klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Sabtu, 30 Januari 2010

memorandum kepada suhakam

MEMORANDUM

BERHUBUNG PENINGKATAN KEJADIAN YANG MENYUBURKAN KETEGANGAN AGAMA DALAM MASYARAKAT.

KEJADIAN SERANGAN PROVOKASI TERHADAP RUMAH IBADAT DI MALAYSIA ADALAH PENCABULAN HAK ASASI YANG SERIUS!

MENYERU SUHAKAM MENGAMBIL TINDAKAN SEGERA UNTUK MENANGANI ISU TERSEBUT!

Keputusan mahkamah berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh suratkhabar Herald Tribune telah mencetuskan pelbagai reaksi dari masyarakat. Kesan yang paling membimbangkan rentetan daripada keputusan mahkamah tersebut adalah berlakunya beberapa kejadian yang tidak diingini yang melibatkan rumah-rumah ibadat di Malaysia. Tindakan ini disyaki dilakukan oleh ejen-ejen provokator dengan tujuan menggugat keamanan serta keharmonian rakyat Malaysia. Senarai kejadian yang berlaku adalah seperti yang berikut:

  1. Gereja Metro Tabernacle (Assemblies of God) di Desa Melawati – molotov cocktail merosakkan sebahagian daripada gereja. (8 Jan)
  2. Gereja Assumption (Catholic) di Jalan Templar – molotov cocktail dicampak ke perkarangan gereja dan gagal meletup. (8 Jan)
  3. Life Chapel (evangelical Brethren) di Section 17, PJ – molotov cocktail merosakkan bahagian anjung gereja. (8 Jan)
  4. Gereja Good Shepherd (Lutheran) di PJ – bom api nyaris terkena tingkap, dan membakar tingkap. (8 Jan)
  5. Surau di Taman Menara Maju in Jalan Kampung Jawa, Klang – pintu berkecai. (laporan polis dibuat pada 9 Jan)
  6. Gereja All Saints (Anglican) di Taiping –Dua molotov cocktails membakar tangga menghala ke pintu masuk dan anjung tepi. (9 Jan)
  7. Sekolah Convent (Catholic) di Taiping – molotov cocktail, pecah masuk rumah pengawal keselamatan. (9 Jan)
  8. Gereja Baptist Melaka (Baptist) di Durian Daun – dikotori oleh cat hitam. (9 Jan)
  9. Gereja Good Shepherd (Anglican) di Lutong, Miri – batu dibaling dan menyebabkan kaca tingkap berkecai. (9 Jan)
  10. Gereja Sidang Injil Borneo (Borneo Evangelical Mission) in Seremban – pintu hadapan terbakar. (10 Jan)
  11. Gurdwara Sahib (Sikh) di Sentul – batu dibaling, cermin di pintu masuk retak dan dinding dipecahkan. (12 Jan)
  12. Gereja St Elizabeth (Katolik) di Kota Kecil, Johor – cat merah dibaling, mengotorkan pagar utama, dinding dan patung. (14 Jan)
  13. Gereja Grace Global Prayer di Rasah, Seremban – dua tingkap kasa dijumpai pecah. (15 Jan)
  14. Masjid di Kota Samarahan, Sarawak – serpihan kaca dijumpai di dinding luar. (16 Jan)
  15. Surau Sirratulrahim di Kampung Sabak Awor, Muar – api memusnahkan langsir, tingkap pecah. (21 Jan)
  16. Surau di Parit Beting, Muar – api memusnahkan bahagian solat untuk wanita. (21 Jan)

Kejadian terbaru yang berlaku di Masjid Jumhuriyah di Taman Dato’ Haron dan Masjid Al Imam At Tirmizi di Taman Seri Sentosa di mana dua kepala babi hutan telah ditemui berdekatan dengan pagar premis tersebut menunjukkan pihak yang bertanggungjawab masih bebas dan boleh meneruskan serangan provokasi terhadap masyarakat pada masa hadapan. Jikalau serangan mencetus provokasi sebegini tidak ditangani, adalah dibimbangi ianya akan menyebabkan kejadian yang jauh lebih serius termasuklah kehilangan jiwa mana-mana rakyat jelata.


Menyedari bahawa ancaman sebegini akan mendatangkan masalah kepada masyarakat demokratik kita yang rapuh, serta menyedari kesannya yang menganggu gugat dan mencabul hak asasi rakyat Malaysia, memorandum ini dihantar atas dasar-dasar yang berikut:

  1. Serangan terhadap rumah ibadat merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia ke atas rakyat Malaysia kerana ianya menghalang rakyat dari mengamalkan kepercayaan masing-masing secara bebas, tanpa sebarang ancaman dari ejen provokator yang berkepentingan peribadi. Kebebasan beragama tidak hanya tertumpu pada kebebasan untuk menganuti dan mengamalkan kepercayaan masing-masing malahan ia merangkumi jaminan bahawa tempat ibadat turut dihormati dan dilindungi.
  1. Walaupun kita menghormati dan mengiktiraf kebebasan bersuara rakyat Malaysia, serangan provokasi yang berlaku adalah satu bentuk penyalahgunaan kebebasan bersuara yang boleh mengorbankan hak orang lain. Ini dilarang sama sekali oleh Perkara 29 Universal Declaration of Human Rights (UDHR) 1948 iaitu:

      “…In the exercise of his rights and freedoms, everyone shall be subject only to such limitations as are determined by law solely for the purpose of securing due recognition and respect for the rights and freedoms of others and of meeting the just requirements of morality, public order and the general welfare in a democratic society.”

  1. Penggunaan keganasan dengan tidak menghormati agama atau kepercayaan rakyat adalah antitesis kepada prinsip hak asasi manusia yang menentang unsur-unsur yang tidak toleran seperti perkauman dan komunalisme. Serangan provokasi yang berlaku akan mengancam dan melemahkan institusi demokratik negara dan meracuni budaya hormat kepada hak asasi manusia.

Justeru, kami menyeru SUHAKAM agar memandang serius perkara ini memandangkan SUHAKAM diberi mandat untuk menangani isu hak asasi manusia di Malaysia menerusi Seksyen 4(i) Akta SUHAKAM 1999. Adalah mengecewakan kerana SUHAKAM tidak lantang dan ke hadapan dalam menangani isu serangan terhadap toleransi keagamaan, komunalisme dan perkauman dan menganggap ianya sebagai satu bentuk isu hak asasi manusia yang penting kepada rakyat Malaysia.

Keputusan International Coordinating Committee untuk mengekalkan gred “A” SUHAKAM harus meningkatkan komitmen SUHAKAM untuk menangani pencabulan hak asasi yang serius di Malaysia dan ini termasuklah isu berkaitan perkauman dan keagamaan. Atas dasar inilah kami mengusulkan agar SUHAKAM mengambil tindakan yang berikut :

  1. SUHAKAM wajar mengadakan satu Siasatan Awam ke atas serangan provokasi terhadap tempat ibadat bagi menyiasat punca masalah dan mencari penyelesaian serta mekanisme untuk mengatasi masalah ini dari sudut hak asasi manusia.
  1. SUHAKAM wajar menyeru kerajaan agar memperkenalkan suatu undang-undang yang dapat mengekang sebarang cubaan untuk membuat provokasi berbentuk perkauman dan keagamaan. Walau bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian kami mengenai penggunaan undang-undang seperti ISA dan Ordinan Darurat oleh kerajaan, yang menghalalkan tangkapan sewenang-wenangnya serta penahanan tanpa bicara, adalah disyorkan agar undang-undang tersebut diselaraskan dengan prinsip keadilan asasi dan kedaulatan undang-undang.
  1. SUHAKAM, bersama-sama dengan agensi penguatkuasaan lain di Negara ini haru memantau cubaan di peringkat akar umbi untuk menyebarkan semangat perkauman dan ketiadaan toleransi agama oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, bagi memelihara keharmonian antara kaum dan agama dalam masyarakat. Selain itu, penilaian impak harus dijalankan oleh SUHAKAM bagi menilai sejauhmana isu ini menggugat hak asasi, kesejahteraan masyarakat serta integriti dan perpaduan nasional.
  1. SUHAKAM seharusnya menggesa kerajaan untuk meratifikasi International Covenant on Civil Political Rights (ICCPR), International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR), Convention on Elimination of Racial Discrimination (CERD) dan memenuhi obligasi serta komitmennya kepada standard hak asasi manusia antarabangsa. Kejadian yang berlaku harus menjadi ingatan kepada SUHAKAM dan kerajaan tentang betapa perlunya kerajaan menghormati hak asasi manusia sebagai satu langkah untuk memulihkan keyakinan awam bahawa mereka tidak akan diancam dan dimangsai oleh pencetus kekecohan pada masa hadapan.

Kami berpendapat tindakan SUHAKAM berdiam diri dalam isu hak asasi yang berkaitan dengan masalah berbentuk keagamaan dan perkauman adalah tidak wajar. Adalah amat memalukan bilamana Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di negara lain lebih kehadapan dalam menangani isu keganasan dan diskriminasi yang berlaku kerana tiadanya toleransi agama dan kaum. Kami benar-benar percaya masanya telah tiba untuk SUHAKAM mengotakan apa yang dikata dan memainkan peranannya dengan berkesan. Kejadian yang berlaku haruslah menjadi pemangkin untuk SUHAKAM turun ke akar umbi bagi mengatasi masalah ini dari sudut pandangan hak asasi manusia.

MEMORANDUM DIKEMUKAKAN OLEH:

YB NURUL IZZAH ANWAR

YB USTAZ MUJAHID YUSUF RAWA

YB TIAN CHUA

YB JANICE LEE

YB NIK NAZMI NIK AHMAD

YB HANNAH YEOH

YB AMIRUDDIN SHAARI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan