GEORGETOWN [2.35 pm] - Parti Keadilan Rakyat (PKR) kecewa dengan sikap tidak bermuafakat Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkaitan isu Ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), Johari Kassim, sehingga membawa kepada pemecatannya, minggu lalu. Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim, berkata sebelum ini PKR pusat sudah membuat keputusan supaya Johari tidak dipecat kerana beliau menyesal dengan perbuatan memboikot majlis pelantikan Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd Jait, bulan lalu.
Malah, katanya, Johari juga sedia berjumpa dengan Ketua Menteri berhubung perkara itu, tetapi malangnya Guan Eng enggan bertemu dengan pemimpin PKR berkenaan. "Saya rasa ini satu sikap yang tidak bermuafakat. Malah, kalau kita mahu bersikap seperti Khalifah Umar Abdul Aziz seperti yang dilaung-laungkan, pemimpin Islam yang bersifat penuh belas kasihan dan adil, jika ada ada orang membuat kesilapan, kita harus bertolak ansur dan mahu mendengar bukannya ambil sikap tidak mahu berjumpa langsung.
"Ini bukan pandangan peribadi saya, ini pandangan ahli PKR sebab keputusan dibuat oleh kepimpinan parti. Ia bukan keputusan Ketua Umum atau Presiden tetapi keputusan bersama kepimpinan peringkat pusat dan negeri," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan