Batu Rakit, SETIU - Belum lagi dirasmikan, Masjid Lingai di sini, sudah menghadapi masalah siling bocor sehingga menyebabkan ada beberapa bahagian siling kapur di masjid berkenaan mulai tertanggal.
Menurut penduduk, masjid itu mula dibina pada 2007 dengan kos kira-kira RM3 juta dan mula digunakan pada 1 Syawal lalu. Mereka mendakwa, masalah siling bocor di masjid itu sudah dikesan berlaku sejak ia mula digunakan.
Menurut penduduk, masjid itu mula dibina pada 2007 dengan kos kira-kira RM3 juta dan mula digunakan pada 1 Syawal lalu. Mereka mendakwa, masalah siling bocor di masjid itu sudah dikesan berlaku sejak ia mula digunakan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, banyak kesan air hujan masuk melalui siling masjid dan ia menyebabkan beberapa bahagian silingnya mula menjadi hitam dan hanya menunggu masa untuk jatuh. Seorang ahli kariah yang ingin dikenali sebagai Mohamad Abdullah berkata, setiap kali hujan lebat, air akan membanjiri bahagian luar ruang utama masjid melalui beberapa bahagian siling. ”Sebelum ini pernah berlaku kebocoran sehingga menyebabkan bahagian luar ruang utama masjid basah. Terbaru, pada minggu lalu ketika hujan lebat, beberapa keping siling kapur pula jatuh. ”Sebagai kariah di masjid ini, takkan kami hendak biarkan masjid ini begini sahaja. Malah, masalah ini tidak sepatutnya berlaku dengan nilai dan kos yang telah diperuntukkan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lingai, Nafi Baharim, 49, ketika dihubungi Sinar Harian mengakui berlakunya masalah siling bocor di masjid berkenaan. ”Perkara ini telah diajukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kami sudah mengenal pasti punca kebocoran yang berlaku,” katanya. Bagaimanapun, Nafi tetap bimbang jika masalah siling bocor itu tidak diatasi PBT dengan sebaik mungkin, tidak mustahil ia akan mengakibatkan kejadian lebih serius pada masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan