Penampilan pertama kali NGO PAS dalam kempen pilihan raya kecil  DUN Kerdau - Persatuan Anak Felda Kebangsaan (ANAK) - menggemparkan  apabila mendakwa Felda Plantation yang mengawal 367,710 hektar ladang  merupakan organisasi haram.
Presidennya, Mazlan  Aliman mendakwa, pemilikannya itu bertentangan dengan Akta Penempatan  Berkelompok (GSA) 1960 yang didakwa menetapkan pemilikan hanya oleh  individu dan koperasi sahaja.Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat mendakwa, perkara itu disebut dalam Seksyen 7(2) dan Seksyen 11(1).
"Adakah  perdana menteri membaca hansard parlimen bertarikh 27 April 1960 dan  apa isi ucapan bapa beliau ketika membentangkan penggubalan akta GSA  1960?
"Adakah perdana menteri tahu bahawa Felda  Plantation adalah penempatan haram yang bertentangan dengan akta GSA  yang mana status pemilikan hanya (untuk) individu, seksyen 7(2) dan  koperasi, seksyen 11(1) sahaja?" katanya.
Mazlan yang juga  ketua penerangan PAS Johor membuat dakwaan itu dalam sidang media harian  PAS di markas induk parti itu di Kerdau pagi ini.
Berbeza dengan Sime Darby, IOI
Hadir sama Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawantakuasa pusat parti itu Dr Dzulkefly Ahmad.
Mazlan juga menjelaskan, dalam persefahaman PAS, PKR dan DAP dalam "Buku Jingga", Pakatan berhasrat mengambil alih Felda Plantation, tindakan yang didakwa sejajar dengan ucapan Tun Razak untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.
Katanya, keluasan lebih suku juta hektar tanah agensi kerajaan itu boleh diagih kepadakira-kira 79,000 generasi kedua Felda bagi meningkatkan taraf hidup berbanding pemberian dividen tahunan sebanyak 14 peratus yang bernilai antara RM100 hingga RM200 sahaja.
"Adakah perdana menteri tahu 45,000 peserta Felda Plantation termasuk anak-anak tempatan sedang menderita gaji yang rendah, diperlaku seperti hamba dan kebajikan mereka yang diabaikan?" katanya.
Menurutnya keadaan itu jauh berbeza dengan nasib pekerja syarikat perladangan lain seperti Sime Darby dan IOI.
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan