KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 penduduk Ladang Estet Batu hari ini berdemonstrasi depan bangunan DBKL di sini bagi membantah hasrat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meroboh rumah mereka.
Mereka terdiri daripada bekas pekerja estet ladang Batu yang membantah tindakan bersandarkan Notis Pembersihan Setinggan 1969 yang terkandung dalam Ordinan Darurat.
Mereka turut cuba menyerahkan memorandum yang menuntut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail memberi akujanji bertulis bahawa DBKL tidak akan menggunakan Ordinan Darurat atau undang-undang lain untuk meroboh rumah penduduk Estet Ladang Batu.
Pengusiran bermula apabila Mayland Properties Sdn Bhd yang mahu memajukan kawasan itu berjanji memberi pampasan dan perumahan transit sementara pemaju itu menyiapkan rumah ganti.
“Paling dikesali adalah tindakan DBKL menggunakan Ordinan Darurat untuk mengusir penduduk, sedangkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2003 menolak permohonan pemaju,” kata peguam R Sivarasa.
Naib Presiden KEADILAN, N Surendran pula berkata, penggunan Ordinan Darurat salah disisi undang-undang, malah tindakan DBKL itu membelakangkan penghakiman mahkamah.
“Ini tindakan songsang. Pemaju menjanjikan rumah transit sementara menunggu rumah ganti mereka siap. Jadi, apa keperluan mereka menggunakan Peraturan Pembersihan Setinggan 1969 untuk mengarahkan penduduk berpindah.
“Sedangkan, penduduk ladang estet Batu bukannya setinggan dan mereka tinggal di atas tanah milik persendirian dan bukan atas tanah milik DBKL,” katanya.
Beliau juga menyatakan Biro Masyarakat KEADILAN dengan kerjasama Lawyer For Liberty akan terus mendesak DBKL agar tidak mengambil pendekatan melampau terhadap penduduk ladang estet Batu yang rata-ratanya miskin.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng; Timbalan Ketua Angkatan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan wakil Lawyers For Liberty (LFL).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan