klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Selasa, 12 Januari 2010

GMI bantah guna ISA isu serang gereja

Kerajaan perlu menyiasat serangan ke atas gereja dengan teliti bagi membolehkan pelakunya didakwa di mahkamah, dan bukannya menahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata NGO.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) berkata jenayah yang dilakukan, termasuk cubaan membakar dan merosakkan rumah ibadat, mencukupi didakwa bawah Kanun Acara Jenayah.

Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh menambah, ISA tidak akan membantu menyelesaikan "masalah" kerana tiada siasatan rapi dan mereka yang ditahan belum pasti pihak yang bertangungjawab.

"ISA cara yang sangat mudah dengan menahan sesiapa saja tanpa bukti dan juga tanpa perbicaraan.

"Jadi bagaimana untuk tentukan orang yang ditahan itu benar-benar bersalah?" katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Siasatan polis kena terperinci dan pastikan supaya dapat menahan dan bicarakan (pelaku).

"Pada masa sama kerajaan kena pastikan ketenangan di kalangan masyarakat dengan mengadakan dialog antara ulama dan ketua-ketua agama."

Beliau diminta mengulas gesaan banyak pihak agar kerajaan menggunakan ISA selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberikan amaran untuk berbuat demikian susulan insiden merosakkan rumah ibadat Kristian, sejak Jumaat lalu.

Syed Ibrahim juga berkata, akta kontroversi itu - yang membenarkan tahanan tanpa perbicaraan selama 60 hari sebelum dibawa ke kem tahanan selama dua tahun - mudah untuk disalahgunakan.

"Penggunaan ISA ini terlalu wewenang kerana tidak perlu dikemukakan bukti, jadi ia terbuka luas untuk disalahgunakan," katanya lagi.

Tambahnya, penahanan bawah ISA juga bukan merupakan langkah terbaik untuk menyelesaikan kes-kes berkenaan, malah memburukkan lagi keadaan.

"Sudahlah orang itu ditahan tanpa bukti, kita tambah lagi kezaliman. Kita akan rasa sudah selesaikan masalah itu tapi tidak ada kepastian," kata Syed Ibrahim.

Mengulas isu sama, Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) juga penolak penahanan bawah akta ISA.

"ISA tidak berfungsi (untuk menyelesaikan isu). Mereka sepatutnya didakwa di mahkamah terbuka. Jika tidak, masalah tidak akan diselesaikan," kata presidennya Dr Thomas Philips.

"Dalam keadaan biasa, kita (Islam dan Kristian) tidak ada masalah antara satu sama lain tetapi dalam setiap masyarakat pasti ada orang-orang yang ekstrem.

"Mereka tidak boleh dibiarkan menjadi suara majoriti," katanya ketika dihubungi hari ini.
- malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan