klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Khamis, 14 Januari 2010

BAYARAN NAFKAH : LAKSANA PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG TERHADAP BEKAS SUAMI

KENYATAAN MEDIA
UNTUK EDARAN SEGERA

Tarikh : 13 Januari 2010

Wanita KEADILAN menyambut baik pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Jamil Khir Baharom bahawa Kerajaan akan melaksanakan skim pembayaran pendahuluan nafkah kepada isteri-isteri yang telah mendapat perintah nafkah dalam proses perceraian. Walau bagaimanapun; Wanita KEADILAN ingin mengingatkan Datuk Jamil Khir bahawa ini bukanlah penyelesaian bagi ketidak-upayaan Kerajaan menguatkuasakan pembayaran nafkah oleh bekas suami kepada bekas isteri dan anak-anak di bawah jagaan mereka.

Bukan setakat itu saja; soalan yang kritikal dari skim ini ialah oleh kerana pendahuluan ini berbentuk pinjaman; maka siapakah yang perlu bayar balik penjaman ini? Bekas suami atau bekas isteri? Apakah tempoh yang diberikan untuk bayar balik pinjaman ini ? Bagaimana jika bekas isteri mengambil masa yang panjang untuk menstabilkan kehidupan? Bagaimana pula jika bekas suami ingkar dan tidak bayar nafkah seperti yang diputuskan oleh mahkamah?

Pihak yang akan melaksanakan skim ini hendaklah memperhalusi mekanisma yang cekap dan adil dari segi perlaksanaan agar wanita-wanita yang bercerai dapat meneruskan kehidupan mereka dan anak-anak di bawah jagaan mereka dapat dipelihara kebajikannya di samping wang rakyat tidak habis begitu sahaja melayani karenah birokrasi. Selain dari mengelakkan bekas suami dari mengambail kesempatan dari skim ini untuk menangguhkan bayaran nafkah, pihak-pihak berwajib hendaklah mengambil langkah pro-aktif mendidik masyarakat agar tanggungjawab terhadap anak-anak dan bekas isteri tetap dilaksanakan agar institusi keluarga tetap utuh untuk mengeluarkan anak-anak yang stabil emosinya.

Bekas-bekas suami yang ingkar membayar nafkah hendaklah dianggap sebagai penjenayah kerana membiarkan anak-anak dan bekas isteri menderita apabila mereka mengelak dari melaksanakan tanggungjawab kekeluargaan. Penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan untuk menghentikan keperitan bertahun-tahun ini yang diabaikan oleh pihak Kerajaan UMNO/ BN.


HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Ketua Wanita KEADILAN
Merangkap Ahli Parlimen Ampang

Qazaf: Mahkamah dengar bantahan 17 Feb

Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan hari ini menetapkan 17 Februari depan untuk mendengar bantahan awal tiga responden berkaitan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendakwa bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan atas kesalahan qazaf atau tuduhan palsu berhubung kes liwat yang dihadapinya.

Hakim Mohd Shukor Sabudin menetapkan demikian selepas peguam responden, Zainul Rijal Abu Bakar meminta satu tarikh lain ditetapkan untuk memfailkan bantahan awal mereka.

Bantahan awal itu, katanya, adalah berasaskan tiga alasan:

1. Bidang kuasa mahkamah untuk mendengar perkara itu.

2. Prosedur permohonan tidak dipatuhi.

3. Status Zulkifli Noordin sebagai peguam yang mewakili Anwar kerana berlaku percanggahan kepentingan dan pelanggaran etika amalan Syariah.

Tiga orang responden yang dinamakan dalam permohonannya Anwar ialah ketua pendakwa syarie, Shamsuddin Hussain; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Anwar memfailkan permohonan qazaf itu pada 9 Julai 2008 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan terhadap Mohd Saiful yang didakwa membuat "tuduhan palsu terhadapnya".

Ketiga-tiga responden tersebut dinamakan dalam permohonan Anwar kepada Mahkamah Syariah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan perintah dan relif supaya mahkamah mendakwa Mohd Saiful atas kesalahan qazaf di bawah Seksyen 41, Akta Jenayah Syariah 1997 dan/atau hukum Syarak dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah mahkamah.Anwar, 62, berdepan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Anwar juga memohon mahkamah memastikan agar responden kedua dan ketiga, tidak menghalang dan/atau mempengaruhi responden pertama daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap Mohd Saiful.

Selain itu, Anwar juga meminta supaya kos permohonan dijadikan kos dalam kausa; relif-relif lain yang mahkamah fikirkan perlu; dan kegagalan mematuhi perintah mahkamah boleh dikenakan tindakan penghinaan mahkamah.

WALAU DIASAK TGNA TETAP COOL !

Nik Aziz terus kebal depani krisis: Pensyarah

Walaupun diasak hebat dengan pelbagai tuduhan penyelewengan dan nepotisme, PAS Kelantan dan menteri besarnya Datuk Nik Aziz Nik Mat masih menikmati tanggapan positif rakyat, kata dua penganalisis politik.

"Biar dalam PAS sendiri berpecah, tetapi imej kerajaan Kelantan tidak terjejas. Rakyat (negeri itu) takut bahawa ini semua mainan media.

“Rakyat tidak berasa beliau (Nik Aziz) bersalah," kata Prof Dr Mohd Agus Yusoff, seorang pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia, yang berasal dari negeri itu.

"Ia tidak memberikan kesan besar jika hendak dibandingkan dengan penyelewengan lain (dalam negara) yang lebih besar.

"Dakwaan seperti Nik Aziz menerima kek bernilai RM500 ini akhirnya jadi bahan lawak sahaja."

Ahli akademik Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah pula berkata, asakan demi asakan terhadap kerajaan Kelantan tidak menggugat kepercayaan politik orang ramai kepada Nik Aziz apabila beliau masih meraih populariti berbanding pemimpin PAS lain.

Pensyarah kajian media itu juga berkata, data terkini menunjukkan bahawa sokongan terhadap Kelantan meningkat sebanyak 8 hingga 12 peratus (kepada 73.6 peratus) pada November lalu berbanding 63 peratus pada pilihan raya umum 2008.

"Sesetengah media tidak mempunyai data ini dan menunjukkan bahawa sokongan terhadap kerajaan Kelantan merosot," katanya.

"Mereka lupa, krisis adalah bisnes, bisnes adalah tentang tumpuan (masyarakat). Dalam dunia sekarang, perkara ini (tumpuan) mampu mengangkat reputasi dan mampu memberikan kekuatan."

Dr Abu Hassan, yang menjalankan tanggapan politik melalui pusat kajiannya Zentrum Future Studies, membuat kesimpulan tersebut berdasarkan tinjauan berterusan berhubung kepercayaan politik tokoh-tokoh politik yang dijalankan sejak pilihan raya lalu.

Kesimpulan tersebut, tambahnya, berdasarkan data-data terkumpul setakat November tahun lalu, berdasarkan maklum balas lebih 2,000 responden di seluruh.

Fasa kedua kajian tersebut akan bermula bulan depan, katanya.

Dr Mohd Agus dan Dr Abu Hassan diminta mengulas asakan konsisten terhadap kepemimpinan Nik Aziz, terbaru apabila beliau didakwa menerima hadiah kek bernilai RM500 daripada menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman, yang menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan reaksi Abdul Ariffahmi berhubung dakwaan terbaru terhadapnya masih belum berhasil.

Sejak beberapa pertengahan November lalu, Nik Aziz dihimpit dengan pelbagai isu, antaranya melibatkan isu tajaan hajinya daripada seorang ahli perniagaan, pengaruh ahli keluarganya dalam pertadbiran kerajaan negeri dan desakan agar beliau menyediakan pelan peralihan jawatannya.

Isu-isu tersebut, terutamanya berhubung isu Abdul Ariffahmi dan peranan ahli keluarganya – sering disebut 'kabinet dapur' Nik Aziz – turut dipersoalkan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Spekulasi berhubung pengganti Nik Aziz juga hangat dibincangkan di media susulan cadangan exco negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendesak menteri besar menamakan penggantinya.

Dihubungi Malaysiakini semalam, Dr Abu Hassan bersetuju dengan pendapat Dr Mohd Agus bahawa, sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, Nik Aziz dan PAS dapat mengekalkan penguasaan mereka di negeri yang telah ditadbir selama 20 tahun itu.

"Kalau buat pilihan raya sekarang pun PAS menang lagi. Sukar untuk Umno menang biarpun Nik Aziz dibebani dengan pelbagai isu.

"Semua ini akhirnya akan mati sendiri. Tunggu masa sahaja," kata Dr Mohd Agus.

Bagaimanapun, ketua penerangan Umno negeri Datuk Md Alwi Che Ahmad berpendapat sebaliknya.

"Dunia akademik ini macam fekah juga. Ada kata harus, ada kata sunat, ada kata wajib ada kata makruh (pelbagai tafsiran agama).

"Tetapi yang jelasnya, Kelantan mengalami masalah. Dalam pilihan raya kecil Manek Urai dulu, dah terbukti (PAS lemah), mereka menang dengan majoriti yang amat tipis," katanya.

Calon BN Tuan Aziz Tuan Mat hampir-hampir menewaskan calon PAS Mohd Fauzi Abdullah apabila tewas dengan majoriti tipis 65 undi