klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Rabu, 16 September 2009

Rakyat akan tolak parti bodoh sombong - Dr M

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Janji pembangunan dan perbuatan menabur wang tidak akan berkesan lagi apabila rakyat membenci parti yang bodoh sombong dan mengamalkan rasuah, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.Dalam apa yang dilihat sebagai respon segeranya terhadap sanggahan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu terhadap peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun semalam menulis mengenai "orang politik yang berpendapat jika dapat jadi Presiden parti maka kemenangan mereka dalam pilihan raya terjamin".
Walaupun tidak menyebut nama Samy Vellu, tulisan terbaru Dr Mahathir dalam blognya dilihat sebagai ditujukan kepada bekas Menteri Kerja Raya itu.Sebelum itu, Samy Vellu membidas peringatan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-63 Sabtu lalu.
"Perdana Menteri cakap, bila popular di dalam parti sahaja tak mencukupi. Perlu popular di kalangan rakyat juga."Biar saya cakap ini. Kalau popular di dalam parti baru anda bercakap di luar, dengan rakyat. Kalau tak, mereka akan tanya, siapa kamu?" kata beliau.
Dalam responnya itu, Dr Mahathir mendedahkan, orang politik yang percaya kedudukan sebagai presiden parti akan menjamin kemenangan pilihan raya itu "berusaha untuk menentukan kemenangan mereka melalui penyingkiran ahli yang tidak menyokong mereka, mengguna wang untuk membeli sokongan atau mengguna apa-apa kuasa yang ada pada mereka untuk menyogok, menjanji sesuatu kepada yang akan menyokong atau mengugut".
Hasilnya, kata bekas Presiden Umno itu, mereka menang dalam parti."Tetapi rakyat memerhati segala tindak-tanduk pemimpin dan ahli seperti ini."Apabila rakyat lihat perjuangan parti bukan lagi untuk rakyat; apabila mereka lihat rasuah dan ugutan yang menentukan kepimpinan, maka kepercayaan kepada parti dan pemimpinnya akan terhakis dan mungkin hilang lenyap," katanya.Beliau mengingatkan, apabila pilihan raya umum diadakan maka rakyat dan ahli-ahli parti sebagai pengundi akan menyatakan kekecewaan mereka walaupun mereka tidak dapat membuat apa-apa terutama apabila mulut mereka tertutup.
Perkara itulah yang telah berlaku pada Pilihanraya Umum ke 12 pada 8 Mac tahun lalu, katanya."Apakah kekecewaan rakyat disedari oleh pemimpin dan parti-parti politik. Hingga kini tidak ternampak yang parti dan pemimpin sudah betul-betul sedar."Yang merebut jawatan masih merebut dengan penggunaan cara-cara lama. Pembersihan parti tidak juga dilakukan. Pengamal politik wang masih diterima dan diberi tempat."Ahli-ahli biasa parti tidak memprotes sikap lama diteruskan. Bahkan ramai juga ahli yang berpendapat apa salahnya menabur wang. Mereka juga akan dapat sedikit habuan," kata Dr Mahathir.
Bekas Pengerusi BN itu mengingatkan bahawa kelebihan undi sedikit sahaja kepada parti lawan akan menyebabkan kekalahan.Dr Mahathir bagaimanapun tidak mengulas luahan kemarahan seorang perwakilan perhimpunan MIC itu yang mahu mengalungkan selipar pada gambarnya.
Seolah-olah membela tindakan itu, anak lelaki Samy Vellu, Vell Paari berkata, tindakan itu adalah semata-mata luahan kekecewaan terhadap Dr Mahathir dan pihak-pihak lain yang cuba campur tangan dalam urusan dalaman MIC.
Apa yang disifatkan sebagai luahan kekecewaan oleh Vell Paari itu berpunca dari pandangan Dr Mahathir sebelum itu.Ketika diwawancara akhbar Tamil, Makkal Osai, Dr Mahathir berkata, masyarakat India mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum lalu kerana marahkan Samy Vellu."Jika masyarakat India mahu kemajuan dan melangkah ke hadapan, mereka mesti singkirkan Samy Vellu," katanya.
Vell Paari juga mengulas kenyataan Najib yang dibidas ayahnya."Para perwakilan juga kecewa dengan ucapan (perasmian) Najib yang tersirat kritikan terhadap Presiden MIC dan menggesa dilakukan perubahan di dalam parti, seolah-olah beliau mahu pasukan presiden dikalahkan," katanya.Kecaman perwakilan MIC terhadap Dr Mahathir itu bukanlah kecaman pertama kali dari dalam BN terhadapnya.Tiga tahun lalu, Dr Mahathir pernah merungut terhadap penghinaan dan sekatan Umno terhadapnya.
"Ada yang panggil saya beruk, ada panggil iblis, ini budaya Umno yang baru".
Beliau juga berkata: "Yang itu (sekatan) lebih pelik, lebih menghina saya bahkan jadikan saya pariah dalam Umno. Saya bekas Presiden jadi pariah dalam Umno".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan