Penyelaras Gabungan Rakyat Membantah FTA, Y.Kohila berkata perhimpunan mereka hari ini mewakili suara rakyat membantah hasrat kerajaan melaksanakan FTA kerana ia bakal akan mengikat negara dan kehidupan rakyat.
Menurut Kohila, rundingan FTA ini akan memberikan kesan negatif terhadap pekerjaan, jaminan keselamatan, makanan, ketahanan industri domestik, daya maju firma dan ladang kecil seterusnya kedaulatan negara.
"Kami membantah FTA ini kerana ia dilihat memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia, ia dilihat lebih daripada perdagangan semata-mata tetapi ia mengikat kehidupan rakyat biasa," katanya.
Tambahnya lagi, FTA juga akan menuntut hak pelabur di mana kerajaan tidak mempunyai hak mengubal polisi sekaligus menjejaskan industri tempatan ekoran kegagalan daya saing dengan produk Amerika kerana penghapusan cukai.
"Jika perjanjian ini ditandatangani maka, kerajaan tidak ada hak membuat polisi sama ada mengubah untuk kepentingan syarikat tempatan di mana syarikat gergasi Amerika boleh memasuki tender dan pembelian kerajaan," katanya.
Antara NGO lain yang hadir ialah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
"Secara keseluruhan FTA ini akan memberi kesan kepada seluruh kehidupan rakyat Malaysia yang bukan sekadar perjanjian perdagangan," katanya lagi.
Selain itu antara yang dikhuatiri berlaku sekiranya perjanjian tersebut dilaksanakan ialah sektor pertanian padi akan terjejas dengan kemasukan produk pertanian Amerika yang jauh lebih murah akibat penghapusan cukai import. Malahan perlaksanaan FTA juga bakal menyaksikan harga ubatan melambung dan membebankan rakyat.
Sebagai rekod, pada tahun 2006 hingga 2007 rakyat Malaysia telah beberapa kali menyuarakan bantahan dan akhirnya berjaya menghentikan perjanjian FTA antara Amerika-Malaysia ketika itu.
Namun, apa yang dikesali, suara rakyat yang dahulunya membantah kini diketepikan apabila Malaysia kembali berunding dengan kuasa dunia Amerika Syarikat dalam Trans Pacific Partnership atau TPP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan