalan untuk menuju ke Stesen MRT akan mencecah RM403.5 juta dari tahun 2016 hingga 2010.[1] Memandangkan hanya 37% (13 daripada 35 stesen MRT) stesen MRT yang akan dilengkapi dengan medan letak kereta, adakah pengguna akan berhadapan dengan kesukaran untuk mencari tempat letak kereta selepas MRT mula beroperasi, ataupun harga letak kereta akan menjadi terlalu mahal kerana kekurangan ruang?[2] Adalah diingatkan bahawa situasi tersebut belum lagi mengambil kira kes spesifik, seperti di Stesen 1Utama dan The Curve yang tidak mempunyai sebarang rancangan pembinaan medan letak kereta tambahan. Dengan tempat letak kereta yang terhad tetapi permintaan yang bertambah, bukankah rasional bagi pihak pengurusan 1Utama dan The Curve menaikkan harga letak kereta untuk tempoh masa panjang supaya memberikan keutamaan kepada pengunjung pusat membeli-belah? Jika sekiranya hal ini berlaku, kos tambahan akan membebankan pengguna MRT. PENGIRAAN HARGA TAMBANG KPRU Bagi memberikan satu gambaran kasar kepada orang awam, KPRU telah mencadangkan kadar tambang berpatutan berdasarkan 2 bentuk pengiraan atas maklumat yang terhad dan beberapa andaian. Kos tambang minima MRT dan juga Pariti Kuasa Beli (PPP) bagi Hong Kong, Singapura dan Taiwan adalah seperti berikut:
*Tukaran nilai mata wang berdasarkan http://www.xe.com pada 14 Feb 2011 Berdasarkan Pangkalan Maklumat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertarikh 15 Dis 2010 yang sama, PPP Malaysia hanya sekadar Intl.$14,603. Ekstrapolasi yang dibuat berdasarkan ketiga-tiga bandar di atas menunjukkan bahawa harga tambang minima MRT di Lembah Kelang patut berada dalam lingkungan RM0.38 hingga RM0.87 sahaja. Kaedah kedua melibatkan perbandingan domestik dengan lingkaran LRT yang sedia ada. Adalah didapati Projek LRT yang memperuntukkan RM8 bilion dapat mencapai 300,000 jumlah penumpang sehari, manakala MRT yang memperuntukkan RM36.6 bilion tersebut akan dapat menampung 2 juta penumpang sehari selepas 4 tahun beroperasi.[7] Walaupun kos pembangunan MRT adalah 4.58 kali ganda lebih tinggi daripada LRT, tetapi jumlah penumpang hariannya adalah 6.67 kali ganda lebih banyak daripada LRT. Maka jika kadar tambang minima bagi LRT adalah RM1, tanda aras (benchmark) kadar tambang minima MRT boleh dan patut menurun sehingga RM0.68! Mungkin anggaran kaedah kedua terlalu ”simplistic” kerana KPRU juga mengambil perhatian bahawa Laporan Ketua Audit Negara 2010 telah mengesyorkan bahawa mahupun tambang LRT dinaikkan daripada RM1.60 kepada RM9, Prasarana memerlukan 20 tahun untuk memulangkan modalnya. Tambahan lagi, Prasarana sekarang dibebankan dengan hutang sebanyak RM8.5 bilion.[8] Akan tetapi, bukankah kaedah pertama telah membuktikan bahawa kadar tambang di Hong Kong, Singapura dan Taiwan boleh kekal di paras yang rendah dan pada masa yang sama meraih keuntungan munasabah? Bukankah beban hutang Prasarana berpunca daripada kelemahan perancangan, penyelamatan berulang kali melalui suntikan modal dan juga korupsi yang berpunca daripada salah urus, tadbir urus lemah serta ketidaktelusan dan bukan kadar tambangnya? Bukankah MRT Lembah Kelang dikatakan akan mengikuti model Hong Kong? Jika modus operandi Hong Kong diikuti, kadar tambang yang murah juga harus ditetapkan untuk pengguna MRT di Lembah Klang. |
Rabu, 23 Februari 2011
rakyat terus dibebani kenaikan kos sara hidup .. Ubah sekarang , Selamatkan Malaysia !
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan