SHAH ALAM 15 FEB: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pemimpin-pemimpin pembangkang yang menemuinya lebih 20 tahun lalu sebelum mereka ditahan di bawah Ops Lalang seharusnya bercakap benar dan mengakui bahawa mereka ada menemuinya sebelum Ops itu dilaksanakan.
"Ia berlaku lebih 20 tahun lalu. Saya benar-benar ingat perjumpaan dengan mereka, saya tidak ingat wajah-wajah mereka. Saya pasti Karpal (Singh) bukan salah seorang daripadanya dan saya rasa (Lim) Kit Siang salah seorang daripada mereka," katanya lapor Bernama.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan pemberita sama ada beliau akan menyahut cabaran oleh pengerusi DAP Karpal Singh untuk menamakan anggota pembangkang yang menemuinya sebelum Ops Lalang dilaksanakan.
Dr Mahathir berkata sekiranya pemimpin pembangkang ikhlas dan tidak cenderung untuk berbohong, beliau merasakan mereka perlu mengakui yang mereka menemuinya sebelum operasi.
Katanya pemimpin-pemimpin pembangkang merayu kepadanya bagi mengelak penahanan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987, dan itu adalah sebabnya mengapa beliau menemui mereka supaya mereka tidak ditahan.
Dr Mahathir berkata :"Ia memalukan buat saya, selepas beri jaminan yang mereka tidak akan ditahan, mereka ditahan polis, dan sudah tentu saya terpaksa menandatangani perintah tahanan."
Sementara itu semasa ditanya sekiranya Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud perlu meletak jawatan sebelum atau selepas pilihan raya negeri Dr
Mahathir berkata:" Ia terpulang kepada rakyat Sarawak untuk menentukannya, saya rasa mereka lebih tahu sama ada dia perlu berundur atau tidak".
Bagaimanapun Dr Mahathir berkata sekiranya Taib hendak berundur, sepatutnya perlu ada seseorang untuk menggantikannya, bukan seperti bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak yang meletak jawatan tanpa sebarang pelan pemindahan kuasa yang teratur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan