SHAH  ALAM 9 FEB : Kadar faedah dan percukaian di negara ini harus dikaji  semula jika mahu mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat. 
 Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berkata  demikian ketika diminta mengulas cadangan Parti Keadilan Rakyat (PKR)  yang akan mengemukakan dasar alternatif menyelesaikan masalah hutang isi  rumah pada Konvensyen Ekonomi Pakatan Rakyat bulan depan. 
 Menurut Mahfuz, beliau bersetuju bahawa perlu ada dasar yang jelas dalam mengurangkan beban hutang rakyat yang terlalu tinggi. 
 " Kita tidak boleh mengurangkan hutang  tetapi dasar yang hendak dibawa itu nanti ialah dasar untuk  mengurangkan, contohnya, kadar faedah dan cukai yang terlalu tinggi yang  dikenakan ke atas rakyat dalam pembelian-pembelian rumah, kereta milik  peribadi dan sebagainya, ini yang menyebabkan kita terpaksa menanggung  hutang yang terlalu tinggi," jelas Mahfuz ketika dihubungi Tv Selangor.         
 Semalam, Timbalan Presiden PKR, Azmin  Ali dalam satu sidang media berkata, hutang isu rumah di negara ini  mencecah RM577 bilion. 
 Malah katanya, perangkaan menunjukkan  jumlah itu berada pada kedudukan 74 peratus dari Keluaran Dalam Negara  Kasar (KDNK) pada November 2010. 
 Menurut Azmin, pada konvensyen itu  nanti,Pakatan Rakyat akan merumuskan pendekatan ekonomi yang sesuai  untuk meningkatkan pendapatan rakyat sekaligus menurunkan kadar hutang  keluarga. 
 Mengulas hal sama, Mahfuz berkata,  antara langkah yang boleh dilakukan ialah dengan mengurangkan kadar  cukai seperti cukai import kenderaan. 
 " Apabila cukai dikurangkan, saya  percaya kita hanya berhutang dengan jumlah yang kecil. Jadi ini yang  harus disemak semula iaitu dasar percukaian yang ada dalam negara sama  ada cukai eksport eksport ini, cukai eksais perlu dikurangkan khususnya  kepada kenderaan dan juga perumahan-perumahan," jelas Mahfuz.     
 " Ini menyebabkan kos hidup kita  meningkat. Seperti kenderaan misalnya, ia kini menjadi satu keperluan.  Yang keduanya kerajaan pula gagal menyediakan sistem pengangkutan awam  yang baik, murah dan sebagainya," tambahnya lagi.  
Malah  ujarnya, kerajaan tidak perlu tertumpu dengan dasar rumah mampu milik  namun tidak berjaya mengurangkan kadar faedah pinjaman perumahan yang  melambung tinggi. 
 Menurut statistik Bank Negara Malaysia,  hutang isi rumah yang dicatat berjumlah RM577 bilion. Ia merangkumi  beban pinjaman kereta (RM118 bilion), pinjaman perumahan (RM225 bilion)  dan pinjaman peribadi (RM22 bilion) selain anggaran hutang kad  kredit  (RM200 bilion). - tv selangor