Angkatan Muda Keadilan
8 Januari 2010
BAKAR GEREJA: PROVOKASI PIHAK YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyelar keras tindakan ekstrem membakar beberapa buah gereja di sekitar Lembah Klang malam semalam.
Tindakan ini jelas merupakan satu provokasi terancang yang sedang diusahakan oleh pihak-pihak tertentu yang kelihatan terdesak dan dangkal pemikiran dalam mendepani isu penggunaan kalimah Allah yang hangat dipolemikkan mutakhir ini.
AMK tegas menyatakan bahawa sebarang bentuk provokasi sebegini hendaklah ditegah sama sekali.Dalam masa yang sama AMK tidak melihat wujud keperluan untuk kita menunding jari kepada kelompok Melayu Muslim yang ekstremis,sebaliknya insiden semalam mempunyai kebarangkalian dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang kepingin melihat negara dilanda satu situasi yang tidak menentu.Ini pastinya mempermudahkan kalangan tertentu mengaburkan pandangan rakyat ke atas isu-isu yang lebih besar.
AMK percaya bahawa insiden ini tercetus berikutan wujudnya ketidakfahaman kelompok tertentu ke atas saranan Al-Quran dan Hadith. Al-Quran dengan jelas menyebut di dalam surah Al-Kafiruun bahawa betapa umat Islam perlu menghormati agama lain sebagaimana penganut agama lain perlu menghormati Islam. Provokasi bukan salah satu mekanisme penyelesaian masalah yang bijak dan tuntas.
AMK menyarankan agar rakyat tidak bersikap emosional dalam menghadapi isu-isu ini.tidaklah bermakna jika kita hanya mempertahan nama Allah,tetapi gagal mengikuti garis panduan yang telah Allah nukilkan di dalam Al-Quran sebagai sebaik-baik panduan buat umat manusia seluruhnya.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan