Ucapan perbahasan menjunjung titah Yang Dipertuan Agong oleh Ketua Pembangkang yang disampaikan Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution hari ini menyentuh pelbagai perkara, termasuk isu ekonomi, media dan kebajikan kepada rakyat.
Kehadiran ramai Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional menunjukkan perhatian secara khusus diberikan kepada ucapan tersebut, meskipun tanpa kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Intipati yang dirumus dalam titah Yang Dipertuan Agong berkisar kepada perkara antaranya kepentingan memelihara agama, menjaga jiwa, menjaga akal, memelihara keturunan dan memelihara harta,” kata Saifuddin dalam mukadimahnya.
Beliau menjelaskan bahawa agenda yang digagaskan oleh Pakatan Rakyat berhubung pengurusan ekonomi dan pentadbiran negara adalah berasaskan keadilan, kesaksamaan dan kebebasan dari ketakutan.
“Keadilan hanya dapat dicapai ketika rakyat ditadbir oleh pemerintahan yang berintegriti. Memang integriti itu tinggi, tetapi kekuasaan lebih kuat. Oleh itu, dimana-mana integriti sering dikalahkan oleh kekuasaan.
“Keyakinan kami adalah gerakan rakyat yang menggerakkan kuasa keramat yang mampu menundukkan keangkuhan dan kesombongan. Rakyat yang akan memimpin, pemimpin pula akan menuruti,” katanya.
Ketika ucapan mulai menyentuh isu kebangkitan rakyat Arab di Timur Tengah, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat turut bangun meminta laluan untuk ‘menambah pedas’ dalam ucapan perbahasan tersebut.
Antaranya ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), dan Dr Hatta Ramli (Kuala Krai).
Mahfuz ‘membidas’ pandangan Saifuddin dengan menegaskan bahawa Malaysia dan Mesir ‘jauh berbeza’.
“Salah tuduhan Yang Berhormat itu. Malaysia dengan Mesir memang tak sama, tapi ‘serupa’,” seloroh Mahfuz.
Saifuddin turut memberikan laluan kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional, antaranya Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Seri Azmi Khalid.
Azmi berkata kerajaan Malaysia telah melaksanakan dasar kebebasan media, dengan mengemukakan bukti kewujudan akhbar-akhbar seperti Harakah dan Suara Keadilan.
Sementara itu, Khalid Samad (Shah Alam) mencelah dan bercadang agar tawaran dalam Buku Jingga yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat dikemukakan secara terbuka melalui forum atau debat yang disiarkan secara langsung.
“Dengan cara itu barulah rakyat dapat membuat penilaian berdasarkan kepada hujah kedua-dua pihak. Inilah penyakit yang dialami oleh negara kita, kerana hanya mendengar dari satu pihak sahaja,” kata Khalid tanpa disanggah oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional,.
Ucapan perbahasan menjunjung titah Yang Dipertuan Agong Ketua Pembangkang yang disampaikan oleh Saifuddin berakhir dengan peringatan agar mana-mana pemerintah tidak lupa tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
“Kerajaan yang sudah hilang pedoman dan lupa realiti sebenar kesengsaraan rakyatnya selalunya akan bertemu dengan kebangkitan suara rakyat.
“Saya doakan supaya mana-mana kerajaan yang berkuasa baik di peringkat persekutuan atau negeri akan terus mendengar suara raya rakyat sebagai pedoman,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan