SHAH ALAM: Kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah akan menyambut ulangtahun ketiga pentadbirannya sejak memenangi Pilihan Raya Pada 8 Mac 2008.
Justeru itu, Selangor dipilih sebagai tuan rumah bagi mengadakan acara sambutan bagi memperingati detik bersejarah itu.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, bagi tahun ketiga ini selain mentadbir dengan lebih bertanggungjawab dan telus, kerajaan negeri akan memfokuskan dasar-dasar dan program yang telah dirangka.
“Atas sebab ini, majlis dan program sambutan akan diadakan dengan sederhana dan bersifat informasi agar rakyat peka dan tahu tentang dasar-dasar dan program kebajikan yang memberi manfaat kepada semua rakyat Selangor,” ujar Khalid dalam satu kenyataan media.
Program itu katanya akan dimulakan dengan Majlis Sambutan tiga Tahun pentadbiran negeri Selangor di Stadium Melawati, Shah Alam bermula pada 5 hingga 6 Mac ini.
Pelbagai acara disediakan seperti pameran agensi kerajaan dan swasta, program remaja termasuk futsal, ceramah perdana oleh tokoh-tokoh terkenal termasuk barisan pemimpin Negeri, solat Maghrib Berjamaah dan pelancaran Buku Jingga yang mengandungi Dasar Bersama dan komitmen Pakatan Rakyat.
Pada 26 Mac pula, Kerajaan Selangor akan melancarkan rangka kerja “Selangor Untuk Rakyat” membabitkan pameran Pihak Berkuasa Tempatan dan anak syarikat, pelancaran buku “Liku-Liku Reformasi” serta program seni seperti membaca sajak dan puisi.
“Kita juga akan menganjurkan Siri Jelajah seluruh Selangor yang melibatkan Menteri Besar, barisan Exco dan pegawai kanan kerajaan turun padang ke pejabat daerah untuk mendekati permasalahan rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan