klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Rabu, 23 Februari 2011

Kenyataan Akhbar Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat

23 Februari 2011

Kami, para Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang bermesyuarat bersama para Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat pada hari ini 23 Februari 2011 di Kuala Lumpur, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan berikut:

1. Pimpinan negeri Pakatan Rakyat terus komited untuk memimpin dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sebagaimana dipersetujui dalam Resolusi Shah Alam sempena Persidangan Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat November lepas;

2. Sehubungan dengan itu, kita akan meneruskan Sekretariat Bersama negeri-negeri Pakatan Rakyat yang telah ditubuhkan demi memperkukuhkan kerjasama di antara negeri Pakatan Rakyat dan menggembeling sumber dan kepakaran. Sekretariat ini akan memberikan penumpuan kepada 5 aspek utama iaitu Pelaburan, Kerajaan tempatan, Pengurusan, Pengurusan Sumber Air, Pertanian dan Pelancongan.

3. Mengiktiraf usaha cemerlang yang dibuat oleh semua negeri-negeri Pakatan Rakyat selama ini sehingga mencatat kadar tertinggi pelabur asing di negara ini. Kami bersepakat menyusun kerangka strategi bersama bagi menarik pelaburan luar dalam projek-projek ekonomi. Negeri-negeri Pakatan Rakyat juga akan memanfaatkan dana benih 10 juta yang telah sumbangkan oleh Negeri Selangor bagi meningkatkan pelaburan di Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;

4. Menyedari kepentingan menghadapi serangan laporan negatif media terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat, suatu mekanisme bersama telah disepakati untuk menyalurkan berita di antara negeri Pakatan Rakyat di samping memberikan penerangan kepada massa mengenai dasar positif yang telah diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

5. Bagi menghadapi Pilihanraya Umum yang semakin hampir, negeri-negeri Pakatan Rakyat bersetuju meningkatkan kerjasama dan perkongsian dari segi maklumat, jentera dan sumber bagi menjamin kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat di seluruh negara.

TV3 Bohong Selangor Hapus Kuota Perumahan Bumiputera

iskandarSaya menafikan laporan Buletin Utama TV3 bertarikh 21 Februari 2011 bahawa Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk menghapuskan kuota perumahan Bumiputera di di negeri ini.

Laporan tersebut juga tidak tepat kerana menyebut kuota perumahan Bumiputera di Selangor adalah 30 peratus. Pada hakikatnya kuota tersebut adalah berbeza menurut daerah dan mukim iaitu dari 30 hingga 70 peratus.

Kerajaan Negeri telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan wakil-wakil pemaju iaitu REHDA dan permintaan pelepasan kuota secara otomatik atau "automatic release" telah dibangkitkan oleh mereka. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri setakat ini belum lagi membuat sebarang keputusan tentang "automatic release" yang diminta oleh REHDA.

Kerajaan Negeri telah hanya menubuhkan sebuah syarikat, Syarikat Perumahan Dan Hartanah Selangor, untuk membantu pemaju memasarkan hartanah di bawah kuota Bumiputera. Ini diharapkan dapat meringankan beban para pemaju di samping memastikan pemilikan hartanah di kalangan masyarakat Bumiputera terjamin.

Saya berharap masyarakat tidak akan tetipu dengan propaganda yang dimainkan oleh UMNO Barisan Nasional atau media-media mereka.

UMNO sentiasa memainkan sentimen perkauman di dalam setiap isu tetapi sebenarnya bersifat hipokrit. Contohnya di dalam isu kuota perumahan Bumiputera, UMNO berkokok kononnya mahu mempertahankan kuota ini tetapi di dalam masa yang sama pemaju-pemaju UMNO juga adalah di antara yang kerap mempertikaikan kuota tersebut.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor

rakyat terus dibebani kenaikan kos sara hidup .. Ubah sekarang , Selamatkan Malaysia !

KPRU: KADAR TAMBANG MINIMA MRT LEMBAH KLANG PATUT BERKISAR SEKITAR RM0.38 – RM0.87

Oleh Suara Keadilan

pengangkutan-awam

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat bahawa Pameran awam MRT Lembah Klang Jajaran Sungai Buloh-Kajang yang diadakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Prasarana di 7 lokasi mulai 14 Februari hingga 14 Mei 2011 hanya membekalkan maklumat minima kepada orang awam dan tidak merangkumi aspek-aspek penting yang makin menjadi tanda tanya rakyat.

Justeru, KPRU menyarankan agar satu lagi siri perundingan terbuka yang membekalkan maklumat yang mencukupi diadakan di samping pameran awam bagi menjamin hak akses warga Malaysia kepada maklumat penting MRT. Pameran awam yang kini sedang berlangsung dikhuatiri ”mislead” khalayak umum ke arah menyokong projek ini secara tergesa-gesa tanpa terlebih dahulu dibekalkan dengan maklumat yang mencukupi.

DI MANA UNJURAN HARGA TAMBANG?

Dalam konteks ini, maklumat penting yang diperlekehkan oleh SPAD ialah harga tambang. Ramai yang ingin mengetahui harga tambang MRT apabila ianya mula beroperasi supaya orang ramai dapat membuat perancangan perbelanjaan masing-masing terlebih awal. Ini adalah kerana keputusan seperti membeli kenderaan peribadi akan mengenakan satu kos lesap (sunk cost) yang menggalakkan penggunaan selepas pembeliannya bagi mengelakkan ’kerugian kerana tidak menggunakannya’.

Rakyat yang menangguhkan pembelian kereta sekarang tidak ingin dibebani harga tambang MRT yang tinggi dan tidak memadai apabila MRT mula beroperasi nanti. Sesungguhnya, kini wujud kebimbangan bahawa harga tambang MRT bakal membebankan pengguna.

Pengumuman harga tambang, atau sekurang-kurangnya pengumuman unjuran harga tambang secara awal dapat memastikan pengguna, pembangun hartanah, penjual kereta peribadi, agensi kerajaan serta pelbagai pihak berkepentingan lain dapat membuat persiapan dan rancangan seawal-awalnya bagi mengelakkan spekulasi.

KPRU tidak dapat mengesan sebarang sebab mengapa kerajaan yang dapat membuat unjuran berbilion-bilion berkaitan projek ini, misalnya peningkatan Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM3-4 bilion dan kesan limpahannya RM8-12 bilion, serta kenaikan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM300 juta setahun tersebut tidak dapat memberikan satu angka unjuran atas harga tambang MRT sehingga hari ini. Maka KPRU berpendapat adalah wajar kerajaan mengumumkan unjuran harga tambang dengan kadar segera supaya rakyat dimaklumkan realiti sebenar apabila MRT mula beroperasi nanti.

Selain itu, adalah dimaklumkan bahawa harga tambang dalam konteks pengangkutan awam tidak terhad kepada harga tambang MRT, tetapi juga merangkumi harga tempat letak kereta, harga tambang bas feeder, masa menunggu dan lain-lain. Kos-kos tersebut harus diambil kira kerana jumlah angka boleh menjadi agak besar. Misalnya, satu kajian yang dibentangkan oleh Persatuan Kajian Air dan Tenaga (Association of Water and Energy Research, AWER) telah mengatakan bahawa kos tambahan minyak api kepada pengguna jalan untuk menuju ke Stesen MRT akan mencecah RM403.5 juta dari tahun 2016 hingga 2010.[1]

Memandangkan hanya 37% (13 daripada 35 stesen MRT) stesen MRT yang akan dilengkapi dengan medan letak kereta, adakah pengguna akan berhadapan dengan kesukaran untuk mencari tempat letak kereta selepas MRT mula beroperasi, ataupun harga letak kereta akan menjadi terlalu mahal kerana kekurangan ruang?[2]

Adalah diingatkan bahawa situasi tersebut belum lagi mengambil kira kes spesifik, seperti di Stesen 1Utama dan The Curve yang tidak mempunyai sebarang rancangan pembinaan medan letak kereta tambahan. Dengan tempat letak kereta yang terhad tetapi permintaan yang bertambah, bukankah rasional bagi pihak pengurusan 1Utama dan The Curve menaikkan harga letak kereta untuk tempoh masa panjang supaya memberikan keutamaan kepada pengunjung pusat membeli-belah? Jika sekiranya hal ini berlaku, kos tambahan akan membebankan pengguna MRT.

PENGIRAAN HARGA TAMBANG KPRU

Bagi memberikan satu gambaran kasar kepada orang awam, KPRU telah mencadangkan kadar tambang berpatutan berdasarkan 2 bentuk pengiraan atas maklumat yang terhad dan beberapa andaian.

Kos tambang minima MRT dan juga Pariti Kuasa Beli (PPP) bagi Hong Kong, Singapura dan Taiwan adalah seperti berikut:

Bandar

Harga Tambang Minima MRT

Pariti Kuasa Beli (PPP) per kapita (Intl.$, Dolar Antarabangsa atau Dolar Geary-Khamis)[3]

Hong Kong[4]

HK$3 (RM1.17)

45,277

Singapura[5]

S$0.80 (RM1.90)

57,238

Taiwan[6]

NT$20 (RM2.08)

34,743

*Tukaran nilai mata wang berdasarkan http://www.xe.com pada 14 Feb 2011

Berdasarkan Pangkalan Maklumat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertarikh 15 Dis 2010 yang sama, PPP Malaysia hanya sekadar Intl.$14,603. Ekstrapolasi yang dibuat berdasarkan ketiga-tiga bandar di atas menunjukkan bahawa harga tambang minima MRT di Lembah Kelang patut berada dalam lingkungan RM0.38 hingga RM0.87 sahaja.

Kaedah kedua melibatkan perbandingan domestik dengan lingkaran LRT yang sedia ada. Adalah didapati Projek LRT yang memperuntukkan RM8 bilion dapat mencapai 300,000 jumlah penumpang sehari, manakala MRT yang memperuntukkan RM36.6 bilion tersebut akan dapat menampung 2 juta penumpang sehari selepas 4 tahun beroperasi.[7] Walaupun kos pembangunan MRT adalah 4.58 kali ganda lebih tinggi daripada LRT, tetapi jumlah penumpang hariannya adalah 6.67 kali ganda lebih banyak daripada LRT. Maka jika kadar tambang minima bagi LRT adalah RM1, tanda aras (benchmark) kadar tambang minima MRT boleh dan patut menurun sehingga RM0.68!

Mungkin anggaran kaedah kedua terlalu ”simplistic” kerana KPRU juga mengambil perhatian bahawa Laporan Ketua Audit Negara 2010 telah mengesyorkan bahawa mahupun tambang LRT dinaikkan daripada RM1.60 kepada RM9, Prasarana memerlukan 20 tahun untuk memulangkan modalnya. Tambahan lagi, Prasarana sekarang dibebankan dengan hutang sebanyak RM8.5 bilion.[8]

Akan tetapi, bukankah kaedah pertama telah membuktikan bahawa kadar tambang di Hong Kong, Singapura dan Taiwan boleh kekal di paras yang rendah dan pada masa yang sama meraih keuntungan munasabah? Bukankah beban hutang Prasarana berpunca daripada kelemahan perancangan, penyelamatan berulang kali melalui suntikan modal dan juga korupsi yang berpunca daripada salah urus, tadbir urus lemah serta ketidaktelusan dan bukan kadar tambangnya? Bukankah MRT Lembah Kelang dikatakan akan mengikuti model Hong Kong?

Jika modus operandi Hong Kong diikuti, kadar tambang yang murah juga harus ditetapkan untuk pengguna MRT di Lembah Klang.

SAMBUTAN 3 TAHUN NEGERI-NEGERI PR , 5 - 6 MAC 2011

Selangor jadi tuan rumah sambutan ulangtahun ke-3 Pakatan Rakyat

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah akan menyambut ulangtahun ketiga pentadbirannya sejak memenangi Pilihan Raya Pada 8 Mac 2008.

Justeru itu, Selangor dipilih sebagai tuan rumah bagi mengadakan acara sambutan bagi memperingati detik bersejarah itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, bagi tahun ketiga ini selain mentadbir dengan lebih bertanggungjawab dan telus, kerajaan negeri akan memfokuskan dasar-dasar dan program yang telah dirangka.

“Atas sebab ini, majlis dan program sambutan akan diadakan dengan sederhana dan bersifat informasi agar rakyat peka dan tahu tentang dasar-dasar dan program kebajikan yang memberi manfaat kepada semua rakyat Selangor,” ujar Khalid dalam satu kenyataan media.

Program itu katanya akan dimulakan dengan Majlis Sambutan tiga Tahun pentadbiran negeri Selangor di Stadium Melawati, Shah Alam bermula pada 5 hingga 6 Mac ini.

Pelbagai acara disediakan seperti pameran agensi kerajaan dan swasta, program remaja termasuk futsal, ceramah perdana oleh tokoh-tokoh terkenal termasuk barisan pemimpin Negeri, solat Maghrib Berjamaah dan pelancaran Buku Jingga yang mengandungi Dasar Bersama dan komitmen Pakatan Rakyat.

Pada 26 Mac pula, Kerajaan Selangor akan melancarkan rangka kerja “Selangor Untuk Rakyat” membabitkan pameran Pihak Berkuasa Tempatan dan anak syarikat, pelancaran buku “Liku-Liku Reformasi” serta program seni seperti membaca sajak dan puisi.

“Kita juga akan menganjurkan Siri Jelajah seluruh Selangor yang melibatkan Menteri Besar, barisan Exco dan pegawai kanan kerajaan turun padang ke pejabat daerah untuk mendekati permasalahan rakyat,” katanya.

MILIK SIAPAKAH DNA ITU ?

DNA 3 lelaki, air mani Saiful timbul persoalan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menyaksikan perbicaraan Fitnah II gempar lewat petang tadi apabila doktor pakar mengumukan penemuan dua DNA lelaki misteri daripada calitan putik kapas dari dubur pengadu, Saiful Bukhari Azlan. Penemuan itu tidak termasuk DNA Saiful iaitu kesan air maninya sendiri.

Ahli kimia daripada Jabatan Kimia Malaysia, Dr Seah Lay Hong, saksi tunggal pada perbicaraan hari ini menyatakan beliau menemui campuran profail DNA tiga lelaki daripada calitan putik kapas “B5″ yang diambil daripada kawasan luar dubur Saiful.

“Ia terdiri daripada campuran DNA lelaki selaras dengan pemilik spesimen dengan kesan darah “B5″ (dilabelkan “Mohd Saiful Bukhari”), ‘Lelaki Y’, serta seorang lagi lelaki yang tidak diketahui,” kata Dr Seah.

Namun setakat ini, Dr Seah belum lagi menjelaskan identiti dua lelaki tersebut.

Kesan air mani Saiful juga turut ditemui pada seluar hitam miliknya sendiri berhampiran kawasan zip seluar tersebut.

Tidak lama kemudian, prosiding mahkamah ditangguhkan seketika apabila pasukan peguam Anwar mendapati terdapat perbezaan antara dokumen laporan profail DNA yang dimiliki mereka dengan dokumen yang dibentangkan di mahkamah oleh Dr Seah.

Hakim Zabidin Mohd Diah mengarahkan pendakwa memberikan salinan laporan yang sempurna kepada pasukan peguam bela sebelum menangguhkan perbicaraan ke pukul 8.30 pagi esok.

Sebelum itu, sewaktu mahkamah bersidang di sebelah pagi, laporan kimia yang diberi kepada pasukan Anwar juga berbeza daripada laporan kimia yang dibentangkan oleh Dr Seah.

Peguam Anwar, Ram Karpal membantah permohonan untuk menukar catitan pada laporan kimia yang akan ditanda sebagai salah satu eksibit di mahkamah kerana ia berbeza daripada yang diberikan kepada peguam bela pada awal perbicaraan. Bantahan itu dilakukan di bawah Seksyen 51 Kanun Keseksaan Jenayah.

Hakim Zabidin menerima bantahan itu dan memutuskan laporan kimia tersebut tidak ditanda sebagai salah satu barang eksibit di mahkamah.

Fitnah 2: Dokumen saksi keenam tidak diberi kepada peguam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memanggil saksi ke enam pendakwa, iaitu ahli kimia Nor Aidora Saidun (gambar).

Beliau adalah Ketua Unit Paterniti DNA, Jabatan Kimia sejak 2008 dan menyertai Jabatan Kimia, Kementerian Sains dan Teknologi sejak 1998.

Dalam sesi soal balas sehingga tengahari tadi, pihak peguam membantah dokumen yang dibacakan saksi berkenaan kerana ia merupakan laporan saintifik yang tidak diperoleh pihak peguam.

Mahkamah juga dijangka mengetahui identiti DNA ‘lelaki Y’ yang dianalisa ahli Kimia dari Jabatan Kimia, Dr Seah Lay Hong hari ini.

Awal pagi tadi, Dr Seah menyambung keterangannya dalam sesi soal balas buat hari ke lima.

Dr Seah semalam enggan mengakui jumlah sperma DNA lelaki Y lebih banyak ditemui pada pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Peguam Anwar, Karpal Singh membuat kesimpulan Saiful seorang homoseksual pasif memandangkan lebih daripada satu sampel DNA ditemui pada pengadu itu.

Selain itu, mahkamah turut dikejutkan dengan pendedahan bahawa sampel DNA diambil dari tubuh Saiful sebelum laporan polis dibuat.

Sebelum ini, mahkamah digemparkan dengan beberapa keterangan dari Dr Seah. Antaranya borang proforma yang tidak lengkap diisi dan keterangan dalam borang tersebut yang menyatakan hanya berlaku ‘cubaan liwat’ dan oral seks’, yang mana menimbulkan persoalan.

Pakar itu sebelum ini juga mengakui tidak mengikut garis panduan antarabangsa yang ditetapkan International Society of Forensic Genetics dalam membuat analisa.

Berikut kronologi perbicaraan hari ini:

3.20 pm – Zabidin memberikan masa sehingga Jumaat untuk peguam Anwar dan pakar DNA meneliti dokumen. Aidora akan hadir semula Jumaat ini untuk disoal balas. Mahkamah ditangguhkan sehingga esok. Saksi pendakwa untuk esok belum diketahui.

3.13 pm – Ramkarpal meminta sedikit masa untuk peguam bela meneliti dokumen yang baru diterima.

3.12 pm – Menurut Aidora, kompilasi populasi yang mendapat bantahan sebelum ini diperolehi daripada perisian DNA View yang digunakan di Jabatan Kimia.

3.11 pm – Mahkamah bersidang semula. Hakim Zabidin memutuskan bantahan Karpal ditolak.

12.53 tgh – Mahkamah ditangguhkan ke jam 2.30 petang. Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah akan membuat keputusan petang nanti berkenaan bantahan itu.

12.52 tgh – Sankara juga menolak atas alasan dokumen yang digunakan Nor Aidora bukan dokumen proforma ringkas tetapi laporan saintifik yang memerlukan interpretasi pakar.

Laporan saintifik yang dibaca Aidora adalah kompilasi statistik DNA tiga mukasurat yang sepatutnya diberikan kepada peguambela lebih awal lagi.

12.49 tgh – Menurut Karpal, keterangan yang diberi Nor Aidora perlu ditolak kerana dia membaca terus daripada dokumen yang tidak diperolehi peguam bela, dan bukan sekadar menyegarkan ingatannya semata-mata.

“Dia bukan sekadar menyegarkan ingatannya. Dia merujuk kepada nota ini dan membacanya terus,” kata Karpal.

12.41 tgh – Ram Karpal mendakwa ada laporan yang dibentang Nor Aidora tidak diperolehi pasukan peguambela.
Ram Karpal memohon keterangan lisan Nor Aidora ditolak.

12.30 tgh – Menurut Nor Aidora, DNA Lelaki Y dijumpai pada berus gigi, tuala dan botol.

12.06 tgh – DPP Noorin menyoal balas Nor Aidora tentang laporan graf daripada elektroferogram.

12.03 tgh – Mahkamah bersambung semula.

11.40 tgh – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Mansor Othman tiba di galeri awam.

11.41 tgh – Mahkamah ditangguhkan untuk lima belas minit.

10.55 tgh – Hadirin di mahkamah kelihatan ketawa kecil apabila Nor Aidora sendiri menawarkan bahan bukti tersebut untuk diperiksa pendakwa dan peguam bela.

Sampul D1 mengandungi sebatang berus gigi. Ia ditanda sebagai ID58. Menurut Nor Aidora, beliau mencalit bahagian bulu dan pemegang berus gigi untuk mendapatkan sampel.

10.47 pagi – DPP Noorin dan Nor Aidora menandakan bahan bukti. Sampul D mengandungi sehelai rambut di atas kertas putih ditanda sebagai ID57.

11.02 pagi – Sampul D2 mengandungi tuala ‘Good Morning’ dengan rambut. Rambut ditanda sebagai D2(a). Sampul D2 ditanda sebagai ID59. Tuala ‘Good Morning’ ditanda sebagai ID59(a). Rambut D2(a) ditanda sebagai ID60.

11.18 pagi – Sampul D3 mengandungi botol air mineral jenama ‘Cactus’. menurut Aidora, sampel DNA diambil dari bibir botol itu. Ia ditanda sebagai bahan bukti ID61.

10.36 pagi – Menurut Aidora, pada 17 July 2008 beliau menerima 4 sampul surat bertanda D, D1, D2, dan D3 daripada pegawai penyiasat, DSP Judy Blasious Pereira.

10.33 pagi – Mahkamah bersidang semula.

10.12 pagi – Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali kelihatan di luar mahkamah bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

9.35 pagi – Mahkamah ditangguhkan kerana Sankara mahu pasukan peguam Anwar diwakili Karpal Singh untuk menyoal balas Nor Aidora. Karpal Singh dilaporkan dalam perjalanan daripada satu lagi kes di Shah Alam.

9.03 pagi – Mahkamah diteruskan dengan memanggil saksi keenam pendakwa, Nor Aidora Saidun. Beliau masuk ke kandang saksi mengangkat sumpah dan memberi keterangan.

Nor Aidora merupakan Ketua Unit Paterniti DNA, Jabatan Kimia sejak 2008. Beliau menyertai Jabatan Kimia, Kementerian Sains dan Teknologi sejak 1998. Menurutnya, selama hampir 13 tahun beliau sudah mengendalikan hampir 100,000 sampel DNA.

8.53 pagi – Mahkamah mula bersidang bagi mendengar keterangan saksi ke lima, Pakar kimia dari Jabatan Kimia Dr Seah Lay Hong.

Timbalan Pendakwaraya DPP Noorin Baharuddin menyoal Dr Seah berkenaan label tarikh pada sampel B4 dan B5. Menurut Dr Seah, sampel sampai ke makmal Jabatan Kimia dalam keadaan baik. Maka, walaupun tarikh berbeza daripada laporan polis (2 hari lebih awal daripada tarikh laporan polis), Jabatan Kimia tetap menerima sampel.

Yusuf Qaradhawi keluarkan fatwa wajib bunuh PM Libya

"Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Stesen TV Al-Jazeera Dr. Yusuf Al-Qaradawi (gambar kiri ) mewajibkan agar Gaddafi dibunuh dan ianya adalah jihad. Fatwa terbaru beliau ini dikeluarkan rentetan daripada laporan yang menyatakan bahawa Gaddafi melancarkan serangan dengan menggunakan jet pejuang untuk untuk mengebom mereka yang terlibat dalam demontrasi yang berterusan di Libya sekarang.
Syeikh al-Qaradawi berkata :وقال القرضاوي " أصدر الآن فتوى بقتل القذافي. أي ضابط أو جندي أو أي شخص يتمكن من أن يطلق عليه رصاصة فليفعل، ليريح الليبيين والأمة من شر هذا الرجل المجنون وظلمه". وأضاف "لا يجوز لأي ضابط أن يطيع هذا الرجل في المعصية والظلم والبغي على العباد".

Maksudnya :

"Aku mengeluarkan fatwa sekarang supaya Gaddafi dibunuh! Barangsiapa samada pegawai tentera, atau tentera biasa atau mana-mana individu yang mempunyai peluang untuk membunuhnya. Maka janganlah teragak-agak untuk membunuhnya! ianya adalah semata-mata untuk menyelamatkan rakyat Libya daripada kejahatan dan kezaliman lelaki yang gila ini! "...beliau seterusnya menambah " Haram kepada pegawai dan askar biasa untuk mentaati lelaki ini (Gaddafi) dalam perkara yang maksiat, kezaliman dan kerakusan terhadap rakyatnya sendiri!"


Ini wajah Muammar Gadhafi, PM Libya

FITNAH 2 : TERBUKTI ADALAH KONSPIRASI JAHAT TERHADAP ANWAR

Perbicaraan yang berlangsung hampir seminggu ini saya benar-benar merasai bahawa terbukti segala dakwaan DSAI bahawa wujud konspirasi ke 2 untuk menjatuhkan beliau . Senario perbicaraan yang berkisar terhadap DNA , bahan bukti dan keterangan oleh para doktor termasuk daripada Jabatan Kimia memebrikan gambaran yang nyata bahawa konspirasi jahat ini telah terbongkar .

Boleh dikatakan kes yang sedang dibicarakan tersebut sudah tidak mempunyai asas dan perlu diakhiri dengan pembuangan kes . Bagi saya apa yang berlaku ini adalah satu sagmen yang sangat memalukan negara di mata dunia . Memperlihatkan betapa jelek dan jijiknya politik di Malaysia sehingga sanggup melakukan sesuatu yang benar-benar tidak masuk akal .

Ternyata Saiful Bukhari Azlan adalah seorang pembohong dan pemfitnah . Walaupun pelbagai tindakan yang dilakukan oleh Saiful termasuk melakukan 'sumpah laknat' di Masjid Wilayah pada 15 Ogos 2008 akhirnya dilihat 'sumpah laknat' yang beliau lafazkan telah memakan diri sendiri .

Keterangan yang dibuat oleh para doktor terutama daripada Jabatan Kimia telah menimbulkan keraguan dan kecelaruan terhadap ' skrip ' yang selama ini dicipta khas bagi tujuan menjatuhkan kredibiliti dan integriti DSAI . Seolah-olah 'skrip' yang sama sepertimana tahun 1998 tetapi watak pelakon yang berbeza . Kehebatan para peguam DSAI yang diketuai oleh Karpal Singh telah berjaya menemukan penemuan-penemuan baru yang menjadikan kes tersebut sudah 'tidak masuk akal' .

Walaupun sebelum ini pelbagai usaha yang dilakukan oleh DSAI bagi memastikan kes tersebut dibuang berdasarkan laporan daripada Hospital Pusrawi dan HKL bahawa "tiada berlaku penetrasi terhadap lubang dubur " Saiful , namun mahkamah telah mengambil sikap dengan niat yang jahat menolak segala permohonan DSAI .

Diikuti pula dengan penafian hak DSAI bagi memperolehi segala dokumen dan bahan bukti memberikan asas yang kuat bahawa konspirasi kali ini dibuat dengan cukup berhati-hati dan terancang . Kalau dulu , bekas pemandu DSAI Azizan Abu Bakar tanpa di bawa berjumpa dengan doktor untuk diperiksa dan disahkan berlaku sepertimana tuduhan , kali ini watak Saifool ditonjolkan dengan pengakuan, sumpah termasuk juga dengan pemeriksaan oleh para doktor .

Cubaan untuk mengaitkan DSAI dengan DNA telah mengakibatkan timbulnya kekuatan yang mengeliru , menghairankan , melucukan dan tidak masuk akal . Beberapa penemuan baru yang telah berjaya dicungkil oleh para peguam DSAI seperti pengakuan Ketua unit kemalangan dan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Khairul Nizam Hassan dlam mahkamah bahawa Saiful telah membersihkan diri sebelum hadir ke HKL untuk diperiksa oleh doktor pada 28 Jun 2008. Sedangkan sebelum itu Saiful menegaskan bahawa beliau tidak mandi selama 2 hari sebelum ke hospital untuk diperiksa dan dapat menyimpan bukti.

Kesilapan teknikal yang dilakukan oleh Dr Siew Sheue Feng iaitu doktor yang bertugas pada hari tersebut tidak melengkapi borang pro forma dengan baik . Dan tercatat di dalam borang pro forma tersebut ialah " Doktor berkenaan menyatakan dalam borang tersebut bahawa pengadu dalam kes ini – Mohd Saiful Bukhari Azlan – hanya terlibat dalam "cubaan liwat" dan "cubaan seks oral."" .


Ahli kimia dan pakar DNA Dr Seah Lay Hong juga mengakui beliau tidak mengikuti piawaian antarabangsa yang
ditetapkan oleh International Society of Forensic Genetics ketika menyediakan laporan berhubung ujian DNA pada perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Diikuti pula dengan kenyataan yang di buat oleh Dr Seah Lay Hong bahawa beliau memberitahu mahkamah yang DNA telah dijumpai pada kawasan peri anal atau di bahagian luar dubur Saifool dan dijumpai 3 DNA iaitu , DNA Saifool , lelaki Y dan seorang lelaki penyumbang lelaki . Kewujudan DNA saiful sendiri yang diperolehi daripada peri anal Saiful sendiri disamping kewujudan 2 lagi DNA . Satu fakta yang menimbukan kehairanan dan kemuskilan bagaimana DNA Saiful turut ada bersama .

Penemuan DNA pada seluar hitam Saiful dan seluar dalam Saiful di bahagian hadapan membawa persoalan . Kerana Saiful menyatakan beliau melawan dan marah , tetapi keraguan timbul kenapa ada injakulasi oleh Saiful ? Serta diikuti pertikaian terhadap penemuan DNA di sekuar hitam di bahagian zip dan di bahagian hadapan seluar dalam . Sedangkan aktiviti sodomi tersebut belaku di belakang dan seharusnya DNA diperolehi di bahagian cawat seluar dan seluar dalam .

Mahkamah menjadi gempar lagi apabila Dr Seah telah menyatakan “Terdapat kemungkinan D
NA yang ditemui pada sample yang diperiksa datangnya daripada 10 orang lelaki,”. Satu kenyataan dan fakta menarik yang bukan sahaja mengegarkan mahkamah tetapi seluruh negara . Bahawa sample DNA yang diambil daripada tubuh pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan mungkin membabitkan 10 lelaki , bukan lagi penemuan 3 DNA sepertimana sebelum ini .

Sekali lagi mahkamah tertumpu pula kepada kenyataan Dr. Seah di sesi soal balas oleh para Peguam DSAI menyatakan bahawa dua sampel DNA diambil dari tubuh pengadu, Saiful Bukhari terlebih dahulu sebelum laporan polis dibuat. Sampel berkenaan bertarikh 26 Jun 2008, sedangkan Saiful membuat laporan polis mendakwa dia diliwat pada 28 Jun 2008.

Kronologi yang saya nyatakan di atas adalah membuktikan secara sahih bahawa berlakunya pembohongan serta konspirasi jahat terhadap DSAI . Satu perancangan yang yang cukup tersusun oleh mereka yang tidak bertanggjawab .

Keterlibatan DS Najib Razak daripada awal dalam kes fitnah 2 ini dengan cerita yang tidak logik berkaitan permohonan biasiswa sehinggalah pengakuan Saiful yang beliau telah diliwat 9 kali oleh DSAI . Termasuk juga pertemuan Saiful dengan SAC I Datuk Mohd Rodwan Yusof (yang kini menjawat Ketua Polis Melaka) di Hotel Melia , Jalan Imbi . Beliau juga adalah pegawai yang terlibat dalam kes Fitnah 1 pada tahun 1998 .

Dakwaan bahawa Abdul Gani Patail , Peguam Negara dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mencipta bukti dalam perbicaraan Anwar 10 tahun lalu, muncul semula dalam satu dokumen mahkamah seorang anggota polis yang telah bersara Mat Zain Ibrahim, yang mengetuai siasatan terhadap insiden "mata lebam" yang membabitkan Anwar pada 1998 dan keyakinan juga melibatkan mereka berdua bagi kes Fitnah 2 ini .

Saya teringat kepada kenyataan Bekas Duta Amerika , John R. Mallot dalam artikelnya di Wall Street Journal pada 19 Julai 2010 menyatakan dengan cukup jelas " mustahil bagi Anwar bagi menang pada perbicaraan itu, lebih-lebih lagi apabila bukti-bukti penting kes itu dinafikan kepada peguamnya. Malah, media-media yang dikuasai kerajaan telah juga menghukumnya dengan mendapati beliau 'bersalah' dalam laporan mereka" ujar beliau .

Malah beliau menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar akan dihumbankan ke penjara ! "Malaysia tidak mempunyai sistem juri. Keputusan ditentukan oleh seorang hakim yang dilantik oleh kerajaan yang sama yang mahu Anwar dikeluarkan dari politik,” katanya.

Penginayaan dan kezaliman terhadap DSAI adalah bermotifkan politik semata-mata. Ketakutan DS Najib terhadap DSAI cukup nyata sehingga sanggup bersekongkol untuk membunuh karier politik DSAI . Tidak cukup dengan Fitnah 2 yang sangat mengaibkan DSAI dan keluarga tetapi juga cuba memfitnah DSAI mempunyai kaitan dengan penganas sepertimana yang didedahkan oleh CNN .

Walaupun kes ini sudah tidak mempunyai asas lagi dan wajar dibuang , namun saya masih optimis bahawa DS Najib dan para konspirator akan terus menjalankan agenda mereka , untuk membawa DSAI kembali ke penjara . Ayuh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan , KITA BANGUN DAN LAWAN !

UBAH SEKARANG , SELAMATKAN MALAYSIA !


TAHNIAH PRO MAHASISWA ! MAHASISWA BANGKIT DAN LAWAN !

Kemenangan Pro M, signal mahasiswa mahukan perubahan- SMM

KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyifatkan kemenangan besar Pro Mahasiswa (Pro M) di Universiti-universiti awam utama di Malaysia bukti jelas gelombang kebangkitan mahasiswa yang mahukan perubahan.

Pengerusinya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, keputusan itu juga menunjukkan mahasiswa hari ini mengutamakan kebebasan memilih wakil mereka dan menolak calon-calon yang hanya menjadi pak turut kepada pihak pentadbiran Universiti.

“Antara faktor kemenangan besar calon-calon Pro M ialah kerana kesedaran mahasiswa kini yang mahukan kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) mampu menyuarakan tuntutan mereka dan bukannnya MPM yang hanya berperanan sebagai ahli jawatankuasa pihak pengurusan universiti.

“Mahasiswa juga menuntut sistem pilihan raya yang bebas, adil dan telus,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau mengulas kemenangan besar calon-calon pro M pada Pilihan Raya Kampus kali ini apabila berjaya menawan dua Universiti awam, masing-masing di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain itu, Pro-M juga mencatat kejayaan memberangsangkan di Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Di UM yang merupakan Universiti tertua di Malaysia, pro Mahasiswa membolot 23 daripada 36 kerusi dipertandingkan. Manakala di UKM, kumpulan tersebut mengakhiri kemarau tujuh tahun apabila berjaya menumpaskan Pro Aspirasi dengan kemenangan 22 daripada 37 kerusi.

Di USM, strategi Pro M yang tidak bertanding pada PRK lalu bagi memperkuatkan jentera, amat berbaloi kali ini apabila menang 14 kerusi seterusnya mempertingkatkan imej dan moral kumpulan itu di kalangan mahasiswa.

Di UPM, walaupun kumpulan Aspirasi menang 31 kerusi, Pro M memperbaiki kedudukannya apabila berjaya memenangi 12 kerusi berbanding 10 sebelum ini.

Shazni yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) berkata, secara keseluruhan Pro M berjaya memperbaiki kedudukan mereka kali ini.

“Dalam keadaan sistem pilihan raya yang tempang, pengurusan universiti berpihak kepada kumpulan tertentu, alhamdulillah gelombang kesedaran di kalangan mahasiswa terus meningkat dan semakin terkeluar dari zon selesa.

“Jelas mahasiswa yang juga anak muda mahukan pembaharuan dan revolusi yang berlaku di Timur Tengah yang dicetuskan anak muda sedikit sebanyak membantu menyedarkan anak muda Malaysia untuk bangkit memperjuangkan hak mereka,” tegasnya yang juga ahli Majlis Sekretariat Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku (GMMA) selain pernah diamanahkan sebagai Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Shazni turut mengingaktkan Pro Mahasiswa supaya tidak lalai dengan kemenangan itu yang akan dijadikan kesempatan sesetengah pihak untuk melemahkan gerakan pro mahasiswa.

“Kemenangan Pro M khasnya di UM sebenarnya bukan sekadar kegembiraan tetapi lebih kepada ‘kejutan’ kerana di awal penamaan calon, kita tertinggal jauh di belakang selain kekangan berkempen dihadkan dengan pelbagai peraturan yang berat sebelah,” ujarnya.

KEADILAN desak hentikan pembunuhan ke atas rakyat Libya

KUALA LUMPUR: KEADILAN mengutuk sekerasnya tindakan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan pemerintah Libya ke atas rakyatnya yang turun ke jalan raya bagi mendesak pengunduran rejim diktator pimpinan Muammar Gaddafi.

Menyifatkan tindakan itu seolah melancarkan perang ke atas rakyatnya sendiri, Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty menggesa supaya pembunuhan tersebut segera dihentikan.

“Kami di KEADILAN menyokong tindakan rakyat mana-mana negara sekalipun yang bangkit menyatakan bantahan mereka terhadap pemerintah yang zalim.

“Kebebasan bersuara merupakan hak asasi rakyat dan pemerintah bertanggungjawab memastikan bahawa hak yang dijamin masyarakat antarabangsa perlu dihormati dan dilaksanakan. Jelas sekali, pemerintah Libya secara terbuka telah mengisytiharkan perang terhadap rakyatnya sendiri,” kata Dr Manuty dalam satu kenyataan media.

Justeru itu, beliau menyeru masyarakat antarabangsa supaya bersama mengambil tindakan untuk menghentikan penindasan dan kezaliman ke atas rakyat Libya.

“Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali(NAM), Pertubuhan Pesidangan Islam (OIC) dan Liga Arab tidak boleh berdiam diri dan berpeluk tubuh membiarkan rakyat Libya terus dibunuh pemerintahnya sendiri.

“Kami juga mendesak kerajaan Malaysia yang menganggotai PBB,NAM,OIC supaya mengambil tindakan tegas menangani isu-isu seperti itu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, KEADILAN yakin bahawa rakyat Libya berupaya menentukan nasib mereka tanpa campur tangan mana-mana pihak yang berkepentingan.

Libya kini berhadapan dengan kebangkitan rakyatnya yang mendesak pengunduran Muammar Gaddafi, menyebabkan pemerintah mengambil tindakan mengarah pasukan keselamatan menembak ribuan penunjuk perasaan.

Kemuncakan kezaliman tersebut apabila pihak berkuasa di negara itu mengebom penunjuk perasaan semalam

Sehingga kini seramai 300 orang dilapor terbunuh.

Tindakan Libya terhadap penunjuk perasaan itu dikatakan yang paling keras antara negara Arab, berbanding tindakan menggulingkan pemimpin Tunisia dan Mesir awal tahun ini.