Bermula dengan Tunisia sebagai keping domino yang pertama, catatan babak-babak berita semasa sebagai draf primer dalam proses konstruk sejarah baru bakal memberikan pengiktirafan bukan sahaja kepada peranan kebangkitan kuasa rakyat di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) tetapi juga peranan pasukan tentera. Penukilan bahan berita berhubung tindakan dan reaksi pihak tentera bakal memberikan nafas baru bukan sahaja kepada proses pendemokrasian rantau MENA tetapi juga transformasi dalaman sifat ketenteraan seperti yang disaksikan dalam sejarah pendemokrasian Indonesia pasca Soeharto. Salah satu cabaran terbesar kita hari ini adalah untuk mengasingkan tentera daripada politik. Kini tibalah waktunya orang awam (civilian) memainkan peranan yang sepatutnya. Begitulah wacana baru yang dibawa oleh Amien Rais, tokoh penggagas reformasi Indonesia semasa beliau berceramah di Bandung pada 5 Jun 1998. Wacana baru tidak berkembang secara semula jadi. Begitu juga, wacana baru peranan pihak tentera dan sifat ketenteraan terhasil daripada proses konstruksi melalui aktor. Setiap satu konstruksi turut membawa bersamanya bermacam-macam tindakan dan reaksi dalam kalangan anggota masyarakat. Dalam konteks Indonesia pasca Soeharto, wacana di atas merupakan sesuatu yang baru. Begitu juga, dalam konteks kejatuhan rejim-rejim pemerintah di rantau MENA, kemungkinan wacana baru berhubung transformasi dalaman sifat ketenteraan bakal muncul setelah masyarakat sedunia menyaksikan babak-babak memberangsangkan apabila semakin ramai dalam kalangan anggota tentera yang tidak menekan kebangkitan kuasa rakyat. Sekurang-kurangnya, janganlah pihak tentera menyokong mana-mana kuasa politik termasuk rejim pemerintah yang sering kali cuba mengongkong minda pasukan tentera seperti kisah "Mitos Gua" yang aku ceritakan dalam artikel sebelum ini. Rejim pemerintah berbuat demikian untuk mewujudkan suasana takut atau apa yang disebut sebagai politics of fear dalam kalangan rakyat secara amnya dan dalam kalangan anggota tentera secara khususnya. Dengan kata lain, rejim pemerintah cuba menjadikan pihak tentera sebagai sebahagian daripada apparatus hegemoni politik. Pendirian tentera cukup memberangsangkan! Dalam konteks Malaysia pasca 8 Mac, pendirian jelas yang dibuat oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Zulkifeli Mohd Zin cukup penting untuk dibangkitkan dalam diskusi peranan tentera dan sifat ketenteraan dewasa ini. "Jangan heret pasukan tentera ke kancah politik kerana kami bersifat berkecuali dan hanya bertanggungjawab menjaga keamanan dan kedaulatan negara." "Tentera tidak campur tangan langsung dalam urusan politik negara, namun menyokong sepenuhnya kepada kerajaan memerintah yang dipilih rakyat. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita tidak ambil tahu pasal soal politik negara atau antarabangsa." Izinkan aku memetik tiga perenggan di atas daripada laporan berita yang disiarkan pada muka depan Berita Harian dua hari yang lepas (2 Mac 2011). Telitilah bahagian-bahagian yang aku tekankan, mesejnya cukup penting, cukup jelas dan cukup memberangsangkan! Profesional tentera disifatkan prinsip berkecuali Samuel P. Huntington, sarjana Amerika yang terkenal dengan tesis "pertembungan peradaban" (clash of civilization) yang penuh kontroversial pernah berbicara secara panjang lebar tentang peranan tentera dan sifat ketenteraan dalam karya lama beliau "The Soldier and the State: The Theory and Politics of Civil-Military Relations". Menurut Huntington, terdapat perbezaan antara sifat ketenteraan yang mendokong nilai profesionalisme dan yang tidak mendokong nilai profesionalisme. Begitu juga, terdapat perbezaan antara peranan tentera yang melihat faktor dalaman sebagai ugutan dan yang melihat faktor luaran sebagai ugutan. Perbezaan di atas mencorakkan hubungan komplekscivilian-military. Secara asas, profesionalisme pasukan tentera disifatkan oleh prinsip berkecuali. Pelengkap kepada prinsip tersebut ialah kepakaran yang khusus dan mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi melalui latihan, pendidikan, pengalaman dan sentiasa mengikuti perkembangan dalam bidang kepakarannya. Sebagai suatu profesion, Huntington menekankan bahawa, pasukan tentera wajar mengekalkan sifat berkecualinya dan mengasingkan diri daripada godaan politik. Institusi ketenteraan yang tidak terbawa-bawa oleh kuasa politik juga dapat mengekalkan semangat esprit de corps yang tinggi. Balik kepada komen Jeneral Zulkifeli. Mesej positifnya adalah bahawa konflik politik merupakan lumrah masyarakat maka profesion tentera tidak wajar campur tangan dalam proses tersebut khususnya sepanjang tempoh pilihan raya umum (PRU) diadakan. Pasukan tentera tidak tunduk kepada tekanan politik Begitu juga, sekiranya keputusan PRU Ke-13 yang bakal diadakan nanti membawa perubahan besar yang menyaksikan kesedaran, kemahuan dan kebangkitan rakyat yang lebih besar berbanding dengan PRU Ke-12, semangat esprit de corps profesion tentera dapat dikekalkan apabila pasukan tentera tidak diperkudakan oleh rejim pemerintah untuk menentang aspirasi rakyat. Atau secara ringkas, pasukan tentera berkecuali, tidak tunduk kepada tekanan politik! Sebagai suatu profesion, anggota tentera juga haruslah diberikan hak memilih calon wakil rakyat secara bebas tanpa tekanan politik dan tanpa sebarang kemungkinan manipulasi undi pos. Justeru, anggota tentera sewajarnya berhak menuntut ketelusan yang lebih tinggi dalam proses pengundian yang melibatkan hak memilih mereka. Dalam berita tersebut, Jeneral Zulkifeli juga menyentuh keperluan tentera darat untuk sentiasa membuat pembaharuan dari segi latihan dan peralatan ketenteraan untuk memantapkan keupayaannya. Sebagai suatu profesion, ini merupakan sebahagian daripada keperluan khususnya dalam konteks modenisasi. Menurut seorang sarjana Indonesia, Soerjono Soekanto, modernisasi dicorakkan oleh ciri-ciri tertentu termasuk tata kelola yang baik. Prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban merupakan asas kepada tata kelola yang baik. 400 tahun sebelum masihi, Chanakya (c. 350-275 BC) yang sering mendapat julukan sebagai Indian Machiavelli, telah menulis karya yang berjudul Arthashastra yang dapat dianggap sebagai pendahulu dari Machiavelli's The Prince. Karya tersebut ada menyentuh aspek tata kelola dalam konteks seni pemerintahan raja. Kini, susulan daripada mesej positif yang dibawa oleh Jeneral Zulkifeli, khalayak rakyat yang prihatin terhadap isu-isu berhubung pemerolehan kelengkapan dan senjata ketenteraan juga mengharapkan perubahan positif dapat berlaku dalam erti kata transformasi dalaman profesion tentera dari segi tata kelola yang baik. Dalam jawapan yang diberikan oleh Kementerian Pertahanan kepada ahli parlimen Selayang Willian Leong Jee Keen (gambar kiri) berhubung pertanyaan lisan beliau pada 20 Oktober 2010, kementerian berpendapat bahawa Pengawasan Anggaran dan Perolehan Pertahanan/Ketenteraan Parlimen (Parliamentary Oversight of Defense Budget and Procurement) tidak perlu diwujudkan. Alasan yang diberikan adalah "kerana sebarang rancangan perolehan Kementerian Pertahanan akan dinyatakan dalam anggaran belanjawan pembangunan untuk dibahaskan dan diluluskan oleh pihak Parlimen sendiri." Jawapan kementerian mengecewakan kerana tanpa mekanisme pengawasan yang dapat menjamin ketelusan dari segi butiran (yang tidak berkaitan dengan rahsia keselamatan), alasan tersebut akan mengekang kemajuan pasukan tentera dalam proses modenisasi seterusnya menjejaskan semangat esprit de corps pihak tentera yang tinggi susulan komen Jeneral Zulkifeli yang begitu memberangsangkan! *Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview. |
Selasa, 8 Mac 2011
Jangan heret tentera!
Ooi Heng
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan