klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Isnin, 7 Mac 2011

APAKAH YANG HEBAT SANGAT DENGAN KEMENANGAN BN INI ?????

Kemenangan UMNO/BN dalam 3 Pilihanraya Kecil membuatkan pelbagai komen daripada banyak pihak dan menganggap kemenangan di ke tiga-tiga PRK iaitu DUN Tenang , Johor , DUN Merlimau , Melaka dan DUN Kerdau , Pahang telah menimbulkan pelbagai spekulasi , persepsi dan hipotesis sama ada para cendikia , para politikus pro-BN dan termasuk para cybertrooper UMNO yang menganggap kemenangan BN itu adalah satu kemenangan yang bermakna dan seolah-olah rakyat sudah kembali memberikan sokongan kepada UMNO/BN .

Seolah-olah kekalahan PAS / PR dalam ketiga-tiga PRK tersebut sebagai " mendung hitam" dan penolakkan rakyat terhadap PAS / PR . DS Najib Razak dalam kenyataannya menganggap kemenangan BN menampakkan trend sokongan pengundi terhadap BN semakin meningkat dan bertambah kukuh serta menyifatkan sokongan pengundi, termasuk dari pengundi bukan Melayu terhadap BN sebagai trend menggalakkan .

Ada dikalangan cendikia yang menganggap bahawa BN tidak seharusnya merasa selesa dengan kemenangan BN di ketiga-tiga PRK namun optimis dengan kemenangan BN . Pelbagai hujah disenaraikan bagi menilai trend serta sokongan para pengundi yang kononnya telah dapat menerima BN .

Apakah kemenangan UMNO/BN di Tenang , Kerdau dan Merlimau adalah sesuatu yang membanggakan ? Terlalu luar biasa ? Adakah kemenangan BN di ketiga-tiga PRK tersebut layak dijadikan ukuran sokongan para pengundi di kawasan yang sememangnya merupakan kubu kuat kepada BN ? Sudah pasti kemenangan BN di kawasan sendiri bukan sesuatu yang menarik dan membimbangkan . Mereka memenangi kerusi DUN-DUN tersebut dalam PRU yang lalu .

Adakah dengan kemenangan BN di ketiga-tiga DUN tersebut menukar lanskap dan jumlah kerusi di Dewan Undangan Negeri Johor , Pahang dan Melaka ? Yang pastinya tidak ada perubahan dan masih jumlahnya sebegitu tidak bertambah dan tidak berkurang . Justeru apa yang membanggakan sangat ?

Sesungguhnya menang di kubu kuat sendiri bukan sesuatu yang luar biasa . Apa lagi kemenangan kerana PRK. Tidak ada apa yang boleh membanggakan , hebat dan memberangsangkan . Kecuali kemenangan di DUN yang sebelum ini dikuasai oleh PR . Itu baru dikira satu kemenangan .

Setiap kali PRK , PR bukan sahaja berdepan dengan jentera UMNO/BN , tetapi PR berdepan dengan seluruh jentera kerajaan negeri dan persekutuan . Seluruh dikerah , bukan sahaja daripada logistik tetapi termasuk dana yang berjuta-juta RM . Rakyat disogok dengan pelbagai projek "maggi segera", peruntukkan wang , kelulusan peruntukan, bantuan dan sebagainya . Sehingga rakyat tidak mampu membezakan mana satu parti , mana satu kerajaan . seolah-olah 'kerajaan adalah UMNO / BN , UMNO / Bn adalah kerajaan".

Peranan Suruhanjaya Pilihanraya ( SPR ) juga turut memainkan peranan untuk memenangkan UMNO/BN disetiap kali PRK termasuklah ketiga-tiga PRK yang sudah selesai berlangsung . SPR menjadi dalang utama penuh licik bagi memastikan kemenangan BN .

Kemenangan BN bukanlah ukuran yang terbaik . Kekotoron dan kejelekkan memenuhi proses kempen . Pengamalan rasuah kepada para pengundi bukanlah sesuatu yang luar biasa dilakukan oleh BN setiap kali PRK . Pelbagai aduan di'bakul sampah'kan oleh SPR walaupun dengan bukti .

Justeru apa yang sangat menghairankan dengan kemenangan BN di ketiga-tiga DUN tersebut ? Paranan media yang menjadi 'lidah syaitan' menghamburkan pelbagai fitnah , propaganda dan psywar yang membantu kemenangan BN . Media cetakan seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian serta media elektronik seperti TV3 menjadi alat propanganda yang setiap hari dan setiap saat menyerang pimpinan dan PR tanpa rasa bersalah , berakhlak dan beretika .

Apa yang hebat sangat dengan kemenangan UMNO/BN ini ????

Fitnah II: Penahanan tak sah, ‘bukti pendakwa raya’ perlu ditolak


KUALA LUMPUR: Karpal Singh menegaskan penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara tidak sah dan pemerolehan DNA-nya secara tipu muslihat adalah alasan kukuh untuk Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menolak bukti yang mahu dikemukakan pendakwa raya.

Beliau berkata demikian dalam bicara dalam perbicaraan untuk menolak tuala ‘Good Morning’, botol air mineral ‘Cactus’ dan berus gigi sebagai bahan bukti perbicaraan kes Fitnah II.

Kata Karpal, penahanan Anwar pada 16 Julai 2008 bertentangan dengan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 28A(1) Kanun Acara Jenayah.

Beliau berkata, Superintendan Ahmad Taufik Abdullah – pegawai polis yang menahan Anwar gagal mengemukakan waran tangkap mahupun asas penahanan sewaktu Ketua Pembangkang itu ditahan.

“Mengikut Perkara 5(3) dan Seksyen 28A(1) Kanun Acara Jenayah, polis yang menahan seseorang tanpa waran, perlu memberitahu individu berkenaan asas penahanannya,” katanya.

Malah, katanya, Anwar menerusi peguam beliau, Sankara Nair sudah memberi jaminan kepada polis untuk hadir memberi keterangan pada jam 2 petang pada hari beliau ditahan secara tidak sah.

Selain itu, Karpal berkata, tuala ‘Good Morning’, botol air mineral ‘Cactus’ dan berus gigi – barangan diambil tanpa kebenaran Anwar sewaktu beliau tidak lagi berada di lokap.

Sedangkan, katanya, Seksyen 64 Kanun Acara Jenayah menyatakan polis perlu menyenarai barang-barang yang diambil daripada individu yang menghuni lokap manakala Seksyen 65 kanun sama menyebut, individu berkenaan perlu hadir sewaktu rampasan dibuat.

Karpal berhujah demikian pada hari ketiga bicara dalam perbicaraan, sebahagian kes Fitnah II yang cuba mensabitkan Anwar dengan tuduhan liwat – mengulangi wayang 1998.

Pertuduhan itu dipercayai sebahagian usaha terancang untuk menyekat kebangkitan Anwar dalam menyakinkan rakyat untuk menolak Barisan Nasional (BN) selepas kejayaan memimpin Pakatan Rakyat memenangi lima negeri dalam pilihan raya umum 2008.

Anwar : "Hanya Mereka Yang Makan Cili Terasa Pedasnya"

PETALING JAYA 6 MAC : Pakatan Rakyat mengingatkan kerajaan pimpinan Umno-BN agar mengambil iktibar beberapa persoalan mendasar yang menjadi punca kemarahan penduduk di Libya, Mesir dan Tunisia dalam konteks tuntutan perubahan total oleh rakyat di negara ini, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pagi ini (semalam) terpampang amaran pemimpin Umno agar pembangkang jangan bermain api.

Amaran ini dikeluarkan oleh pimpinan Umno kerana para pemimpin Pakatan Rakyat memulakan inisiatif membandingkan antara tuntutan Perubahan yang diungkapkan di Timur Tengah serta Afrika Utara dengan tuntutan Perubahan di Malaysia," kata Anwar di petik dari laman blognya.

"Apakah peringatan yang diungkapkan kita agar kekayaan jangan hanya tertumpu kepada segelintir manakala masih ramai yang terpaksa membanting tulang untuk sesuap nasi itu suatu usaha meniup kebencian?

Apakah usaha kita mendedahkan betapa 1.36 juta (34%) dari 4 juta pekerja di Malaysia dibayar kurang dari RM 700 sebulan, manakala 40% dari keseluruhan rakyat Malaysia hanya menikmati pendapatan isi rumah kurang dari RM 1500 itu suatu usaha hasutan? Hanya mereka yang memahami Demokrasi itu sekadar pilihanraya 5 tahun sekali menganggap usaha mengungkapkan kebenaran sebagai suatu hasutan," tegas Anwar.

Anwar berkata lagi, sekarang tiada bezanya propaganda diktator di sana dengan regim Umno-BN di sini. Ternyata yang menghasut dan meniup kebencian adalah pimpinan Umno-BN, bukannya Pakatan Rakyat. Hampir setiap hari tohmahan dilemparkan kepada pimpinan Pakatan Rakyat seumpama agen pengkhianat dan agen asing.

"Modus operandi yang sama digunakan oleh diktator di Mesir dan Libya terhadap penentangnya. Cumanya, hanya di Malaysia, regim pemerintah berusaha menghalang kemaraan perubahan dengan fitnah liwat.

Persoalannya mengapa pimpinan Umno-BN begitu gusar dengan perubahan yang melanda Timur Tengah dan Afrika Utara sekiranya negara kita tidak berhadapan dengan permasalahan tersebut. Oleh kerana terlalu takut, Dato' Sri Najib, sepertimana yang dilaporkan National Review, sanggup meragui sosok ulama terkenal, Sheikh Yusuf al Qaradawi serta menuduh gerakan Ikhwan al Muslimun masih terbabit dengan keganasan," katanya.

Justeru kepada pemimpin Umno-BN yang mengeluarkan amaran itu, Anwar mengingatkan mereka, "Hanya mereka yang makan cili terasa pedasnya."

Buku Jingga Tolak Sepenuhnya Amalan Membazir


SHAH ALAM, 6 MAC: Pembaziran yang berlaku dalam pentadbiran negara perlu dibanteras demi kesejahteraan negara dan seluruh rakyat, kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Azizah, pembaziran yang menjadi amalam syaitan perlu dihakis dari kehidupan, sama ada dari kalangan pemimpin mahupun rakyat kerana ia akan mendatangkan mudarat kepada semua pihak.

“Pemimpin yang dipilih memikul tanggungjawab dan amanah yang mesti menjalankannya dengan adil. Segala kecuaian dan aktiviti-aktiviti pembaziran mesti dibanteras bersama demi kebaikan rakyat dan negara,” kata Azizah ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Buku Jingga, di Stadium Malawati, di sini malam tadi.

Menurut beliau, amalan baik seperti pentadbiran yang telus dan bebas rasuah itulah yang menjadi asas dalam pembikinan Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Justeru buku yang mengandungi ikrar bersama gagasan itu menjanjikan ke arah Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.

“Demokrasi adalah hak asasi sebagai rakyat yang mahu semua masalah dapat ditangani dengan baik.Pemimpin yang baik mesti menjalankan tanggungjawab.

“(Oleh itu) Pakatan Rakyat berikrar melalui kesepakatan dan iltizam untuk membawa perubahan dana arah tuju bangsa dan negara ke arah yang lebih baik,”
katanya.

Menurut Azizah, walaupun mengambilalih teraju negara adalah satu tanggungjawab besar setelah pelbagai kerosakan dilakukan oleh Umno-BN, namun Pakatan Rakyat katanya sudah merangka plan yang kongkrit demi memastikan satu transformasi menyeluruh untuk rakyat dapat dilaksanakan.

“Meneraju negara adalah cita-cita tetapi untuk memastikan pengurusan dapat dilaksanakan dengan baik adalah satu cabaran besar bagi kita. Oleh itu, Pakatan rakyat juga telah merangka strategi untuk melaksanakan reformasi menyeluruh dalam aspek tatakelola dan pengurusan negara,” jelasnya.

Tambahnya, Pakatan Rakyat juga tekad dalam mengatur program pembangunan agar semua program dinikmati sepenuhnya oleh rakyat melangkaui semua lapisan tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

Buku Jingga Pakatan Rakyat menggariskan demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat, memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil, keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh dan hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil- setara.

Azizah juga memberi jaminan Pakatan Rakyat akan mempertahankan perkara-perkara penting yang telah termaktub dalalam Perlembagaan Negara.

Beliau juga turut mengingatkan semua pihak mesti bersama-sama untuk terus komited mempertahankan prinsip dalam usaha menawan Putrajaya.

“Pakatan Rakyat tekankan Perkara 152 dan Perkara 153 serta Institusi Raja-Raja Dipertahankan dan dimartabatkan. Ini merupakan jaminan sepenuhnya Pakatan Rakyat supaya perkara ini tidak akan disentuh atau dicabar,” katanya.

Plan Buku Jingga Jimatkan Wang Negara

SHAH ALAM 6 MAC :Pengenalan Buku Jingga yang diilhamkan Pakatan Rakyat adalah jawapan tepat untuk menyelamatkan negara daripada penyelewengan, penyalahgunaan kuasa serta rasuah yang berlaku di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional.


Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw, yang mewakili penasihat parti itu berkata, pembiayaan program-program Buku Jingga juga tidak membabitkan peruntukan yang besar dan menjimatkan kewangan negara.

Justeru, ia dilihat sebagai dasar yang begitu baik dalam memperkasakan ekonomi negara yang tidak berjaya dilakukan oleh kerajaan Umno-BN yang membudayakan amalan rasuah dalam pentadbirannya.

Menurut Dr Tan, contoh paling hampir mengenai penyelewengan kerajaan dapat dilihat dengan jelas pada musim pilihan raya kecil termasuk di DUN Kerdau dan Merlimau yang berlangsung hari ini.

“Di dalam masa pilihan raya kecil ini dia memang mengeluarkan banyak duit dan nak dapat undi itu. Siapa yang undi kadang kala dapat RM200-300. Bila kita ada ceramah di Merlimau ataupun di Kerdau di sebelah itu dia ada Satu Malaysia, seolah-olah ini bukan satu Malaysia dua tiga Malaysia. Dan ini menggunakan wang rakyat,” katanya.

Dr Tan ditemui Tv Selangor, selepas majlis pelancaran Buku Jingga di Stadium Malawati Shah Alam malam tadi.

Turut hadir pada majlis pelancaran Buku Jingga dan sambutan tiga tahun pentadbiran Pakatan di Selangor adalah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; barisan Exco dan ADUN Pakatan yang lain.

Tambah Dr Tan, belum pun program-program Buku Jingga dilaksanakan, namun masyarakat dunia terutama pelabur dalam dan luar negara menunjukkan minat yang begitu tinggi untuk melabur di negeri-negeri bawah Pakatan Rakyat.

“Prestasi pentadbiran di dalam empat negeri ini boleh kita lihat berjaya menarik pelaburan asing. Malah jumlah pelaburan bertambah dengan banyak berbanding dengan negeri-negeri Barisan Nasional kerana mereka kurang rasional dalam hal ini,” katanya.

Malah ujarnya, prestasi penjawat awam di bawah kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat juga menjadi lebih baik dan profesional dalam tempoh tiga tahun ini.

Tegas beliau, tiada lagi budaya kerja sambil lewa seperti yang berlaku sebelum ini dan perkhidmatan jelas lebih cekap dan tersusun.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan, semua institusi awam terutamanya Polis Diraja Malaysia atau PDRM dan juga Peguam Negara mestilah diketuai individu yang ikhlas dan komited supaya dapat menjalankan tugas dengan adil dan saksama demi kebaikan negara.

Dengan pentadbiran telus dan adil yang dipraktikkan Pakatan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, adalah diharapkan katanya, rakyat akan menyokong perjuangan gagasan itu ke arah mentadbir Putrajaya.

Dengan cara ini jelasnya Buku Jingga dapat direalisasikan dan manfaatnya akan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

kerana rakyat : Sesi panas dijangka dalam sidang Parlimen

Selepas berlaku kekecohan pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat Disember lalu, yang menyaksikan empat ahli parlimen Pakatan Rakyat digantung kehadiran mereka, maka sesi Dewan Rakyat kali ini mungkin hangat.

Pertelingkahan antara ahli parlimen BN dan pembangkang mengenai beberapa isu, dijangka berterusan selepas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin merasmikan mesyuarat sesi keempat Parlimen ke-12 esok.


Dengan pilihan raya umum menjelang tiba, Dewan Rakyat adalah satu forum di mana Pakatan menggunakan, malahan tanpa empat ahli parlimen yang digantung selama enam bulan itu - Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang), Azmin Ali (PKR-Gombak), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).


Satu isu yang akan dibahaskan pada sesi Dewan Rakyat sebulan ini ialah keputusan kerajaan membeli enam buah Kapal Tempur Pesisir dengan harga RM6 bilion, di mana pembangkang mendakwa harganya terlalu tinggi. Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji untuk menjawab sepenuhnya dakwaan itu, di mana penganalisis pertahanan berkata ia menunjukkan kejahilan mengenai jenis kapal laut yang berlainan dan peningkatan kos untuk membinanya.

Isu lain yang akan dibangkitkan oleh pembangkang ialah pengagihan ekuiti bumiputera, dengan setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mendesak agar mengumumkan penerima-penerima saham yang diperuntukkan berjumlah RM1.5 bilion pada tahun lalu. Saifuddin, ahli Parlimen PKR Machang berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban pengagihan skim itu.

Novel Interlok untuk pelajar tingkatan lima adalah satu lagi isu yang dijangka hangat pada sesi ini sungguhpun kerajaan telah mengatakan bahawa bahagian-bahagian yang dianggap oleh masyarakat India sensitif akan dipinda. Dua rang undang-undang utama akan dibentangkan, satu untuk menyelaras dan menentukan gaji minimum untuk pekerja sektor swasta dan satu lagi untuk memperluaskan "penerbitan" untuk memasukkan kandungan multimedia.

Pembangkang kini berjumlah 76 di Dewan Rakyat selepas anggota Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan keluar daripada PKR dan menjadi anggota Bebas. Gobalakrishnan memberikan tamparan hebat kepada penasihat PKR, Anwar, sebelum beliau meninggalkan parti itu.

Dengan empat anggota digantung, pembangkang akan hanya mempunyai 72 pada sesi Dewan Rakyat ini. Tetapi jumlah berkurangan itu tidak akan melenyapkan suara-suara mereka - memandangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.
- Bernama

Gelombang jingga tawan Tuaran

Antara ahli parti dan penduduk tempatan yang menyertai Temu Rapat KEADILAN Tuaran

Ratusan manusia yang lengkap berpakaian jingga mencetuskan fenomena baru dalam daerah Tuaran anjuran KEADILAN di cabang berkenaan.

Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Dr Natassia Sarah Mohd Danny berkata, pemakaian itu sebagai satu kaedah menyemarakkan program parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

“Program ini, kita namakan Temu Rapat PRU 13. Antara aktivitinya ialah pemakaian jingga di kalangan hadirin, pendaftaran pengundi baru, penyerahan Buku Jingga dan ucap tama Ketua Cabang KEADILAN Tuaran, Ansari Abdullah,” katanya kepada KeadilanDaily.

Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa AMK Tuaran.

Dr Natassia berharap program seumpama itu mampu membantu rakyat Sabah lebih memahami perjuangan KEADILAN, sekaligus mendapat maklumat lebih jelas dari pimpinan parti.

Program itu berlangsung pada 5 hingga 6 Mac itu menarik minat kira-kira 300 ahli parti, selain ratusan rakyat pelbagai kaum di negeri itu