Saya menafikan laporan Buletin Utama TV3 bertarikh 21 Februari 2011 bahawa Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk menghapuskan kuota perumahan Bumiputera di di negeri ini. Laporan tersebut juga tidak tepat kerana menyebut kuota perumahan Bumiputera di Selangor adalah 30 peratus. Pada hakikatnya kuota tersebut adalah berbeza menurut daerah dan mukim iaitu dari 30 hingga 70 peratus. Kerajaan Negeri telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan wakil-wakil pemaju iaitu REHDA dan permintaan pelepasan kuota secara otomatik atau "automatic release" telah dibangkitkan oleh mereka. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri setakat ini belum lagi membuat sebarang keputusan tentang "automatic release" yang diminta oleh REHDA. Kerajaan Negeri telah hanya menubuhkan sebuah syarikat, Syarikat Perumahan Dan Hartanah Selangor, untuk membantu pemaju memasarkan hartanah di bawah kuota Bumiputera. Ini diharapkan dapat meringankan beban para pemaju di samping memastikan pemilikan hartanah di kalangan masyarakat Bumiputera terjamin. Saya berharap masyarakat tidak akan tetipu dengan propaganda yang dimainkan oleh UMNO Barisan Nasional atau media-media mereka. UMNO sentiasa memainkan sentimen perkauman di dalam setiap isu tetapi sebenarnya bersifat hipokrit. Contohnya di dalam isu kuota perumahan Bumiputera, UMNO berkokok kononnya mahu mempertahankan kuota ini tetapi di dalam masa yang sama pemaju-pemaju UMNO juga adalah di antara yang kerap mempertikaikan kuota tersebut. Iskandar A. Samad Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan