klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Isnin, 23 November 2009

Gani Patail Berniat Jahat Terhadap Anwar - Peguam

Dakwaan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berniat jahat dan tidak boleh diterima memandangkan ketiadaan penemuan perubatan berhubung penetrasi, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Isnin.

Peguam R.Sivarasa, yang mewakili Anwar, berkata bukanlah satu perkara baru bahawa untuk melakukan dakwaan liwat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, penetrasi merupakan perkara utama dan teras.

Beliau berkata dalam kes ini, tiada bukti perubatan yang pasti bagi mencadangkan berlaku penetrasi ke dalam dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Berdasarkan laporan perubatan oleh pegawai perubatan dari Pusrawi yang mula-mula sekali memeriksa pengadu, dinyatakan bahawa dubur itu tidak berdarah, tidak cedera, tidak bernanah dan ia adalah bersih, kering serta kelihatan normal," katanya, sambil menambah perkara itu turut disokong oleh laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur yang menyatakan bahawa penetrasi tidak berlaku.

Oleh itu, beliau berhujah hakikat itu cukup untuk mahkamah membatalkan dakwaan terhadap Anwar memandangkan jelas bahawa tiada kesalahan yang telah dilakukan.

Sivarasa berhujah di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berhubung permohonan Anwar untuk membatalkan dakwaan liwat terhadapnya.

Pada 10 Mac, Anwar mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 24, bekas pembantu peribadinya, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 27 Jun tahun lepas.

Sivarasa turut berhujah bahawa dakwaan terhadap Anwar tidak berasaskan bukti sebaliknya berat sebelah, menyalahi undang-undang, berniat jahat, bermotifkan politik dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Beliau berkata mahkamah mempunyai hak dan kuasa sedia ada untuk membenarkan permohonan membatalkan atau menangguhkan dakwaan itu bagi mengelak pendakwaan yang menindas dan mempunyai niat buruk terhadap Anwar.

Sivarasa berkata pembabitkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kes itu jelas menunjukkan niat jahat terhadap Anwar, memandangkan beliau disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berikutan laporan polis terhadap beliau oleh Anwar membabitkan pemalsuan keterangan dalam insiden "mata lebam" ketika Anwar ditahan polis pada 1998.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata mahkamah mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk membatalkan atau menangguhkan dakwaan itu, bagi membetulkan salah laksana keadilan jika dakwaan itu benar-benar merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

"Bagaimanapun kami berpendapat dalam tindakan ini, ia hanya untuk menghentikan prosiding atau untuk menghalang mahkamah daripada terus mendengar kes ini," katanya.

Mohamed Yusof berkata berdasarkan laporan DNA oleh ahli kimia, terdapat spesimen DNA campuran daripada dua lelaki di tempat kejadian, yang menyokong dakwaan Mohd Saiful bahawa dia diliwat oleh Anwar.

"Ini bukanlah kes yang sewajarnya untuk mahkamah menggunakan kuasa sedia ada bagi membatalkan atau menangguhkan dakwaan memandangkan pendakwaan tidak tahu bagaimana kes itu memudaratkan Anwar," katanya.

Hakim Mohamad Zabidin menetapkan 1 Dis untuk keputusan. -Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan