klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Rabu, 2 Mac 2011

1,806 penjawat awam muflis, Anwar mahu angka keseluruhan

KUALA LUMPUR: Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan dengan jumlah 1,806 penjawat awam di negara ini yang diisytihar muflis, selepas perkara itu didedahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Berikutan itu, beliau menggesa kementerian berkaitan supaya mengumumkan segera angka keseluruhan penjawat awam yang dihimpit masalah hutang yang disifatkannya begitu meruncing.

“Adalah wajar buat kementerian segera mengenal pasti penjawat awam pada aras gaji berapakah yang terpaksa berhutang dan kemudiannya terjerumus muflis. Selain itu adalah suatu yang mustahak untuk kita mengetahui samada penjawat awam yang berhutang dan muflis ini kebanyakannya tinggal di bandar atau di desa,” ujar Anwar.

Liew Vui Keong hari ini mendedahkan laporan Jabatan Insolvensi Malaysia bahawa pada tahun 2009 sahaja, seramai 1,806 penjawat diisytihar muflis, di mana 73 peratus daripadanya adalah lelaki.

Menulis di dalam blognya hari ini, Anwar berkata, pendedahan itu membenarkan langkah yang diambil Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga untuk memberi perhatian mengenai kos sara hidup rakyat.

“Bayangkan 34 peratus dari 4 juta pekerja di Malaysia dibayar kurang RM 700 sebulan, manakala 40 peratus dari keseluruhan rakyat Malaysia hanya menikmati pendapatan isi rumah kurang dari RM 1500.

“Dengan jumlah pendapatan yang sebegini manakala berhadapan pula dengan peningkatan kos sara hidup seumpama kenaikan harga barang serta petrol, pastinya rakyat hidup dalam keperitan.

Oleh kerana itu katanya, Pakatan Rakyat bertegas supaya kerajaan menyemak semula beberapa langkah ekonomi, antaranya perjanjian dengan Pembekal Tenaga Bebas (IPP) yang ternyata membebankan dan merugikan negara.

“Selain itu Pakatan Rakyat juga mensasarkan selepas 5 tahun memerintah, pendapatan isi rumah wajar pada jumlah RM 4000 demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Anwar beri keterangan esok

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pembela untuk mengadakan bicara dalam perbicaraan dan menurut peguambela, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keterangan dalam kes liwat terhadapnya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan ia didengar pada jam 2.30 petang esok.


Malaysiakini akan meneruskan liputan langsung bicara dalam perbicaraan berhubung kesahihan tiga item yang pihak pendakwa mahu kemukakan sebagai bahan bukti dalam kes ini - botol air, tuala tangan dan berus gigi. Ini merupakan kali pertama Anwar memberi keterangan dalam perbicaraan ini, yang kedua membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu. Beliau dijangka memberi keterangan atas asas bahawa penangkapannya adalah tidak sah.

Ketika membenarkan bicara dalam perbicaraan itu, Hakim Zabidin berkata, pada umumnya, mahkamah tidak memberi tumpuan kepada bagaimana bukti diperolehi. Tetapi, katanya, mahkamah mempunyai kuasa untuk menolaknya jika terdapat tuduhan yang ia diperolehi secara yang tidak betul dan tidak adil. Katanya, satu-satu cara untuk menentukannya ialah melalui bicara dalam perbicaraan.

Sebelum itu, Hakim Zabidin mendengar hujah pihak pembela dan pembangkang selama 70 minit berhubung perkara itu. Katanya, beliau membenarkan permohonan pihak pembela, dan bicara dalam perbicaraan akan diadakan esok. Bicara dalam perbicaraan itu dilihat sebagai saat penting dalam perbicaraan liwat 11 ini kerana penerimaan atau penolakan bahan bukti tersebut boleh memberi kesan terhadap kes pihak pendakwa.- MALAYSIAKINI

2 MAC ... KENANGAN DITANGKAP DAN MEMPERINGATI KEMATIAN PEJUANG ROSLY DHOBY

2 MAC 2011 , umur saya sudah menjangkau 41 tahun 1 hari . Saya tidak sambut apa-apa kecuali membalas ucapan dari kawan-kawan sama ada melalui FB atau SMS . Terima kasih saya ucapkan kepada semua kawan-kawan yang mengutusi ucapan kepada saya , serta mendokan saya .

Tarikh 2 Mac 2011 memberikan kenangan kepada saya , pada 2 Mac 2010 , saya ditangkap , digari ( hadiah gelang besi kut ) dan di bawa ke Jabatan Jenayah IPD Kuala Terengganu kerana memperjuangkan nasib orang-orang miskin yang dirobohkan rumah mereka oleh kerajaan UMNO Terengganu .

Walaupun sebelum itu saya bersama para penduduk Kg. Paya Bunga , Kuala Terengganu telah berusaha dengan membuat sidang media serta menghantar memorandum agar pihak kerajaan negeri membayar sedikit pampasan serta membantu masalah rumah mereka yang telah mereka diami berpuluh-puluh tahun tapi malangnya dengan rasa tidak bertanggungjawab dan penuh penginayaan merobohkan rumah-rumah mereka sama ada yang dipusakai oleh orang tua mereka atau yang disewa.

MB Terengganu menganggap dan menuduh mereka adalah setinggan bandar sedangkan mereka sudah mendiami kampung tersebut sejak 1936 berdasarkan dokumen yang diperolehi oleh salah seorang penduduk di situ . Mereka membayar cukai tanah , cukai pintu dan mereka juga menerima surat cukai taksiran daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu . Setinggankah mereka ?

Rata-rata mereka adalah orang miskin , warga emas , penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat , penerima Zakat MAIDAM , orang sakit , ibu tunggal , anak-anak yatim dan pekerja berpendapatan rendah seperti bekerja menjual ikan , pengawal keselamatan , peniaga buah di pasar kedai Payang , tukang basuh pinggan di kedai makan termasuk juga warga emas berumur 82 tahun yang menjaya cucu yatim .

Saya ditahan selama 1 hari kerana dituduh menghalang pekerja awam menjalankan tugas . Pengalaman hampir dihempap atap rumah bila pengaut jentolak terus mengaut atap-atap rumah menyebabkan nyaris nyawa saya melayan . saya bukan hendak menghalang mereka , tetapi saya mahu selesaikan dahulu masalah rakyat . Selesaikan dahulu rumah-rumah mereka , bayar pampasan mereka .

2 Mac juga mengingatkan saya kepada seorang tokoh yang menjadi idola saya . Rosly Dhoby . Walaupun beliau bukan orang semenanjung , berasal daripada Bumi Kenyalang Sarawak , tetapi semangat dan roh perjuangannya sangat saya kagumi .

2 Mac 1950 , pejuang rakyat ini mati ditali gantung kerana telah membunuh seorang penjajah Inggeris yang bernama Sir Duncan Stewart , gabenor Inggeris di Sarawak dengan sebilah badik ( keris kecil orang sarawak ) . Yang sangat mengkagumkan saya waktu itu beliau baru berumur 16 tahun . 2 Mac 1950 beliau ketika itu berumur 17 tahun mati di tali gantung .

Beliau bangkit berjuang menentang penjajah dan menentang kezaliman yang dilakukan oleh penjajah inggeris terhadap peribumi Sarawak . Merampas hak dan tanah rakyat Sarawak . Menginaya dan menzalimi peribumi Sarawak tanpa rasa belas kasihan .

Rosly Dhoby adalah lambang perjuangan rakyat , reformis yang tulin . Sanggup mengadaikan nyawa sendiri demi menuntut kemerdekaan rakyat . Waktu umur yang tersangat muda , iaitu berumur 16 tahun , tanpa rasa takut dan gentar .

Seharusnya semnagat dan roh perjuangan ini telah meresap dilubuk hati anak-anak muda dalam bangkit memperjuangkan rakyat , menentang kezaliman dan penginayaan yang dilaksanakan oleh penjajah baru yang bernama UMNO/BN .

Rosly Dhoby harus lahir dalam setiap sanubari pejuang-pejuang muda agar bangkit menengakkan keadilan dan kebenaran . Siri penjajahan baru oleh bangsa sendiri yang dilakukan oleh pimpinan UMNO/BN harus ditentang . Rakyat ditekan tanpa rasa bersalah . Rasuah , penyelewengan , ketirisan dan kebocoran serta tanpa segan merompak duit rakyat dengan cara tersusun dan licik konon atas nama pembangunan dan kebajikan untuk rakyat . tetapi semata-mata memenuhi kantung dan tembolok mereka .

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Saudara Rosly Dhoby yang sehingga sekarang tidak diketahui ke mana jasadnya berada . Kerana apabila keluarga ingin membawa pulang mayat beliau pulang ke Sibu , sewaktu dibongkarkan kubur beliau , mayatnya tidak ada ! Cerita tersebut saya sahkan dengan Nenek Yak Fatimah Dhoby ( 83 tahun ) , beliau adalah kakak kepada Rosly Dhoby yang saya kunjungi sewaktu PRK Sibu di Kg. Nangka .

Al- fatihah ..

PEKIDA VS PERKASA ???? HAHAHAHA

Pekida nafi pasang kain rentang hentam PERKASA

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Jasin hari ini membuat satu laporan polis menafikan pihaknya terbabit dalam pemasangan kain rentang yang menghentam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA). Kain rentang itu tertera lambang Pekida dengan tulisan 'PERKASA baru setahun jagung, jangan nak jadi hero Melayu, sini Melaka bukan Kelantan'.

NONELaporan itu dibuat oleh Pengerusi Pekida Daerah Jasin, Datuk Abdul Rahim Abu di balai polis Merlimau kira-kira jam 12.30 tengahari tadi. Abdul Rahim menyifatkan perbuatan itu sebagai satu fitnah untuk membangkitkan perasaan benci dan permusuhan terhadap PERKASA dan untuk melaga-lagakan ahli kedua-dua pertubuhan orang Melayu itu. Katanya, kain rentang itu dipasang di hadapan Maybank Merlimau, hadapan stesyen minyak BHP Jalan Muar, Merlimau, Taman Debunga, di sebelah bilik gerakan pilihanraya Merlimau Timur dan di hadapan Merlimau Point.

"Pada 27 Februari lalu, lebih kurang jam 8 malam di Merlimau, saya telah dimaklumkan oleh Yang Dipertua PERKASA Melaka, Abd Rahim Osman mengenai kain rentang yang dipasang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. "Pekida dan PERKASA merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai orang Melayu dan Pribumi dan menjadikan matlamat kami untuk menyatupadukan orang Melayu keseluruhannya. Kami bukan pendakyah. Ramai juga ahli kami dalam PERKASA.

"Kami membuat laporan untuk menyatakan fakta sebenar dan mahu pihak polis bertindak serta melakukan siasatan bagi mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab menyebar dan memasang kain rentang tersebut," katanya. NONEAbdul Rahim menyatakan demikian ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Merlimau hari ini.

Hadir sama ialah Abd Rahim Osman serta puluhan pengikut Pekida dan PERKASA. Sementara itu, PERKASA Melaka juga turut membuat satu laporan polis di balai yang sama. Ketika ditemui Abd Rahim berkata, PERKASA tidak ada sebarang masalah dengan mana-mana pertubuhan dan dalam konteks hubungan PERKASA-Pekida, kedua-dua pertubuhan itu adalah saudara se-Islam.

"Matlamat kami sama iaitu untuk agama, bangsa, negara dan tanahair dan kita tidak bertentangan, kita seiringan serta sehaluan. "Ini adalah satu usaha tangan ghaib dan satu tindakan bacul yang dianggap bagaikan baling batu sembunyi tangan. "Ini adalah satu perbuatan yang tidak baik dan bertujuan untuk melaga-lagakan antara ahli Pekida dan Perkasa," katanya. Laporan polis itu adalah yang kedua dibuat PERKASA Melaka sepanjang kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau. Laporan pertama dibuat pada 24 Februari lalu apabila ada pihak mengedarkan risalah yang mendakwa pertubuhan itu bertindak rasis.

PM bentang bajet ’1Malaysia, 1Seluar Dalam’ – Zuraida

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, slogan rasmi Perdana Menteri, “1Malaysia” adalah menyamai slogan “1Malaysia, 1Seluar Dalam” apabila pihak pendakwa mengemukakan seluar dalam sebagai bahan bukti semasa perbicaraan Fitnah II pagi tadi.
Menurut beliau, pengusungan seluar dalam itu ke mahkamah hari ini sekaligus menggambarkan Datuk Seri Najib Razak pada tahun ini membentangkan bajet ‘seluar dalam’.
“Dulu tilam sekarang seluar dalam, PM bentang Bajet Seluar Dalam 2011.
“1Malaysia 1Seluar Dalam!,” kata Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang dalam laman facebooknya tengah hari tadi.
Dalam perbicaraan Fitnah I membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, pihak pendakwa mengusung tilam ke mahkamah juga untuk dijadikan bahan bukti.
Bagaimanapun, peristiwa itu berulang apabila pihak pendakwa dalam Fitnah II hari ini ‘mengusung’ sehelai seluar dalam milik pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Seluar dalam jenama Levi’s itu sebelum ini didakwa saksi terdapat kesan air mani Saiful.
Turut dikemukakan helaian bulu yang dikatakan sebagai ‘bulu kemaluan’.
Sehelai permaidani berwarna warni juga turut dijadikan sebagai ‘saksi’ pendakwaan, yang dikatakan disita dari Jabatan Kimia. Selain itu, kain cadar berwarna kelabu turut ditanda sebagai bahan bukti.
Sepasang seluar hitam tanpa jenama, kameja biru dan kolar putih berjenama Ralph Lauren serta baju hijau jenama G2000 kepunyaan Saiful juga dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai bukti kes.
Semua barang-barang tersebut dibuka oleh Ketua Unit Jenayah Berat Jabatan Kimia, Dr Seah Lay Hoong untuk ditandakan sebagai bahan bukti.

Fitnah 2: Permohonan tolak bukti ‘tidak sah’

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersidang semula petang ini bagi mendengar kes Fitnah II Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam mahkamah mendapat tahu bahawa DNA Datuk Seri Anwar diperolehi daripada berus gigi, tuala ‘Good Morning’, serta botol minuman mineral semasa Anwar ditahan di dalam lokap Bukit Aman selama sehari pada 16 Julai 2008.

Namun, ketua pasukan peguam Anwar Karpal Singh membantah barang-barang tersebut dijadikan bukti di mahkamah kerana ia diperolehi secara tidak sah tanpa keizinan Anwar.

Justeru, perbicaraan-dalam-perbicaraan hari ini adalah untuk menentukan samada barang-barang tersebut akan diterima sebagai bukti di mahkamah atau pun tidak.

Fitnah 2: Permohonan tolak bukti ‘tidak sah’

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersidang semula petang ini bagi mendengar kes Fitnah II Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam mahkamah mendapat tahu bahawa DNA Datuk Seri Anwar diperolehi daripada berus gigi, tuala ‘Good Morning’, serta botol minuman mineral semasa Anwar ditahan di dalam lokap Bukit Aman selama sehari pada 16 Julai 2008.

Namun, ketua pasukan peguam Anwar Karpal Singh membantah barang-barang tersebut dijadikan bukti di mahkamah kerana ia diperolehi secara tidak sah tanpa keizinan Anwar.

Justeru, perbicaraan-dalam-perbicaraan hari ini adalah untuk menentukan samada barang-barang tersebut akan diterima sebagai bukti di mahkamah atau pun tidak.

Buku Jingga Agenda Bersama, Bukan Peribadi

PAS menafikan partinya menjadi kuda tunggangan PKR apabila melancarkan Buku Jingga di Markaz Induk pilihanraya Kecil Kerdau pada 26 Feb 2010.Tuduhan Datuk Zahid, sebagai satu fitnah kepada PAS supaya wujud perpecahan di dalam Pakatan Rakyat.Buku Jingga ialah pemuafakatan bersama dan dirancang serta diteliti oleh ketiga-tiga parti, supaya mendapat keputusan bersama, bukan oleh satu parti sahaja.Tuduhan Naib Presiden Umno membayangkan keresahan yang ada di dalam pemikiran pemimpin Umno, kerana bimbang rakyat mengalih sokongan kepada PR, terutama angin perubahan di Asia Barat.

Tuduhan yang mengatakan bahawa Buku Jingga mengenepikan pakar-pakar ekonomi adalah tidak betul. Orang yang tidak pakai pakar ekonomi ialah pemimpin Umno. Kes kritikan Tengku Datuk Zafrul Aziz Ketua Pegawai Eksekutif bank pelaburan Maybank, terhadap pelantikan Tan Sri Isa Samad selaku pengerusi Felda, nampaknya terus menimbulkan kemarahan di kalangan pemimpin pertengahan UMNO.Mereka menuduh Tengku Zafrul sebagai telah mempertikai dan memperkecil-kecilkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melantik Isa, sehingga dicadangkan beliau dipecat daripada jawatan.

Tuduhan negara akan bankrap jika PR melaksanakan janji 100 hari adalah penyakit yang sama dengan pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab selama ini. Mereka akan memastikan perancangan yang baik untuk rakyat dianggap membazir dan boleh membawa bankrap. Jika cadangan untuk perut dan kroni mereka akan bersetuju. Ini adalah sikap biasa mana-mana pemimpin yang takut tembelang mereka akan terdedah jika kerajaan baru menggantikan mereka. PAS ingin mengingatkan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi sebelum buat tuduhan selidik dahulu. Jangan buat telahan sebarangan, sesuai dengan ijazah Doktor Fasafah yang dimiliki. Jangan malukan nilai akademik yang dimiliki oleh beliau.

Ustaz Haji Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tutup bilik gerakan: SPR, polis jangan jadi boneka UMNO-BN – AMK

SHAH ALAM: Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Azmizam Zaman Huri menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis DiRaja Malaysia tidak menjadi boneka UMNO dan Barisan Nasional dengan mengamalkan sikap pilih kasih pada pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau.

“Kepada SPR dan polis, saya nasihatkan supaya jangan jadi boneka Umno dan Barisan Nasional. Jadilah badan yang benar-benar bebas dan berlaku adil kepada Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada amaran SPR dan polis yang meminta AMK menutup bilik gerakan mereka di Felcra Rumpun Makmur di Kerdau. Amaran tersebut dikeluarkan SPR dalam Berita Perdana TV1 semalam.

Mengulas lebih lanjut, Azmizam berkata AMK tidak akan berganjak dan terus berkempen bagi pihak Pakatan Rakyat. Ini kerana Umno dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) turut berkempen dan menggunakan bendera mereka sendiri walau pun hakikatnya, calon yang diperturunkan datangnya daripada Barisan Nasional.

Tegas beliau, jika benar semua pihak tertakluk kepada peraturan pilihan raya yang sama, seharusnya hanya lambang dacing sahaja digunakan BN.

“AMK juga tidak akan menurunkan bendera KEADILAN seperti diarahkan SPR kerana kononnya KEADILAN merupakan parti yg tidak bertanding.

“Kenapa bendera UMNO (lambang keris), KIMMA dan lain-lain boleh digantung sedangkan dari sudut teknikalnya yg bertanding ialah BN (lambang dacing)? Maknanya hanya lambang dacing saja boleh digantung,” kata Azmizam.

Menurut Azmizam, AMK juga akan mengambil tindakan terhadap pihak polis jika mereka gagal mengenalpasti mana-mana pihak yang merosakkan peralatan serta bendera KEADILAN sepanjang kempen pilihan raya ini berlangsung.

“Sebagai anggota polis sila pastikan keselamatan bendera kami dan sekiranya bendera tersebut hilang kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang dan menuntut gantirugi terhadap PDRM kerana gagal mengawal keselamatan peralatan kempen pilihanraya kami,” kata Azmizam.

Felda Plantation organisasi haram ?????

PAS dakwa Felda Plantation organisasi haram

Penampilan pertama kali NGO PAS dalam kempen pilihan raya kecil DUN Kerdau - Persatuan Anak Felda Kebangsaan (ANAK) - menggemparkan apabila mendakwa Felda Plantation yang mengawal 367,710 hektar ladang merupakan organisasi haram.

Presidennya, Mazlan Aliman mendakwa, pemilikannya itu bertentangan dengan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 yang didakwa menetapkan pemilikan hanya oleh individu dan koperasi sahaja.

NONEBeliau yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat mendakwa, perkara itu disebut dalam Seksyen 7(2) dan Seksyen 11(1).

"Adakah perdana menteri membaca hansard parlimen bertarikh 27 April 1960 dan apa isi ucapan bapa beliau ketika membentangkan penggubalan akta GSA 1960?

"Adakah perdana menteri tahu bahawa Felda Plantation adalah penempatan haram yang bertentangan dengan akta GSA yang mana status pemilikan hanya (untuk) individu, seksyen 7(2) dan koperasi, seksyen 11(1) sahaja?" katanya.

Mazlan yang juga ketua penerangan PAS Johor membuat dakwaan itu dalam sidang media harian PAS di markas induk parti itu di Kerdau pagi ini.

Berbeza dengan Sime Darby, IOI

Hadir sama Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawantakuasa pusat parti itu Dr Dzulkefly Ahmad.

Ditanya tentang tindakan ANAK, Mazlan berkata, pihaknya kini dalam proses membawa kes itu ke mahkamah dan mengkaji kuasa kerajaan negeri terbabit bagi mengambil semula tanah tersebut daripada Felda Plantation.

NONEBeliau percaya pengambilan semula tanah itu boleh dilakukan, seperti yang sedang diusahakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di Felda Sungai Tengi di Hulu Selangor.

Mazlan juga menjelaskan, dalam persefahaman PAS, PKR dan DAP dalam "Buku Jingga", Pakatan berhasrat mengambil alih Felda Plantation, tindakan yang didakwa sejajar dengan ucapan Tun Razak untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

Katanya, keluasan lebih suku juta hektar tanah agensi kerajaan itu boleh diagih kepadakira-kira 79,000 generasi kedua Felda bagi meningkatkan taraf hidup berbanding pemberian dividen tahunan sebanyak 14 peratus yang bernilai antara RM100 hingga RM200 sahaja.

"Adakah perdana menteri tahu 45,000 peserta Felda Plantation termasuk anak-anak tempatan sedang menderita gaji yang rendah, diperlaku seperti hamba dan kebajikan mereka yang diabaikan?" katanya.

Menurutnya keadaan itu jauh berbeza dengan nasib pekerja syarikat perladangan lain seperti Sime Darby dan IOI.

Tuduhan oleh Perdana Menteri Terhadap Qardhawi Adalah Keterlaluan

Petaling Jaya, Selangor, 01 Mac 2011, KEADILAN amat terkejut dan dukacita dengan kenyatan DS Najib Perdana Menteri Malaysia di Istanbul baru-baru ini yang membuat tuduhan melulu dan berbaur prejudis terhadap pertubuhan Ikhwanul Muslimin dan Sheikh Yusuf Qardawi. Kenyataan beliau itu jelas menunjukkan bahawa beliau amat tidak senang dengan penglibatan aktif pertubuhan itu dalam proses pendemokrasian yang sedang berlaku di beberapa buah negara Timur Tengah sekarang ini. Ia juga menyerlahkan keyakinan beliau bahawa pertubuhan itu memang sekian lama telah mengamalkan keganasan dan tidak layak melibatkan diri dalam sistem pendemokrasian selagi tidak merubah sikap „ganas‟ mereka.

Malah, tanpa segan silu beliau melafazkan kerisauan tidak tentu fasal sambil membuat menuduh melulu kepada Presiden Ulama Islam Sedunia sekarang ini iatu Sheikh Yusuf Qardawi. Bagi DS Najib, Sheikh Yusuf Qardawi dan dan para ulama lain seperti beliau telah mengakibatkan sebegitu banyak bumi Arab yang telah terlepas ke tangan para ektremis Islam.


Sesungguhnya, KEADILAN amat memandang serius kenyataan DS Najib di atas. Ini menyerlahkan sikap sebenar beliau mengenai agama Islam dan pertubuhan-pertubuhan Islam lain yang bersifat sederhana sepertinya. Pertubuhan seperti inilah yang telah banyak melahirkan para ulama dan pendakwah yang telah banyak menabur jasa memperkukuhkan masyarakat Islam dan membantu pembangunan umat di seluruh dunia.

DS Najib sebenarnya keliru mengenai hakikat Islam, sejarah perjuangan Ikhwanul Muslimin yang tepat dan siapakah sebenarnya Sheikh Yusuf Qardawi. KEADILAN bimbang kekeliruan ini adalah hasil dari maklumat salah yang diterima dari kumpulan penasihat antarabangsa di Pejabat Perdana Menteri sekarang ini.

KEADILAN ingin menegaskan bahawa agama Islam yang sebenar memang menolak keganasan. Sejarah membuktikan bahawa inilah yang telah menjadi prinsip perjuangan Ikhwanul Muslimin sejak bermula ia ditubuhkan. Kesemua pemimpin utama pertubuhan ini - Hassan al Banna, Hassan Hudhaibi, Omar Tilmisani, Mustafa Mashur, Mahdi Akib, dan sekarang ini Muhammad Bada‟I – jelas menolak keganasan. Malah, prinsip ini tetap konsisten meskipun menerima pelbagai tekanan dan penindasan dari para pemerintah diktator dan zalim di negara mereka. KEADILAN yakin, sikap inilah yang telah menjadi faktor utama kejayaan rakyat Mesir menjatuhkan rejim pemerintah diktator Husni Mubarrak tidak menggunakan keganasan.

Sesungguhnya, salah seorang tokoh utama yang mewarnai sikap kesederhaan Ikhwnul Muslimin adalah Sheikh Yusuf Qardawi sendiri. Beliau telah menghasilkan pelbagai karya besar yang jelas menolak keganasan dan mengamalkan kesederhanaan. Antara karya utama beliau adalah “Islam: Antara Penentang dan Ekstremis‟ dan “Fiqhul Jihad” yang khusus menolak kegananasan dan menyanjung kedamaian. Lebih jauh, Yusuf Qardawi adalah salah seorang tokoh utama pendokong dialog peradaban dunia.

Seharusnya, kenyataan-kenyataan seperti di atas tidak keluar dari seorang Perdana Menteri Malaysia. Dengan ini KEADILAN menuntut supaya DS Najib perlu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka.

Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan

BN terus menciplak Buku Jingga Pakatan untuk pilihan raya kecil

Pengumuman terbaru pimpinan BN tentang insentif Tawaran Baru untuk guru dan pembayaran CESS untuk peneroka FELDA menunjukkan bahawa BN terus menciplak dasar-dasar daripada Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Januari lalu ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka menyifatkan bahawa Buku Jingga Pakatan adalah populis dan tidak bertanggungjawab, kami dimaklumkan bahawa beliau mengarahkan Unit Perancang Ekonomi untuk meneliti secara halus cadangan Buku Jingga sama ada boleh dilaksanakan atau tidak.

Justeru kita melihat bagaimana BN melaksanakan satu demi satu dasar-dasar yang menyerupai cadangan Buku Jingga. Ini termasuklah pembekuan dan penurunan kadar tol, insentif untuk guru besar-guru besar dan dasar perumahan negara.

Tawaran Baru untuk guru yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Merlimau termasuk insentif untuk guru besar-guru besar dan juga insentif untuk guru-guru berjumlah RM18.4 juta.

Di dalam Buku Jingga, Pakatan Rakyat telah mengumumkan elaun khas RM500 sebulan untuk semua guru-guru menjelang 100 hari pentadbiran Kerajaan Persekutuan Pakatan bagi menghargai peranan guru dan memulakan proses penstrukturan sistem pendidikan negara.

Di Kerdau pula Najib mengumumkan bayaran CESS yang selama ini disekat daripada dituntut oleh peneroka FELDA boleh dituntut menerusi tiga pilihan. Bayaran CESS adalah wang yang ditolak daripada penjualan getah untuk proses penanaman semula. Bayaran ini telah disekat apabila peneroka bertukar ke kelapa sawit pada 2004. Bayaran sebanyak RM5000 dibuat pada Pilihan Raya Umum 2008 tetapi FELDA masih lagi berhutang sebanyak RM13,000 termasuk faedah kepada setiap peneroka terbabit.

Pakatan telah mengumumkan bahawa FELDA Plantations akan dibubarkan dalam 100 hari pertama dan estet-estetnya akan dibahagikan kepada peneroka generasi kedua dan pertama FELDA.

Malang sekali ketika Najib menciplak Buku Jingga Pakatan secara senyap-senyap, beliau tidak berani untuk menerima cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan dakwaannya bahawa dasar-dasar Buku Jingga adalah populis dan tidak bertanggungjawab. Kami yakin perbahasan tersebut sekiranya diadakan di Kuala Lumpur, Kerdau ataupun Merlimau merupakan peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menilai sendiri Buku Jingga.

Nik Nazmi Nik Ahmad

Pengarah Komunikasi

Parti Keadilan Rakyat

Tuntutan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka Sempena PRK Merlimau 2011

“ Merentasi parti politik, Mengambil berat terhadap isu negara, Memberi layanan yang adil kepada pendidikan bahasa ibunda, Mengembalikan hak kerakyatan mendiang Lim Lian Geok ”

Atas dasar pendidikan bahasa ibunda prinsip asas hak asasi manusia dan penegasan bahawa sumber pendidikan perlu dibahagikan sama rata kepada semua aliran sekolah, kami selaku badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melaka ingin mengemukakan tuntutan rakyat ini kepada parti-parti politik yang menyertai PRK Merlimau 2011 agar ia diterapkan sebagai polisi parti dan dilaksanakan secara menyeluruh di setiap lapisan kerajaan negeri dan persekutuan.

1. Memberi layanan yang adil dan saksama kepada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR), memansuhkan serta-merta polisi yang bersifat diskriminasi yang membezakan sekolah subsidi separuh dan subsidi penuh dengan tindakan-tindakan konkrit termasuk menubuhkan SJK dan SAR mengikut keperluann rakyat, memindahkan guru-guru SJK yang tidak memahami dwi-bahasa, melatih guru-guru yang mencukupi serta membiayai penuh perbelanjaan elektrik dan air sekolah.

Alasan: Sesungguhnya, semua pelajar berhak untuk menikmati bantuan pendidikan secara adil tanpa mengira apa jua jenis aliran sekolah rendah atau menengah. Meskipun 22% pelajar sekolah rendah negara ini terdiri daripada pelajar SJKC, namun SJKC sekadar mendapat 3.6% secara keseluruhan peruntukan pendidikan negara. Kerajaan tidak patut merampas hak bantuan pendidikan pelajar-pelajar di sekolah semata-mata tapak sekolahnya berstatuskan 'bukan milik kerajaan persekutuan' / private. Kos penubuhan dan pembesaran SJK dan SAR tidak harus ditanggung oleh masyarakat. Kerajaan harus melayani sekolah SJK dan SAR secara adil. Selain daripada menanggung kos pentadbiran dan sumber tenaga pengajar, kerajaan patut menanggung segala pembiayaan SJK & SAR yang munasabah.

Polisi yang bersifat diskriminasi seperti polisi sekolah separuh subsidi dan subsidi penuh mesti dimansuhkan serta-merta. Kerajaan tidak harus sama sekali menidakkan hak murid-murid sekolah sehingga menggadaikan masa depan mereka.

2. Menuntut kerajaan negeri menggubal Enakmen Bantuan Pendidikan Rakyat dengan kadar 1:1 menetapkan kerajaan negeri memberi bantuan RM1000 kepada setiap pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Sekolah Menengah Islam/ Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) yang dibiayai penuh oleh masyarakat, mengiktiraf sijil peperiksaan SMPC dan membenarkan pemegang sijilnya untuk memohon kemasukan IPTA serta sebagai kakitangan awam.

Alasan: Mengikut kaji selidik, masyarakat Cina membiayai hampir RM2000 setiap tahun untuk setiap pelajar SMPC manakala SMAR juga melancarkan pelbagai program kutipan derma untuk membiayai perbelanjaan sekolah. Kerajaan harus menggubal enakmen agar memberi peruntukan kepada SMPC dan SMAR dengan mekanisme yang sistematik. Pendidikan harus digalakkan ke arah kepelbagaian dan terbuka demi mengasuh bakat-bakat terpelbagai yang boleh menyumbang kepada masyarakat.

Sebenarnya, pengiktirafan sijil SMPC adalah membantu dalam pemasalahan “brain drain” negara. Kerajaan setakat perlu mengubah polisi pendidikan ini agar cerdik pandai graduan SMPC boleh dan sangup berkidmat untuk negara. Ini jauh lebih berkesan jika dibandingkan dengan cadangan penubuhan agensi bakat (talent agency) yang dikemukakan.

3. Menuntut kerajaan memberi peruntukan kepada 5 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) untuk memperbaiki kemudahan asas pengajaran dan seterusnya menunaikan pelbagai janji kerajaan semasa pertukaran aliran sekolah berkenaan dan terus menghulurkan sumbangan pembangunan yang mencukupi.

Alasan: Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) yang asalnya Sekolah-Sekolah Menengah Cina telah menukar aliran pendidikannya dan menjadi sebahagian daripada tunjang Sistem Pendidikan Malaysia, sewajarnya diberi layanan yang sama-rata seperti SMK. Namun, kerajaan tidak memberi sumbangan pembangunan dan pentadbiran yang sepatutnya sehingga SMJK mengalami masalah kekurangan sumbangan pendidikan dan kemudahan asasnya berada dalam situasi yang tidak memuaskan.

Apabila lima Sekolah Menengah Cina Melaka memilih cadangan kerajaan untuk menukar aliran pendidikannya kepada SMJK suatu ketika dahulu, kerajaan telah menjanjikan, antara lain mengiktiraf status legal Majlis Lembaga SMJK, menanggung kos pentadbiran dan pembangunan SMJK, mengembalikan 1/3 waktu pengajaran dalam Bahasa Cina dan sebagainya. Malangnya, janji-janji ini tidak pernah ditunaikan!

4. Mengembalikan hak kerakyatan mendiang Lim Lian Geok dan mengiktirafkan beliau sebagai Patriot Negara

Alasan : Oleh kerana mendiang Lim Lian Geok (LLG) terlibat dalam pembantahan dan penolakan pertukaran aliran Sekolah Menengah Cina, kerakyatan beliau telah dilucutkan pada tahun 1961 kononnya atas dakwaan beliau sengaja memutar-belitkan dasar pendidikan negara dan menghasut rakyat benci akan DYMM Yang Dipertuan Agong serta kerajaan persekutuan sehingga mengakitbatkan permusuhan antara kaum.

Namun hakikatnya sebelum kemerdekaan, mendiang LLG merupakan pemimpin pertama yang menyeru masyarakat Cina bersetia dan menjadikan Malaya sebagai tanahair dan memohon kewarganegaraan. Malah, beliau sering memupuk perpaduan kaum dan pernah mewartakan perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun 1956 di Utusan Melayu agar rakyat Malaysia dapat mendukung gagasan “Hidup Berbilang, Makmur Bersama” dengan melayani semua kaum sebagai anggota sekeluarga.

Oleh itu, kami berpendirian bahawa alasan Parti Perikatan ketika itu amat tidak berasas. Perjuangan mendiang LLG ke arah pembinaan sistem pendidikan Cina adalah dilakukan secara rasional dan beliau mengkritik polisi kerajaan berlandaskan hak bebas bersuara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Jelas tindakan Parti Perikatan mempunyai niat politik untuk melenyapkan suara mendiang LLG selaku Pengerusi Pertubuhan Guru-Guru ketika itu dan sekaligus melaksanakan polisi pertukaran aliran sekolah Cina secara paksaan. Sebagai kerajaan yang berwibawa, segala fitnah terhadap mendiang LLG mesti ditarik balik selepas 50 tahun!

Penutup:

Sudah berdekad lamanya, sekolah-sekolah Cina dan India tidak dilayani secara adil. Pelbagai masalah asyik menimbul manakala pihak pemerintah pula tidak mempunyai keinginan politik yang kuat untuk memperbetulkan kepincangan yang sedia ada pada system, mengakibatkan masalah pendidikan bahasa ibunda tidak dapat diselesaikan ke pangkalnya.

Kami berpendapat bahawa pilihanraya perlu merentasi gula-gula politik tetapi mementingkan pembaharuan polisi dan sistem yang teras. Kami meminta parti-parti komponen yang utama Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bersama-sama dengan NGO pendidikan mengadakan satu mesyuarat merentasi ideologi politik untuk mempertahankan hak pendidikan bahasa ibunda semua kaum dan membina satu Malaysia yang demokrasi, adil dan progresif.

Kami mengalu-alukan tandatangan sebarang pertubuhan sebagai sokongan ke atas tuntutan di atas. Sila nyatakan nama pertubuhan dan e-melkan kepada :yangyinchong@hotmail.com atau faks : 06-334 5723 / 06-317 5667. Untuk individu, boleh menandatangani tuntutan ini menerusi www.gopetition.com/petition/43246.html (versi BM)

Dikemukakan oleh :

1. Malacca Chinese Education Progressive Association

2. LLG Cultural Development Centre Melaka

3. Persekutuan Persatuan-Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Cina Melaka

4. Persatuan Mahasiswa-Mahasiswa Taiwan Melaka

5. Melaka Nanyang Alumni Association

6. Malacca Pay Fong Schools Association

100 berdemo depan DBKL bantah roboh rumah


KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 penduduk Ladang Estet Batu hari ini berdemonstrasi depan bangunan DBKL di sini bagi membantah hasrat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meroboh rumah mereka.

Mereka terdiri daripada bekas pekerja estet ladang Batu yang membantah tindakan bersandarkan Notis Pembersihan Setinggan 1969 yang terkandung dalam Ordinan Darurat.

Mereka turut cuba menyerahkan memorandum yang menuntut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail memberi akujanji bertulis bahawa DBKL tidak akan menggunakan Ordinan Darurat atau undang-undang lain untuk meroboh rumah penduduk Estet Ladang Batu.

Pengusiran bermula apabila Mayland Properties Sdn Bhd yang mahu memajukan kawasan itu berjanji memberi pampasan dan perumahan transit sementara pemaju itu menyiapkan rumah ganti.

“Paling dikesali adalah tindakan DBKL menggunakan Ordinan Darurat untuk mengusir penduduk, sedangkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2003 menolak permohonan pemaju,” kata peguam R Sivarasa.

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran pula berkata, penggunan Ordinan Darurat salah disisi undang-undang, malah tindakan DBKL itu membelakangkan penghakiman mahkamah.

“Ini tindakan songsang. Pemaju menjanjikan rumah transit sementara menunggu rumah ganti mereka siap. Jadi, apa keperluan mereka menggunakan Peraturan Pembersihan Setinggan 1969 untuk mengarahkan penduduk berpindah.

“Sedangkan, penduduk ladang estet Batu bukannya setinggan dan mereka tinggal di atas tanah milik persendirian dan bukan atas tanah milik DBKL,” katanya.

Beliau juga menyatakan Biro Masyarakat KEADILAN dengan kerjasama Lawyer For Liberty akan terus mendesak DBKL agar tidak mengambil pendekatan melampau terhadap penduduk ladang estet Batu yang rata-ratanya miskin.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng; Timbalan Ketua Angkatan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan wakil Lawyers For Liberty (LFL).