Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantarkan surat kepada perdana menteri mengenai tuntutan bayaran royalti 5 peratus, yang berjumlah RM1 bilion, hasil petroleum dan gas cecair di perairan Kelantan.Kerajaan negeri membuat tuntutan itu tahun ini setelah mengetahuinya melalui laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa petroleum itu telah beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti RM1 bilion itu dikira bermula dari 2004 sehingga kini.
Ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) di Dewan Rakyat, perdana menteri berkata, kerajaan Kelantan tidak berhak menerima wang royalti minyak di perairannya kerana ia terletak di kawasan bertindih.
Najib berkata, kerajaan persekutuan telah meneliti isu royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan secara mendalam termasuk dari sudut perundangan berkaitan kuasa kerajaan serta pengurusan hasil petroleum negara.Katanya, sama seperti Terengganu, pembayaran wang ehsan itu diberi setelah kerajaan pusat mengambil kira keperluan untuk membangunkan Kelantan serta meningkatkan kesejahteraan hidup penduduknya selaras dengan arus pembangunan negara.
"Bagi memastikan agihan wang ehsan itu dibuat dan dinikmati secara langsung oleh rakyat Kelantan, peruntukan tersebut akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan dan program membasmi kemisminan dan akan disalurkan terus oleh kerajaan (pusat) setelah berbincang dengan kerajaan negeri," katanya, lapor Bernama.
Najib berkata demikian bagi menjawab sekaligus soalan-soalan yang dibangkitkan oleh beberapa ahli parlimen dari Kelantan sebelum ini berhubung tuntutan royalti minyak bagi negeri itu."Dari segi perundangan Kelantan tiada hak untuk membuat tuntutan begitu juga Terengganu," katanya.Najib berkata berdasarkan undang-undang, Kelantan dan Terengganu hanya berhak menuntut wang royalti sekiranya terdapat sumber petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri berkenaan.Perairan negeri ditakrifkan sebagai terletak tidak melebihi tiga batu nautika yang diukur dari tikas air surut atau pesisir pantai negeri tersebut, katanya.
"Pada masa ini tidak ada pengeluaran petroleum dalam kawasan perairan Kelantan dan Terengganu. Jadi dari segi perundangan kerajaan negeri Kelantan tidak ada hak untuk menuntut royalti petroleum, begitu juga Terengganu,” katanya.
Najib berkata meskipun peruntukan perundangan itu jelas, kerajaan persekutuan sebelum ini telah memperuntukkan wang ehsan kepada Terengganu dengan mengambil kira keluaran petroleum di luar perairan negeri itu selain berdasarkan pembangunan dan pendapatan rakyat.Kerajaan pusat memberi wang ehsan kepada Terengganu mulai 2000 yang dianggarkan RM1 bilion setahun selepas PAS mengambil alih pentadbiran negeri itu pada pilihan raya umum 1999.
"Kerajaan persekutuan komited untuk memberi pertimbangan adil dan saksama kepada semua negeri dan atas dasar itu Kelantan juga wajar diberi pertimbangan yang sama," kata Najib.Menurut perdana menteri, berdasarkan maklumat Petronas, pada masa ini hanya terdapat satu medan petroleum, yang dikenali sebagai Medan Bumi Kelantan yang mengeluarkan hasil, tetapi ianya terletak di luar perairan Kelantan.
Selepas jawapan Najib, Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) bangun dan berkata bahawa Kelantan bukan "peminta sedekah" sambil terus menuntut royalti minyak untuk Kelantan.Najib kemudian menyifatkan kenyataan ahli parlimen PAS itu sebagai sengaja mempolitikkan isu pemberian royalti.
"Hendak politikkan isu ini...tak habis-habis politik dia. Saya tidak tahu Yang Di-Pertua apa yang penting...kita sediakan dana ini untuk memberikan manfaat kepada rakyat Kelantan, sama prinsipnya seperti Terengganu," katanya.
Suasana persidangan menjadi tegang dengan beberapa wakil pembangkang termasuk Salahuddin, Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) bangun menuntut penjelasan mengenai perbezaan antara royalti minyak dan wang ehsan yang diberikan.
Cubaan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) untuk meredakan keadaan dengan mengutarakan soalan tambahan tidak berjaya menyebabkan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan semua ahli parlimen duduk atau menghadapi tindakan keluar dewan."Yang Berhormat...kalau perdana menteri, menteri tidak datang, Yang Berhormat mahu mereka datang. Tetapi bila mereka datang menjawab soalan Yang Berhormat tidak mahu dengar. Yang Berhormat syok cerita sendiri," katanya sebelum meminta Najib meneruskan jawapan beliau.
Menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), perdana menteri berkata bahawa sebelum ini wang ehsan itu tidak diberikan kerana berdasarkan peruntukan undang-undang Kelantan tiada hak untuk menerimanya.
"Ini melibatkan kawasan pertindihan...sekarang ini Petronas sahkan ada blok yang boleh dipertimbangkan, sebab itu kita timbang selain untuk pastikan rakyat Kelantan mendapat manfaat," katanya.Ahli-ahli Parlimen pembangkang kemudian terus mengemukakan pelbagai soalan kepada Perdana Menteri sehingga menuntut Pandikar Amin menghentikannya dengan meminta Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengutarakan soalan kedua dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.Malaysiakini------------------------------------------------*Sekali lagi Rakyat Kelantan dinafikan hak mereka. Wang Ehsan = Royalti ke?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan