klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Rabu, 2 Mac 2011

Tuntutan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka Sempena PRK Merlimau 2011

“ Merentasi parti politik, Mengambil berat terhadap isu negara, Memberi layanan yang adil kepada pendidikan bahasa ibunda, Mengembalikan hak kerakyatan mendiang Lim Lian Geok ”

Atas dasar pendidikan bahasa ibunda prinsip asas hak asasi manusia dan penegasan bahawa sumber pendidikan perlu dibahagikan sama rata kepada semua aliran sekolah, kami selaku badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melaka ingin mengemukakan tuntutan rakyat ini kepada parti-parti politik yang menyertai PRK Merlimau 2011 agar ia diterapkan sebagai polisi parti dan dilaksanakan secara menyeluruh di setiap lapisan kerajaan negeri dan persekutuan.

1. Memberi layanan yang adil dan saksama kepada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR), memansuhkan serta-merta polisi yang bersifat diskriminasi yang membezakan sekolah subsidi separuh dan subsidi penuh dengan tindakan-tindakan konkrit termasuk menubuhkan SJK dan SAR mengikut keperluann rakyat, memindahkan guru-guru SJK yang tidak memahami dwi-bahasa, melatih guru-guru yang mencukupi serta membiayai penuh perbelanjaan elektrik dan air sekolah.

Alasan: Sesungguhnya, semua pelajar berhak untuk menikmati bantuan pendidikan secara adil tanpa mengira apa jua jenis aliran sekolah rendah atau menengah. Meskipun 22% pelajar sekolah rendah negara ini terdiri daripada pelajar SJKC, namun SJKC sekadar mendapat 3.6% secara keseluruhan peruntukan pendidikan negara. Kerajaan tidak patut merampas hak bantuan pendidikan pelajar-pelajar di sekolah semata-mata tapak sekolahnya berstatuskan 'bukan milik kerajaan persekutuan' / private. Kos penubuhan dan pembesaran SJK dan SAR tidak harus ditanggung oleh masyarakat. Kerajaan harus melayani sekolah SJK dan SAR secara adil. Selain daripada menanggung kos pentadbiran dan sumber tenaga pengajar, kerajaan patut menanggung segala pembiayaan SJK & SAR yang munasabah.

Polisi yang bersifat diskriminasi seperti polisi sekolah separuh subsidi dan subsidi penuh mesti dimansuhkan serta-merta. Kerajaan tidak harus sama sekali menidakkan hak murid-murid sekolah sehingga menggadaikan masa depan mereka.

2. Menuntut kerajaan negeri menggubal Enakmen Bantuan Pendidikan Rakyat dengan kadar 1:1 menetapkan kerajaan negeri memberi bantuan RM1000 kepada setiap pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Sekolah Menengah Islam/ Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) yang dibiayai penuh oleh masyarakat, mengiktiraf sijil peperiksaan SMPC dan membenarkan pemegang sijilnya untuk memohon kemasukan IPTA serta sebagai kakitangan awam.

Alasan: Mengikut kaji selidik, masyarakat Cina membiayai hampir RM2000 setiap tahun untuk setiap pelajar SMPC manakala SMAR juga melancarkan pelbagai program kutipan derma untuk membiayai perbelanjaan sekolah. Kerajaan harus menggubal enakmen agar memberi peruntukan kepada SMPC dan SMAR dengan mekanisme yang sistematik. Pendidikan harus digalakkan ke arah kepelbagaian dan terbuka demi mengasuh bakat-bakat terpelbagai yang boleh menyumbang kepada masyarakat.

Sebenarnya, pengiktirafan sijil SMPC adalah membantu dalam pemasalahan “brain drain” negara. Kerajaan setakat perlu mengubah polisi pendidikan ini agar cerdik pandai graduan SMPC boleh dan sangup berkidmat untuk negara. Ini jauh lebih berkesan jika dibandingkan dengan cadangan penubuhan agensi bakat (talent agency) yang dikemukakan.

3. Menuntut kerajaan memberi peruntukan kepada 5 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) untuk memperbaiki kemudahan asas pengajaran dan seterusnya menunaikan pelbagai janji kerajaan semasa pertukaran aliran sekolah berkenaan dan terus menghulurkan sumbangan pembangunan yang mencukupi.

Alasan: Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) yang asalnya Sekolah-Sekolah Menengah Cina telah menukar aliran pendidikannya dan menjadi sebahagian daripada tunjang Sistem Pendidikan Malaysia, sewajarnya diberi layanan yang sama-rata seperti SMK. Namun, kerajaan tidak memberi sumbangan pembangunan dan pentadbiran yang sepatutnya sehingga SMJK mengalami masalah kekurangan sumbangan pendidikan dan kemudahan asasnya berada dalam situasi yang tidak memuaskan.

Apabila lima Sekolah Menengah Cina Melaka memilih cadangan kerajaan untuk menukar aliran pendidikannya kepada SMJK suatu ketika dahulu, kerajaan telah menjanjikan, antara lain mengiktiraf status legal Majlis Lembaga SMJK, menanggung kos pentadbiran dan pembangunan SMJK, mengembalikan 1/3 waktu pengajaran dalam Bahasa Cina dan sebagainya. Malangnya, janji-janji ini tidak pernah ditunaikan!

4. Mengembalikan hak kerakyatan mendiang Lim Lian Geok dan mengiktirafkan beliau sebagai Patriot Negara

Alasan : Oleh kerana mendiang Lim Lian Geok (LLG) terlibat dalam pembantahan dan penolakan pertukaran aliran Sekolah Menengah Cina, kerakyatan beliau telah dilucutkan pada tahun 1961 kononnya atas dakwaan beliau sengaja memutar-belitkan dasar pendidikan negara dan menghasut rakyat benci akan DYMM Yang Dipertuan Agong serta kerajaan persekutuan sehingga mengakitbatkan permusuhan antara kaum.

Namun hakikatnya sebelum kemerdekaan, mendiang LLG merupakan pemimpin pertama yang menyeru masyarakat Cina bersetia dan menjadikan Malaya sebagai tanahair dan memohon kewarganegaraan. Malah, beliau sering memupuk perpaduan kaum dan pernah mewartakan perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun 1956 di Utusan Melayu agar rakyat Malaysia dapat mendukung gagasan “Hidup Berbilang, Makmur Bersama” dengan melayani semua kaum sebagai anggota sekeluarga.

Oleh itu, kami berpendirian bahawa alasan Parti Perikatan ketika itu amat tidak berasas. Perjuangan mendiang LLG ke arah pembinaan sistem pendidikan Cina adalah dilakukan secara rasional dan beliau mengkritik polisi kerajaan berlandaskan hak bebas bersuara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Jelas tindakan Parti Perikatan mempunyai niat politik untuk melenyapkan suara mendiang LLG selaku Pengerusi Pertubuhan Guru-Guru ketika itu dan sekaligus melaksanakan polisi pertukaran aliran sekolah Cina secara paksaan. Sebagai kerajaan yang berwibawa, segala fitnah terhadap mendiang LLG mesti ditarik balik selepas 50 tahun!

Penutup:

Sudah berdekad lamanya, sekolah-sekolah Cina dan India tidak dilayani secara adil. Pelbagai masalah asyik menimbul manakala pihak pemerintah pula tidak mempunyai keinginan politik yang kuat untuk memperbetulkan kepincangan yang sedia ada pada system, mengakibatkan masalah pendidikan bahasa ibunda tidak dapat diselesaikan ke pangkalnya.

Kami berpendapat bahawa pilihanraya perlu merentasi gula-gula politik tetapi mementingkan pembaharuan polisi dan sistem yang teras. Kami meminta parti-parti komponen yang utama Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bersama-sama dengan NGO pendidikan mengadakan satu mesyuarat merentasi ideologi politik untuk mempertahankan hak pendidikan bahasa ibunda semua kaum dan membina satu Malaysia yang demokrasi, adil dan progresif.

Kami mengalu-alukan tandatangan sebarang pertubuhan sebagai sokongan ke atas tuntutan di atas. Sila nyatakan nama pertubuhan dan e-melkan kepada :yangyinchong@hotmail.com atau faks : 06-334 5723 / 06-317 5667. Untuk individu, boleh menandatangani tuntutan ini menerusi www.gopetition.com/petition/43246.html (versi BM)

Dikemukakan oleh :

1. Malacca Chinese Education Progressive Association

2. LLG Cultural Development Centre Melaka

3. Persekutuan Persatuan-Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Cina Melaka

4. Persatuan Mahasiswa-Mahasiswa Taiwan Melaka

5. Melaka Nanyang Alumni Association

6. Malacca Pay Fong Schools Association

Tiada ulasan:

Catat Ulasan