Oleh Suara Keadilan |
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberikan ruang kepada saya terlibat sama-sama membahaskan Rang Undang-Undang yang dibentangkan di Dewan yang mulia ini pada hari ini. Tetapi sebelum itu saya memohon untuk diberikan sedikit masa memandangkan hampir dua tiga minggu kebelakangan ini saya tidak mempunyai forum yang cukup untuk membalas hujah-hujah dangkal yang dikemukakan oleh Awang Selamat [Mingguan Malaysia] yang sudah semestinya oleh UMNO dan juga Barisan Nasional. Pada hari ini Dewan yang mulia kita terpaksa membahaskan Rang Undang-undang pindaan ini, yang mana ianya adalah disebabkan oleh kesilapan yang telah dilakukan oleh pemerintah di zaman Barisan Nasional. Yang mana saya melihat oleh sebab mereka ini ingin mengampu pimpinan-pimpinan mereka di peringkat pusat, akhirnya mereka telah bertindak mengorbankan kuasa DYMM Sultan Selangor dan juga Kerajaan negeri. Sebelum tahun 1993 Fasal 1 perkara 52 Undang-Undang Tubuh yang pada asalnya dengan jelas memberikan kuasa kepada DYMM Sultan Selangor bagi membuat pelantikan-pelantikan ke jawatan-jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Fasal 1 yang asal sebagaimana yang dinyatakan dalam Rang Undang-Undang Pindaan ini jelas memperlihatkan melibatkan kepada semua yang berkaitan, iaitu DYMM Sultan Selangor, YAB. Dato' Menteri Besar Selangor dan juga Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan yakni Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, tidak ada satu pun pihak dalam pelantikan ini yang dikesampingkan. Kita harus melihat kembali senario yang berlaku pada tahun 1993, yang mengakibatkan pindaan ke atas fasal 1 perkara 52 dibuat, pada ketika itu yang menjadi persoalan ialah berkenaan dengan kekebalan Raja-Raja dari tindakan undang-undang atas kapasiti peribadi Baginda seperti mana telah disebutkan oleh Yang Berhormat Hulu Kelang tadi, ianya bukan kerana dengan kuasa Raja-Raja tetapi oleh sebab Barisan Nasional, UMNO di Selangor ingin menunjukkan taat setia yang melampau kepada kepimpinan mereka di peringkat pusat maka mereka bertindak lebih jauh dengan meminda undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959. lni sejarah yang dicatatkan, akibatnya kuasa DYMM Sultan dimansuhkan dan menafikan peranan pihak Kerajaan Negeri dalam perkara berkaitan pelantikan tiga pegawai-pegawai utama perkhidmatan awam negeri ini. Jelas di sini mereka terkeliru dengan pindaan di peringkat Persekutuan yang hanya menyentuh kekebalan Raja-Raja Melayu tetapi mereka terlajak menyentuh sehingga ke peringkat membuang kuasa Raja-Raja Melayu. Cara pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini jelas memperlihatkan keegoan, kesombongan dan kebiadaban Kerajaan Pusat dalam urusannya dengan kerajaan-kerajaan negeri terutamanya dengan kerajaan negeri pakatan rakyat di Negeri Selangor. Tambah memeranjatkan terdapat segelintir daripada anggota perkhidmatan awam di Negeri ini yang sanggup menjadi budak-budak politik mereka di Putrajaya, sedangkan mereka seharusnya bersifat secara profesional, bebas, berkecuali dan setia kepada Kerajaan yang memerintah [dengan izin] mengikut government of the date Kerajaan yang pemerintah pada hari ini. Di sinilah watak-watak si kitol dan juga Raja Mandelia terdedah dan terlihat dengan jelas. Kita pada hari ini dipaksakan tanpa kerelaan menerima seorang Setiausaha yang kemampuannya, saya tidak mahu sentuh sangat panjang lebar mengenai hal ini, kerana kita mempunyai adab dan sopan tetapi saya nak beritahu bahawa keraguannya diragui, banyak pihak yang meragui, yang mempertikaikan tentang kelayakan dari kemampuannya untuk membantu menguruskan Kerajaan Negeri. Bahkan saya difahamkan dalam senarai awal untuk calon-calon daripada Kerajaan negeri pun tidak berada dalam kedudukan yang baik dan dalam senarai Putrajaya pula kedudukan nama ini adalah di peringkat kedudukan yang terakhir. Tetapi oleh sebab adanya permainan politik di peringkat Putrajaya maka orang kerdil dan tidak cekap inilah yang menjadi pilihan di Putrajaya, soalannya mengapa?.. Sebabnya jelas Putrajaya memerlukan seseorang yang sanggup menjadi budak suruhan mereka bagi mengucar-ngacirkan Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui oleh Kerajaan Pakatan. Akibat dari kesanggupan menjadi pak sanggup dan budak suruhan kepada Ratu AP, maka Tan Sri Sidek Hasan ini akhirnya, mendapat imbuhan kenaikan pangkat menjadi Ketua Setiausaha Negara, walaupun pada masa itu, terdapat ramai lagi pegawai-pegawai kanan yang layak dan lebih kompeten daripada beliau. Jelas di sini yang dicari bukanlah keupayaan, dan juga bakat tetapi kesanggupan menjadi budak suruhan kepada tuan-tuan politik. Mengenai, Tan Sri Sidek ini beliau memang terkenal dengan slogan NIKE kasut bola tu, slogan NIKE just do it, atau buat sahaja dan ini pernah mendapat teguran daripada Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional, kawasan Johor Bahru, YB Dato' Shahrir Samad yang menegur beliau supaya tidak buat sahaja, tetapi lihat sama ada perkara itu boleh dilaksanakan ataupun tidak, perangai yang buat sahajalah, pada pandangan saya telah mengakibatkan perkara di Selangor berlaku sekarang ini. Semangat federalisma dan semangat undang-undang tubuh, dilanggar dan dipijak-pijak si pak sanggup kepada Ratu AP Rafidah Aziz ini buat sahaja pelantikan SUK tanpa adap dan sopan apatah lagi untuk berlanya dan mendapat pandangan Ketua Kerajaan Negeri Selangor YAB. Dato' Menteri Besar. Pindaan yang dibincangkan di dalam dewan yang mulia ini, saya yakin akan dapat mengembalikan semula, kuasa DYMM Sultan Selangor dan Kerajaan negeri dalam pelantikan pegawai-pegawai utama di negeri Selangor, ianya juga akan dapat menyelamatkan Dalam kita membicarakan isu pelantikan ini terdapat juak-juak dan juga batu api yang cuba melaga-lagakan antara kerajaan negeri dan juga pihak istana. Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar dan Kepimpinan Kerajaan Negeri dituduh sebagai penderhaka oleh Awang Selamat daripada Mingguan Malaysia, oleh UMNO, oleh pendukung-pendukung UMNO dan PERKASA yang mana mereka menggambarkan seolah-olah kita Kerajaan Pakatan Rakyat ini tidak menghormati pihak lstana. Saya sendiri difitnah dengan buruk oleh juak-juak puak-puak ini. Kalau kita perhatikan kepada apa yang saya sebut yang saya tulis dalam blog itu pagi tadi yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, saya fikir, saya tidak beliau membaca apa yang saya tulis dengan panjang lebar kerana kalau beliau baca, Ketua Pembangkang baca beliau tidak akan berani berkata pun sebut perkataan biadab kepada saya. lnilah masalahnya ketua pembangkang kita di Selangor, ada gelaran Doktor tetapi saya tak fikir internet pun beliau tak mampu nak buka. ltu sebabnya beliau tak baca. Kalau dibaca secara ilmiah ia akan menjadi satu ilmu yang boleh kita kongsi bersama. Tetapi kalau kita baca mengikut ruang lingkup kepala politik kita maka perkara ini boleh dipolitikkan. Jadi saya gesa kepada Ketua Pembangkang dan sahabat-sahabat kita daripada Barisan Nasional, buka dulu, baca dulu, teliti dulu kemudian barulah buat rumusan apakah benar ada penderhakaan di situ yang sebut penderhakaan ini Utusan Malaysia. Tidak adakah benda lain yang boleh Utusan Malaysia ini tulis bagi membuka minda rakyat kita di Negeri Selangor ini hingga terpaksa menggunakan perkataan-perkataan biadab, kurang ajar, sopan yang tidak sopan yung ditujukan kepada ahli-ahli Dewan. Kita bukanlah orang yang mengungkapkan perkataan derhaka dan saya nak tegaskan Kerajaan Negeri Selangor tidak ada seorang pun dalam Dewan Negeri ini yang mengungkapkan perkataan “sekian lama kita mati dalam setia, kali ini kita hidup dalam derhaka”. lni ayat yang dikemukakan oleh lbrahim Ali, pada, 18.1.1993. Saya mempunyai hansard kalau ketua pembangkang ada, ketua BBC ada, saya juga ada tetapi saya bawa sikit saja sebab berat. Berat kerana pembohongan dan fitnah oleh Ahli Parlimen Pasir Mas. Dan sebab itu saya ingin tegaskan bahawa kita di Dewan ini kita tidak pernah mempergunakan perkataan sebegitu, perkataan yang jelas walau pun disebut dalam Sidang Dewan Negeri, disebut dalam Dewan Negara, Dewan Rakyat, walau pun kita semua mempunyai kekebalan dan juga imuniti, tetapi perkataan itu jelas menunjukkan kederhakaan yang besar kepada Raja-Raja Melayu. Siapakah yang derhaka sebenarnya. UMNO tolong jawab. Siapa? Siapakah yang menjadi bapak kepada segala penderhaka? Dalam negara kita ini tidak iain dan tidak bukan yang derhaka sebenarnya adalah UMNO dan juga Barisan Nasional. lni sejarah yang sudah pun dibuktikan. Kita bukanlah orang yang sanggup untuk menggelar Raja kita sebagai binatang seperti di Terengganu. Dan kita juga bukanlah orang yang sanggup menabalkan orang lain menjadi Raja seperti mana yang dibuat oleh Annuar Musa di Kelantan. lni sejarah yang sudah dicatitkan. Tahun 1993 kita bukan budak kecil yang tidak ingat semua perkara, yang tidak ingat mungkin Dr Mahathir seorang dalam hansard dewan ini tercatat dengan jelas bagaimana bahasa-bahasa yang digunakan oleh Tun Mahathir Mohamed cukup mencalar, jiwa orang-orang Melayu dan juga Raja-raja Melayu.
Tetapi kenapa tiba-tiba Dato' Tajol Rosli kata UMNO tidak pernah ucap perkataan seperti Yang Berhormat Nizar Jamaluddin sebut di Negeri Perak dan ini ungkapan yang termuat dalam akhbar Utusan Malaysia pada 12.2.2009. Tindakan arwah bapanya itu kepada Sultan apakah yang boleh kita takrifkan. Derhaka ke tidak? Tengku Razaleigh tidak bersetuju dengan tindakan Yang Berhormat Karpal Singh untuk menyaman Sultan Perak tetapi beliau menyatakan Karpal membuat satu perkara yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan pemimpin UMNO yang memberikan laluan pada tahun 1993. Dan ini disiarkan oleh akhbar The Star pada 17 Februari 2009. Tiba-tiba hari ini, tiba-tiba waktu ini setelah begitu banyak penderhakaan dan kurang ajar, kebiadaban yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional, hari ini UMNO pula yang menjerit marah kepada kita dan juga kepada peguam Karpal kononnya menderhaka kepada sultan. Lidah bercabang betul UMNO / BN ni… Y.B. Sementa ada dekat sini boleh membuktikan. lni Setiausaha UMNO! Bukankah orang politik? ke apa bendanya? NGO apa benda ini? Dan ini juga “sahabat” saya yang pernah lari daripada medan perjuangan di Sarawak. Waktu pilihan Raya Umum Tahun 2001. Dikejar oleh samseng-samseng yang diupah oleh Barisan Nasional. Di Sarawak tak ada UMNO !!? PPB, Parti Bumiputra Bersatu.. PBB ya, Parti Petaka Bersatu..(ketawa) Apa jugalah gelaran tapi masuk Barisan Nasional akhirnya. Dia lari meninggalkan tempat bilik gerakan lintang pukang hilang kemana.. lnilah dianya, hari ini muncul orang pengecut ini kononnya nak menjadi jaguh kepada GAPS. Saya nasihatkan beliau belajar untuk sebut perkataan 'r' betul-betul dulu baru ‘lead’ GAPS.. Kita juga bukanlah orang yang membuat laporan menghasut rakyat, membenci raja-raja Melayu dengan laporan-laporan palsu dan fitnah. Yang ini Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia serta Awang Selamat cukup pakar dan begitu seni. Lihat saja laporan-laporan polis dan ulasan-ulasan mereka sepanjang tahun 1993 ketika krisis perlembagaan yang melibatkan raja-raja Melayu. Bacalah juga hansard parlimen ketika itu yang saya bawa pada hari ini yang juga dimiliki oleh Ketua Pembangkang yang mungkin juga salinan itu adalah salinan palsu seperi yang disebut oleh Bukit Antarabangsa. Bagaimana dalam laporan-laporan hansard itu menyebut perkataan-perkataan yang digunakan oleh mantan perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan juga Dato' lbrahim Ali. Kita juga dapati pemimpin-pemimpin daripada Barisan Nasional memalukan dan menghina raja-raja Melayu. Ada yang sanggup mengatakan raja-raja membazirkan duit rakyat. Saya membandingkan peruntukan fasal 1, perkara 52 yang sedia ada yang menyebut pelantikan bagi tiga pegawai utama perkhidmatan awam di negeri ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan. Tidak disebut Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mahu pun kerajaan negeri. Yang anehnya ada anggota perkhidmatan awam di negeri ini yang cuba berlagak pandai dengan menyatakan bahawa perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor masih dikehendaki kerana baginda adalah Ketua Eksekutif seperti yang dinyatakan dalam perkara 50. Orang ini yang selayaknya digelar sebagai si kitol yang memutar belit dengan menyatakan persetujuan Menteri Besar tidak diperlukan disebabkan fasal 1, perkara 52 tidak menyebut tentang YAB Dato' Menteri Besar. Yang peliknya kerana fasal 1, perkara 52 pun tidak menyebut Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Orang ini telah membaca bersama dua perkara yang berlainan iaitu perkara 50 dan perkara 52. Itulah sebabnya saya menyoal beliau mengapa tidak dibaca sekali perkara 55 yang mengkehendaki Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mendapat nasihat dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh Dato, Menteri Besar dalam menjalankan kuasa-kuasa baginda. Kalau orang ini membaca perkara 50 bersekali dengan perkara 52, apakah yang menghalang beliau untuk membaca kedua-dua perkara tersebut dengan perkara 55? lni kerana dia dan juga tuan politiknya di putrajaya tahu bahawa mereka tersilap langkah dalam melantik Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa merujuk kepada YAB Dato' Menteri Besar. Jawapan beliau untuk menegakkan benang basah dan juga pembohongan ialah "Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor hanyalah menjalankan kuasa eksekutif baginda. Oleh itu perkara 55 tidak perlu. "Dialah Setiausaha Sulit, dialah juga Penasihat undang-undang dan dia jugalah Hakim yang membuat tafsiran. lni sekali lagi menunjukkan daya fikir orang ini yang dikawal oleh pihak-pihak yang tertentu. Perkara 55 menyebut bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor hendaklah mendapat nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam menjalankan fungsi-fungsi baginda di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959. Hari ini saya bawa Buku Undang-Undang Tubuh ini. Oleh kerana mentaliti budak suruhan maka puak-puak ini sengaja berkomplot membuat pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan memperalatkan istana dan tanpa melibatkan Kerajaan Negeri. lnilah sikap biadab suruhanjaya perkhidmatan berkenaan yang berkomplot dengan kumpulan-kumpulan yang sengaja ingin mencetuskan sabotaj kepada Kerajaan Negeri. Oleh itu saya berpandangan dan menegaskan pindaan ini yang mengembalikan kuasa kepada Duli yang Maha Mulia sultan selangor dan Kerajaan Negeri adalah jalan terbaik bagi menghindarkan kekeliruan dan manipulasi berlaku pada masa-masa hadapan. Pindaan ini jelas meletakkan setiap pihak di kedudukannya, di tempatnya iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor melantik pegawai Kerajaan Negeri selangor sebagai penasihat kepada Baginda dan suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan sebagai pihak yang membuatkan pelantikan. Setiap pihak mempunyai peranan dan juga peluang untuk bersuara bagi memberikan pandangan dalam pelantikan ini. Bukankah di dalam Islam juga setiap sesuatu itu sebaiknya dijalankan secara musyawarah ataupun secara mesyuarat atau hanya budak suruhan putrajaya yang mahu bertindak sewenang-wenangnya melanggar dan membelakangkan institusi dalam negeri ini. Golongan budak suruhan Putrajaya inilah yang saya maksudkan sebagai Beraja di mata, bersultan di hati dan bukan ditujukan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Jadi jangan pusing, Kuang pun hari itu bukan main garang lagi keluar dalam surat khabar. “Oh ini sudah derhaka namanya". Siapa kamu untuk menentukan derhaka atau pun tidak. Semua ahli dewan kita mempunyai hak untuk bersuara dan memberikan pandangan. Tapi pandangan itu mestilah diluahkan dengan cara yang betul, jangan ambil separuh-separuh, potong dan olah menjadi seolah-olah adanya permusuhan di antara Kerajaan Negeri, saya sendiri sebagai wakil Rakyat Sri Muda dengan pihak istana. Perkara ini adalah perkara yang sengaja diwujudkan untuk memporak-perandakan Kerajaan Negeri Selangor. Kami dari Pakatan Rakyat tidak akan membenarkan sekali-sekali Putrajaya memperalatkan lstana demi cita-cita politik mereka. Kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Kerajaan Negeri hendaklah dikembalikan semula kepada asalnya sebelum pindaan yang dilakukan pada tahun 1993. Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor bukanlah seperti Barisan Nasional yang mudah tunduk kepada Putrajaya bahkan wujudnya Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan pun kerana kebaculan mantan Menteri Besar daripada Barisan Nasional yang tunduk kepada tuannya di Putrajaya. lni sebagai imbuhan kepada tuannya yang menjadikan beliau sebagai Dato' Menteri Besar Selangor pada tahun 2000, pampasan dan royalti sebanyak 8 juta setahun yang diberikan itu tidak setanding dengan nilai Putrajaya itu sendiri. Saya menyokong penuh pindaan ini dibuat demi untuk mengembalikan kuasa kedaulatan maruah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Raja Berdaulat dan Kerajaan Negeri selaku kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku. |
Selasa, 15 Februari 2011
PENDERHAKA INSTITUSI RAJA IALAH UMNO
Shuhaimi Kemuka Bukti Kukuh Umno Khianat, Hina Raja-Raja Melayu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan