KUALA LANGAT: Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani berkata tuduhan bahawa kerajaan Selangor ‘memunggah hasil’ tanah orang Asal di Kuala Langat sebagai satu pembohongan besar.
“Umno ini penipu, pembohong, pencacai. Dia buat isu ini, dia patut tunjukkan bukti” tegas Abdullah Sani kepada Keadilan Daily.
Beliau mengulas dakwaan Umno Barisan Nasional (BN) melalui akhbar Utusan Malaysia hari ini bahawa kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat, mengambil hasil tanah orang Asal di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat.
Akhbar utama Umno BN itu memuatkan laporan kononnya kerajaan Selangor menyerahkan Tanah Simpanan Sakai itu kepada ‘pihak ketiga’ tanpa pengetahuan 4,000 penduduk orang Asal berketurunan suku Temuan di situ.
Menyifatkan berita itu satu ‘penipuan berdasarkan ‘cakap-cakap orang’ tanpa menyelidiki kebenaran sebenar, kerajaan Selangor katanya tidak pernah mengambil tanah rakyat sesuka hati seperti dilaporkan.
“Dia (Utusan) patut tunjuk bukti. Kita tak pernah ambil walau satu inci pun tanah rakyat, kita lagi bagi (tanah) ada lah. Kalau betul, dah tentu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), polis atau badan-badan tertentu dah datang ketuk pintu rumah kami (kerajaan Selangor),” tambahnya.
Jelasnya lagi, Umno BN harus berdepan dengan kerajaan Selangor sebagai ‘anak jantan’, bukan dengan melakukan propaganda jahat di media.
“Mereka ini (Umno BN) kalau tak menipu, mereka tak boleh hidup. Sila berdepan kami sebagai anak jantan, bukan dengan menipu di media perdana,” katanya.
Justeru, Abdullah Sani berkata, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya Umno BN mengaitkan beliau dalam isu ini.
“Kalau dia sebut apa-apa berkaitan saya, saya tak akan teragak untuk saman mereka,” katanya.