klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Khamis, 15 Oktober 2009

Dimanakah laporan siasatan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh ?

Kenyataan Media
15 Oktober 2009

Tragedi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh ada 2 Jun 2009 kira-kira pukul 9.30 pagi mengakibatkan hampir 60 % struktur bumbung bahagian hadapan kiri dan kanan stadium berkenaan sepanjang 400 meter runtuh menyebabkan besi serta serpihan bumbung jatuh ke bahagian tempat duduk dan kerugian awal yang dianggarkan sejumlah RM25 juta.

Stadium berharga RM292 juta itu baru siap kira-kira setahun lepas dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada 3 Julai 2009 dalam MStar , menyatakan bahawa kerajaan Terengganu akan melantik perunding dari Britain untuk mengetahui punca runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak. Malah beliau juga berkata perunding itu yang mempunyai cawangan di Kuala Lumpur dijangka menyerahkan hasil siasatan dalam tempoh tiga bulan.

Manakala Utusan Malaysia pada 6 Jun 2009 melaporkan , bahawa Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata jawatankuasa bebas bagi menyiasat kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh yang ditubuhkan akan menyiapkan laporan awal siasatan selewat-lewatnya sebulan.

Namun sehingga sekarang hampir 3 bulan lebih masih tidak kedengaran hasil laporan awal sisatan terhadap stadium runtuh .

Buletinonline.com pada 15 Julai pula melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) hampir selesai melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh. Pengarah (Bahagian Perisikan) SRPM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata setakat ini, lebih 90 peratus siasatan kes berkenaan, yang melibatkan elemen rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan telah dijalankan.

Sudah hampir 3 bulan , dimanakah laporan siasatan oleh SPRM ?

Angkatan Muda Keadilan Negeri Terengganu juga telah membuat laporan polis supaya siasatan dibuat dan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat dengan dengan pembinaan dan pengeluaran kelulusan menggunakan stadium tersebut . Sehingga kini masih tiada sebarang tindakan oleh pihak polis .

The Malaysian insider pada 23 Jun 2009 melaporkan bahawa Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) menyalahkan peranan yang dimainkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Terengganu sehingga terjadinya kejadian bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan. Menurut Mampat , JKR adalah pihak yang sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap projek berkenaan kerana ianya adalah projek di bawah selenggaraan JKR.

Rakyat sehingga sekarang menunggu laporan dan tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab sehingga mengakibatkan runtuhnya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tersebut . Kejadian yang sangat memalukan negeri Terengganu dan negara serta mengorbankan ratusan juta wang rakyat .

AMK desak supaya laporan siasatan terhadap stadium runtuh didedahkan kepada seluruh rakyat Terengganu dan tindakan perlu diambil segera kepada mereka yang terlibat .

Fariz Musa
Ketua AMK Negeri Terengganu

Sejarah Ayat Kursi

Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah S.A.W. dengan segera memerintahkan Zaid b Sabit menulis serta menyebarkannya.
Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, InsyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah S.W.T.
Mengikut keterangan dari kitab"Asraarul Mufidah" sesiapamengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah.Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, InsyaAllah Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta memudahkannya menerima ilmu pengetahuan.
Untuk amalan kita semua.....Fadhilat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-Hadis Rasullullah S.A.W. bersabda bermaksud: "Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya."Sabda baginda lagi; "Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar."Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad.
Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan.Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.
Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya.Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, Insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.
Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin.Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.
Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya.
Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur, perbuatan-perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi, juga Allah melimpahkan padanya rahmat.
Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohonkeampunan dan mendoakan baginya.
Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.
Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

MCA Buang Pemimpin Tak Bermoral Tapi UMNO... Nik Aziz

KOTA BAHRU, 13 Okt : Umno disaran mempelajari cara berpolitik dari MCA, iaitu menolak pemimpin yang tidak mempunyai moral dan terlibat dengan pelbagai skandal. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, selama ini orang cina lebih pandai berpolitik berbanding dengan cara politik orang Melayu Umno.
"Cara MCA berpolitik lebih pandai berbanding dengan Umno, dengan menolak Presiden dan Timbalan Presidennya kerana terlibat dengan rasuah dan skandal dengan wanita.. Saya puji MCA, cara mereka menyelesaikan masalah dengan mengadakan mesyuarat jawatankuasa dan tidak mengunakan kekerasan," katanya."MCA buang pemimpin yang tidak bermoral tetapi Umno masih memilih pemimpin yang terlibat dengan masalah moral (rasuah)," katanya lagi.
Ujarnya, keadaan ini sangat memalukan lebih lebih lagi sebagai parti orang Melayu dan mengaku beragama Islam, Umno sepatutnya lebih memahami nilai-nilai murni agama berbanding MCA. MCA ujarnya walaupun sebuah parti kaum Cina, faham dan tahu membuat penilaian untuk kepentingan parti mereka.
"Umno yang mengaku bahawa Isa Samad terlibat dengan rasuah tetapi Umno masih pilih lagi dia sebagai calon dan menang dengan majoriti yang banyak, jadi di mana duduknya moral politik Umno?," soalnya.
Tuan Guru menambah, selepas krisis dalam MCA selesai, mereka akan berasa jijik untuk bersama dengan Umno, kerana Umno bersama dengan parti yang menerima bulat-bulat pemimpin yang tidak bermoral. "Mana boleh orang bersih duduk sekali dengan orang yang kotor. Kalau sayalah, bersih nak duduk sekali dengan orang, busuk mana boleh. Kalau MCA ada moral dia tak boleh berkawan dengan Umno Umno yang tak bermoral," tegasnya lagi. Beliau berkata demikian sewaktu ditemui oleh wartawan di Bilikan Gerakan Negeri, Kota Darul Naim, semalam.

janji manismu di bagan pinang

1. 27 Sept: Menteri Pelancongan berjanji akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan untuk menarik sejumlah 6 juta pelancong yang transit di KLIA untuk melawat ke Negeri Sembilan.
2. 28 Sept: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan membina sebuah sekolah Menengah yang bernialai RM20 juta dalam tempoh masa 2 tahun. RM 3.8 juta pula telah diluluskan untuk kos memperbaiki 21 buah sekolah termasuk sekolah Cina dan Tamil.
3. 29 Sept: Majlis Perbandaran Port Dickson telah menyerahkan 3 buah rumah teres di Taman Desa Pinang untuk dijadikan Pusat Permata Negara Bagan Pinang yang dipelopori oleh isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. RM400,000 akan dibelanjakan untuk proses menaiktaraf rumah-rumah tersebut.
4. 4 Okt: Biro Penerangan UMNO akan menjadikan Persatuan Kebajikan Nelayan Bagan Pinang sebagai 'anak angkat' mereka dan Isa berjanji akan memberi tumpuan utama kepada Bandar Tentera Darat jika menang di PRK.
5. 5 Okt: Kementerian Sumber Manusia mengumumkan akan mengadakan program kursus dan peluang pekerjaan kepada golongan muda di Bagan Pinang.
6. 6 Okt: Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Maximus Ongkili mengumumkan bahawa Sirim Bhd akan membantu memberi bantuan teknikal dan khidmat nasihat kepada penduduk Kampong Baru Si Rusa untuk menjalankan perusahan ceramic menggunakan 'hydrostone'.
7. 7 Okt. MB Mohamad Hassan mengumumkan peruntukan sebanyak RM25 juta untuk pembinaan 150 unit rumah awam di Ladang Siliau.
8. 8 Okt: Zahid Hamidi mengumumkan perkara seperti di bawah:
a. Peruntukan RM3000 setahun untuk sebuah keluarga bagi anak-anak yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dan RM2,000 setahun kepada keluarga yang anak mereka melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan seterusnya.
b. 'Veterans Act' jika diluluskan akan dimasukkan faedah kesihatan.
c. Rumah Kelab untuk bekas-bekas perajurit di sebelah Kelab Golf PD dan MRSM untuk anak-anak bekas Perajurit. ( MB Mohamad Hassan telahpun bersetuju untuk menyediakan tanah)
d. Perpustakaan dan Kemudahan Wi-Fi untuk kemudahan anak-anak tentera.
e. RM100,000 untuk menaiktaraf surau di kawasan kem tentera. (cek sumbangan telah pun diserahkan).
Muhyiddin Yassin mengumumkan SRJK Tamil Sungai Salak yang beroperasi dari rumah kedai 2 tingkat akan menerima 1 hektar tanah untuk pembinaan Sekolah yang dijangka siap dalam masa setahun-12 bulan.
TPM juga mengarahkan semua PBT di negeri tersebut untuk memudahkan pemberian lesen perniagaan untuk tidak melemahkan semangat mereka untuk berniaga.
TPM juga mengumumkan peruntukan RM480,000 kepada 3 buah sekolah ' Chinese Vernacular School' dan pemberian angpow sebanyak RM100 kepada 233 orang warga tua.
Rais Yatim menyerahkan sumbangan Mikro-komputer kepada 6 buah sekolah di Bagan Pinang.
Menteri Sumber Manusia S Subramaniam berjanji akan memberikan jalan bertar, dewan komuniti, sebuah dewan untuk kuil dan sistem perparitan untuk kawasan perkuburan Cina dan India akan diperbaiki.Gelanggang Badminton dan mesin fotokopi akan disediakan kepada Sekolah Tamil, Tabung Kemudahan Pembiayaan Perumahan untuk pekerja Estet juga akan ditubuhkan.
(letih menaip...banyakya gula-gula....seronoknya....cuba anda di luar sana kira dan jumlahkan keseluruhan peruntukan yang berlaku hanya dalam tempoh 28 September hingga 10 Oktober 2009.)
Bergembiralah wahai penduduk Bagan Pinang...semoga impian yang dijanjikan menjadi kenyataan.

MANA JANJI PARTISIPASI AKTIF 30 PERATUS PENGIKTIRAFAN WANITA MALAYSIA?

KENYATAAN MEDIA
Tarikh: 14 October 2009

Polisi penyertaan wanita sebanyak 30% dalam badan pembuat keputusan di Malaysia telah dipublisitikan semenjak tahun 2004 dan diputarkan semula menjelang Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK9) bagi tempoh 2006 hingga 2010 seperti yang diumumkan Perdana Menteri ketika itu. Selaku sayap kerajaan yang bertanggungjawab, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilihat masih terkapai-kapai dan seolah-olah hilang tumpuan dan buah fikiran untuk bertindak sebagai tangan yang efektif bagi menggerakkan misi ini.
Pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan Pelan Tindakan seperti yang dilakukan sebelum ini masih belum nampak hasilnya. Buah fikiran yang disampaikan oleh parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan, wakil badan perundangan sivil dan syariah serta wakil pusat-pusat pengajian tinggi telah tidak digarap dengan optimum. Begitu juga dengan sekian banyak bengkel, forum dan seminar yang dianjurkan bagi memberi kefahaman serta mengupas isu-isu penghalang yang selama ini menjadi tembok kepada partisipasi aktif golongan wanita Malaysia masih hanya tinggal di atas kertas.
Melihat dari sudut wanita dalam hirarki pentadbiran Negara, tahap kepercayaan yang diberikan kepada golongan wanita dalam memainkan peranan penting melalui jawatan Menteri dan Timbalan Menteri adalah amat-amat menyedihkan. Kerajaan Barisan Nasional telah gagal dalam memberikan pengiktirafan setimpal dan menghargai tugas serta peranan golongan wanita di Malaysia berdasarkan fakta bahawa hanya 2 orang Menteri dari kalangan wanita yang dilantik daripada jumlah 27 orang Menteri Kabinet. Ini hanya sekitar 7.4% sahaja berbanding sasaran 30%. Manakala bagi jawatan Timbalan Menteri, hanya 7 orang sahaja dilantik daripada jumlah 40 orang Timbalan Menteri. Dan jawatan tersebut hanyalah jawatan yang dilihat sebagi klise kepada peranan wanita iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Kelaurga dan Masyarakat serta Kementerian Pelancongan. Apakah tiada wanita yang layak dan dipercayai untuk memimpin kementerian yang lebih signifikan peranannya seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna ataupun Kementerian Perdagangan Antrabangsa dan Industri.
Dalam konteks pemerintahan Pakatan Rakyat, Negeri Selangor sebagai contoh telah menunjukkan tauladan serta kepercayaan kepada kebolehan golongan wanita dalam menggalas tanggungjawab. Daripada 11 orang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, empat daripadanya adalah wanita dan ini merupakan bukti kepada kesungguhan politik (political will) dan bukan hanya cakap kosong sahaja.
Wanita Keadilan menggesa dan sangat berharap agar Y.B Senator Datuk Shahrizat Jalil menunaikan janjinya kepada wanita di seluruh Malaysia dengan memastikan sekurang-kurangnya 8 orang Menteri Kabinet dan 12 Timbalan Menteri adalah dari golongan wanita. Seterusnya kelak dituruti ke peringkat pegawai-pegawai kerajaan dan kakitangan pentadbiran lainnya. Sekiranya Barisan Nasional kekurangan calon yang bersih dari rasuah dan salah guna kuasa, berkaliber serta professional maka beliau wajarlah menunjukkan kematangan politik demi mencapai matlamat pembangunan dan pengupayaan wanita dengan melibatkan sejumlah 11 orang wakil rakyat wanita dari gagasan Pakatan Rakyat di Parlimen untuk berkerjasama dalam hal ini. Wanita Keadilan khususnya sentiasa komited dan akan sentiasa bangkit menjadi pembela kepada Wanita di Malaysia.

YB PUAN HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Ketua Wanita, Parti Keadilan Rakyat
Ahli Parlimen Ampang

Tubuh Suruhanjaya Bebas Siasat Kekayaan Khairy Jamaluddin

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan
14 Oktober 2009

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin bahawa beliau bersedia untuk mengiystiharkan harta yang dimiliki beliau. Beliau juga menyatakan kesediaan untuk disiasat mengenai dakwaan-dakwaan bahawa beliau memiliki kekayaan yang sangat besar dan melampaui pendapatan beliau. Kenyataan ini tidak seharusnya hanya tinggal kenyataan dan hanya diulang kembali menjelang pilihanraya.
AMK dengan ini mencabar Khairy untuk mengisytiharkan harta beliau termasuk pegangan-pegangan secara langsung dan tidak langsung melalui nomini, wang yang disimpan di dalam akaun-akaun di luar negara dan kepentingan-kepentingan di dalam pelbagai perniagaan. Penglibatan aktif Khairy di dalam bidang perniagaan bukan sahaja menimbulkan persepsi wujud salahguna kuasa, malah para peniaga juga menghadapi persaingan yang tidak adil khususnya untuk mendapatkan projek dan tender kerajaan.
Justeru, memandangkan terdapat kesediaan daripada Khairy sendiri untuk beliau disiasat, AMK mendesak PM Najib Razak supaya segera mewujudkan satu badan bebas bagi menyiasat harta-harta yang dimiliki oleh Khairy yang sebelum ini merupakan menantu kepada Perdana Menteri dan juga selaku Ketua Pemuda yang tentunya akan mendapat kelebihan politik (political advantage) daripada kepimpinan tertinggi UMNO dan kerajaan.
YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak dari 1998 lagi, ketika dituduh memiliki harta sebanyak RM 3 bilion dengan tegas dan berani menyatakan kesediaan dengan mendesak satu badan bebas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang tidak berasas. Namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil oleh kerajaan dan hanya menggunakan isu ini sebagai bahan kempen murahan sewaktu pilihanraya kecil Bagan Pinang yang lalu.
Keengganan melakukan siasatan ini mewujudkan tanggapan umum bahawa Barisan Nasional mengambil sikap tidak apa terhadap mereka yang memiliki harta yang tersangat banyak sehingga melebihi kemampuan pendapatan.
AMK mendesak kerajaan untuk serius terhadap usaha membanteras rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan pemboloton kekayaan melalui cara-cara yang tidak sewajarnya. Sekiranya ini tidak dilaksanakan dengan serius, maka impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara serba maju di mana kekayaan negara dikongsi secara adil tidak akan dapat dicapai. Seperti yang diungkapkan oleh Mahatma Gandhi: Kekayaan dunia adalah cukup untuk keperluan semua manusia, tetapi tidak mungkin cukup untuk memenuhi ketamakan manusia.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua AMK Malaysia