Fitnah II: Mahkamah tolak tiga bahan bukti pendakwa
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak bahan bukti yang dikemukakan pihak pendakwa sekaligus menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasukan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, bahan bukti berkaitan diperolehi secara tidak adil, justeru ia harus ditolak.
“Barang-barang ini terutamanya hendaklah dikecualikan daripada perbicaraan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membacakan keputusan bicara dalam perbicaraan berhubung penolakan tuala ‘Good Morning’, botol air mineral ‘Cactus’ dan berus gigi sebagai bahan bukti perbicaraan Fitnah II.
Terdahulu, peguam Karpal Singh menjawab hujah Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden semalam dalam usaha tidak membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk menjadikan tiga barangan kontroversi berkenaan sebagai bukti.
Sebaliknya, Yusof pula berkata, mahkamah perlu mempertimbangkan sama ada barangan tersebut adalah relevan walaupun cara ia diperolehi mungkin ‘tidak sah’.
Karpal dalam hujahnya semalam menegaskan, penahanan Anwar secara tidak sah dan pemerolehan DNA-nya secara tipu muslihat adalah alasan kukuh untuk mahkamah menolak bukti yang dikemukakan pendakwa raya.
Menurut Karpal, penahanan Anwar pada 16 Julai 2008 bertentangan dengan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 28A(1) Kanun Acara Jenayah.
Beliau berkata, Superintendan Ahmad Taufik Abdullah – pegawai polis yang menahan Anwar gagal mengemukakan waran tangkap mahupun asas penahanan sewaktu Ketua Pembangkang itu ditahan.
“Mengikut Perkara 5(3) dan Seksyen 28A(1) Kanun Acara Jenayah, polis yang menahan seseorang tanpa waran, perlu memberitahu individu berkenaan asas penahanannya,” katanya.
Malah, katanya, Anwar menerusi peguam beliau, Sankara Nair sudah memberi jaminan kepada polis untuk hadir memberi keterangan pada jam 2.00 petang pada hari beliau ditahan secara tidak sah.
Selain itu, Karpal berkata, tuala ‘Good Morning’, botol air mineral ‘Cactus’ dan berus gigi – barangan diambil tanpa kebenaran Anwar sewaktu
beliau tidak lagi berada di lokap.
Sedangkan, katanya, Seksyen 64 Kanun Acara Jenayah menyatakan polis perlu menyenarai barang-barang yang diambil daripada individu yang menghuni lokap manakala Seksyen 65 kanun sama menyebut, individu berkenaan perlu hadir sewaktu rampasan dibuat.
Pertuduhan itu dipercayai sebahagian usaha terancang untuk menyekat kebangkitan Anwar dalam menyakinkan rakyat untuk menolak Barisan Nasional (BN) selepas kejayaan memimpin Pakatan Rakyat memenangi lima negeri dalam pilihan raya umum 2008.
Bagaimanapun dipercayai keputusan yang memihak kepada pembela akan pasti menjadi pengajaran kepada polis agar lebih berhati-hati ketika membuat tangkapan.
Mahkamah ditangguhkan pada jam 10.37 pagi tadi dan perbicaraan penuh akan bersambung pada jam 9.00 pagi esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan