Saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan supaya tempoh minimum penahanan pesalah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipendekkan kepada satu tahun berbanding dua tahun mendapat perhatian orang ramai.
Menurut Presiden Gerakan Mansuh ISA, Syed Ibrahim Syed Noh berkata syor tempoh tahanan ISA satu tahun tersebut merupakan saranan yang tidak rasional dan praktikal jika ianya diwujudkan juga.“Saya kira pertamanya, Dr. Mahathir adalah orang yang paling tidak layak sekarang untuk bercakap sama ada wajar atau tidak atau sama ada boleh dipendekkan atau tidak. “Bagi GMI, saranan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya ISA dimansuhkan adalah lebih munasabah dan berperikemanusiaan.
“Jadi bagi saya wajar satu tahun atau dua tahun bukan soalan dipersoalkannya tapi yang sebenarnya adalah wajarkah ISA ini diwujudkan atau pun tidak kerana bagi GMI sendiri seorang itu tidak boleh ditahan tanpa bicara walaupun satu hari,” katanya.Dalam pada itu beliau turut mengingatkan bahawa soal berapa hari pun tempoh tahanan seharusnya tidak dijadikan agenda pihak tertentu ekoran pada asasnya apa yang lebih penting ialah ruang perbicaraan diberikan kepada mereka yang ditahan.
“Jadi proses sekarang di bawah ISA tidak wujud wuang sama sekali jadi soal dua tahun, satu tahun atau pun enam tahun mahupun sebulan, bagi kita itu adalah soal praktikal bagi soal fundamental, soal asasnya adakah ruang perbicaraan diberikan kepada mereka yang ditahan.
“Sepatutnya ruang pembelaan, penahanan dan ruang keadilan itu juga diberikan kepada seseorang dan kalau didapati bersalah sebelum dibicarakan, maka ia layak dihukum tetapi selagi itu tidak berlaku, seseorang itu tidak dibolehkan biar ditahan walaupun satu hari,” katanya.Ibrahim menambah terdapat dua perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam hal ini iaitu soal keselamatan dan soal keadilan.
“Ada dua perkara penting di situ, soal keselamatan negara dan soal keadilan. Dalam soal keadilan ianya adalah sesuatu yang tinggilah dalam menentukan sesuatu undang-undang ataupun menentukan satu prosedur, proses dan sebagainya.
“Keadilan itu adalah tertinggi yang sebenarnya. Maknanya ianya tidak boleh digadaikan atas dasar untuk semata-mata atas isu keselamatan. Kalau pun kita membincangkan isu tentang keselamatan dan kestabilan negara, kita perlu melihat supaya peraturan dan undang-undang itu supaya ianya tidak memberikan atau menafikan hak keadilan dan juga hak seseorang,” katanya.Difahamkan setakat ini terdapat lebih daripada 17,000 rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan latar belakang telah dianiaya oleh akta ISA ini semenjak ianya diwujudkan.Sementara itu ketika diminta mengulas lanjut sama ada boleh ISA digantikan dengan perbicaraan mahkamah, beliau berkata di negara ini terdapat undang-undang penjenayah tertentu yang boleh memahami kes-kes keganasan.
Jelasnya, undang-undang ini seharusnya diberikan peluang untuk berdiri dengan sendiri.“Bagi kami kalau ISA hendak digantikan dengan perbicaraan sebenarnya boleh dan buat masa ini sebenarnya kita ada undang-undang criminal prosedur code yang boleh memahami kes-kes keganasan cumanya adakah kebijaksanaan di pihak peguam negara mahupun di pihak perundangan kita untuk menggunakan undang-undang yang sedia ada ini.
“Kalau ada political will pun dengan kehendak politiknya yang kuat, perkara ini boleh dilakukan tinggal lagi ianya tidak dibuat satu kajian yang betul dan terperinci untuk digunakan undang-undang sedia ada dan kemudian melepaskan atau memansuhkan ISA,” katanya. -TVA