klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Khamis, 27 Mei 2010

SELAMAT BERKONGRES !!!

saya merakamkan selamat datang kepada semua perwakilan KONGRES AMK dan KONGRES NASIONAL ke 5 .
Tema kongres pada kali inin ialah HARAPAN BARU SELAMATKAN MALAYSIA .
Perasmian Kongres AMK dan Wanita akan disempurnakan oleh YB Senator Syed Husin Ali , Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat pada hari ini 27 Mei 2009 , jam 8.30 malam bertempat di Kelantan Trade Centre ( KTC ) .
Keesokkan hari iaitu 28 Mei 2010 , berlangsung Kongres AMK di Perdana Bezch Resort , Pantai Cahaya Bulan dan Kongres Wanita di KTC.
Kongres Nasional pula akan bermula pada 29 Mei 2010 bertempat di dewan yang sama . Kongres Nasional ke 5 akan berlangsung pada 29 - 30 Mei 2010.
SELAMAT BERKONGRES !

Kongres PKR mahu dedah ‘rahsia’ MP, ADUN keluar parti?

KUALA LUMPUR, 25 Mei — Selepas sebahagian besar wakil rakyat yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan ‘rahsia’ kepimpinan sepanjang tiga bulan lalu, komponen Pakatan Rakyat (PR) ini dijangka membuat ‘pendedahan balas’ sebab dan punca mereka mengkhianati parti itu hujung minggu ini.
Beberapa pemimpin yang ditemui The Malaysian Insider berkata mereka menunggu ‘lampu hijau’ pucuk kepimpinan untuk membuat pendedahan ketika Kongres Nasional Keenam PKR di Kota Bharu.
“Kami mengarah ke sana, sekarang tunggu lampu hijau daripada (Penasihat PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, bila dan siapa yang perlu membuat pendedahan… kemungkinan ketika Kongres Nasional kali ini… sama ada Datuk Seri Anwar sendiri ataupun pemimpin kanan yang lain,” kata seorang pemimpin kanan parti itu, tetapi enggan namanya didedahkan atas alasan parti masih memikirkan strategi pendedahan.
“Parti sudah banyak bersabar dan kini sudah sampai masa bagi parti menjelaskan kepada perwakilan apa yang sebenarnya berlaku.
“Kita akan mendedahkan habuan yang mereka dapat, pendedahan akan dibuat melalui beberapa saluran yang akan membuktikan apa yang menjadi punca mereka mengkritik kepimpinan parti habis-habisan dan mahu keluar parti,” katanya lagi.
Menurut pemimpin ini, pendedahan mereka akan memfokus terhadap lima Anggota Parlimen yang kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas di Dewan Rakyat.
Malah, katanya, ia juga kemungkinan memfokus bagaimana usaha sedang diambil Barisan Nasional (BN) untuk memancing seorang lagi Angota Parlimen.
Lima Anggota Parlimen PKR yang kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas ialah wakil kawasan Bayan Baru, Nibong Tebal, Kulim-Bandar Baharu, Wangsa Maju dan Bagan Serai. Selain lima Anggota Parlimen terbabit PKR juga kehilangan lima Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu masing-masing dua di Kedah dan Perak dan seorang di Selangor.
Kecuali Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang telah dipecat oleh PKR, empat lain mengumumkan keluar parti atas alasan kecewa dengan kepimpinan dalaman PKR dan juga Pakatan Rakyat.
Ketika sesi perbahasan di Parlimen pertengahan Mac lalu, lebih sebulan selepas keluar PKR, Anggota Parlimen Bayang Baru Datuk Seri Zahrain Hashim dan Zulkifli telah mendedahkan sedikit sebanyak gerak-geri Anwar termasuk rancangan 16 Sept 2008 mahu mengambil alih kerajaan pusat.
Zulkifli pula mendedahkan isu berkaitan pembunuhan wanita Mongolia. Zulkifli mendedahkan telah ditawarkan ganjaran lumayan untuk mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu empat tahun lalu.
Ekoran pendedahan itu, Najib mengadakan pertemuan dengan kedua-dua mereka di Washington ketika lawatan ke Amerika Syarikat.
Kongres PKR dijangka membincangkan pendekatan untuk menangani masalah keluar dan lompat parti di Kota Bharu hujung minggu ini.
Minggu lalu Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh memberi tempoh notis sebulan kepada mereka yang ingin keluar parti sebelum pihaknya menjalankan proses penjenamaan semula selepas Kongres Nasional Keenam. – MALAYSIANINSIDER

Kongres PKR lambang keutuhan parti - Saifuddin

PENGKALAN CHEPA, 24 Mei: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan mengadakan kongres kali keenam pada 28 hingga 30 Mei ini adalah menjadi lambang keutuhan parti, kata setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution Ismail (gambar).

Kongres itu akan diadakan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC) yang disertai kira-kira 2,000 perwakilan dari seluruh negara.

Demikian dinyatakan Saifuddin ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah isu semasa anjuran Urusetia Kerajaan Negeri Kelantan bertempat di Kampung Pauh Panji, malam tadi.

Beliau berkata, tema kongres kali ini ialah ‘Harapan Baru Selamatkan Malaysia’ di mana tumpuan akan diberikan kepada ucapan dasar presiden yang akan mengulas empat perkara iaitu isu-isu disiplin dan organisasi, PKR dan prestasi negeri-negeri Pakatan Rakyat, isu-isu pilihan raya dan isu-isu semasa.

“Presiden juga akan menyentuh isu semasa dan memberikan penjelasan yang panjang lebar berkaitan isu membabitkan Yang Berhormat meninggalkan parti,” ujar beliau lagi.

Katanya, isu lompat parti disentuh secara terperinci oleh presiden dan perwakilan akan diberi masa secukupnya untuk membahaskan pelbagai isu semasa dalaman parti dan kongres kali ini akan menyaksikan 206 perwakilan cabang yang akan hadir.

“Perbahasan kali ini akan diberi ruang secukupnya dengan memberi tumpuan kerangka ucapan dasar presiden dan penutup kongres pada 30 Mei akan disampaikan oleh Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Machang.

Sementara itu, bagi mengisi program sebelah malam, dua ceramah perdana akan diadakan iaitu di Tanah Merah yang akan dihadiri oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang manakala di Kota Bharu pada 29 Mei pula oleh tiga Menteri Besar iaitu Tuan Guru, Lim Guan Eng dan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menyentuh isu keahlian semasa PKR kini, Saifuddin berkata, PKR kini mempunyai keahlian yang sah seramai 125,000 orang walaupun digembar-gemburkan dengan ahlinya yang keluar parti pada setiap kali pilihan raya kecil diadakan.

“Saya sangat berpuas hati dengan keahlian masa kini, tetapi ia tidak bermakna tiada ruang untuk menambahkan ahli dan usaha untuk menambah ahli semakin meningkat.

“Kongres kali ini juga akan menyentuh isu keahlian dan perwakilan akan diberi penerangan langkah untuk menarik ahli, jadi kongres ini juga akan mengingatkan kita kerja-kerja asas parti iaitu siap sedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya lagi.

Turut menyampaikan ceramah pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Adun Panchor dan Adun Pasir Tumboh, Ahmad Baihaki Atiqullah.