Saturday, June 06, 2009
Sehari selepas DAP mempertikaikan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Pakatan Rakyat memberi "reaksi positif" terhadap penubuhan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional, PKR - satu lagi rakan PAS dalam Pakatan - pula menafikan perkara itu.
Timbalan Presidennya, Syed Husin Ali berkata Pakatan Rakyat tidak pernah bersetuju dengan kerajaan perpaduan yang membabitkan Umno.Beliau berkata, setahunya, majlis kepimpinan Pakatan - yang turut dianggotainya - tidak pernah memberi persetujuan terhadap idea tersebut.
Malah, katanya, majlis tersebut tidak pernah membincangkannya secara mendalam, walaupun beberapa bulan lalu, Abdul Hadi ada memberi penjelasan apabila ia dibangkitkan dalam mesyuarat majlis tersebut.
Syed Husin berkata, beliau secara peribadi tidak percaya yang partinya akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Umno "selagi ia meneruskan amalan dan dasar-dasar korup dan tidak demokratik".Katanya lagi, adalah mustahil bagi PKR untuk bekerjasama dengan sebuah parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disifatkan oleh Syed Husin mempunyai "watak yang meragukan".