Kenyataan media
ANGKATAN MUDA KEADILAN NEGERI TERENGGANU
SIRI DIALOG RAKYAT DIDAHULUKAN
AMK Terengganu undang Pemuda UMNO Terengganu dan ADUN Teluk Pasu berdialog isu 22 buah rumah rakyat di Kg. Banggol Donas bakal dirobohkan bagi pembinaan jalan Kg. Jeram ke Kg. Banggol Tuan Muda oleh Syarikat MZ Hakujaya Sdn. Bhd.
AMK Negeri Terengganu bersedia menganjurkan SIRI DIALOG RAKYAT DIDAHULUKAN bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan, kebajikan dan kecaknaan terhadap rakyat negeri Terengganu.
AMK Negeri Terengganu mengambil respon POSITIF terhadap kenyataan Ketua Pemuda UMNO Sdr. Saiful Bahri Baharuddin dalam Sinar Harian bertarikh 22 Febuari 2010 yang menolak perdebatan tetapi mengambil sikap bersedia untuk mengadakan dialog atau perbincangan berkaitan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat . Justeru atas prinsip kepentingan rakyat Terengganu , justeru AMK Negeri Terengganu menyahut saranan Sdr Ketua Pemuda UMNO Terengganu mengadakan dialog bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat .
Sehubungan itu AMK Negeri Terengganu mengundang Pemuda UMNO Negeri Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Teluk Pasu berdialog berkaitan isu projek runding terus pembinaan jalan Kg. Jeram ke Kg. Banggol Tuan Muda , DUN Teluk Pasu oleh pihak kerajaan negeri Terengganu melalui syarikat MZ Hakujaya Sdn. Bhd yang bakal melibatkan 22 buah rumah rakyat di Kg. Banggol Donas yang bakal dirobohkan .
ISU PROJEK PEMBINAAN JALAN KG JERAM KE KG BANGGOL TUAN MUDA
Projek runding terus peruntukan Dana Khas tersebut yang melibatkan kos RM226 juta iaitu pembinaan jalan dari Kg. Jeram ke Kg. Tok Kong dan Kg. Jeram ke Kg. Banggol Tuan Muda oleh Syarikat MZ Hakujaya Sdn. Bhd yang turut melibatkan kepentingan Sdr. Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu dalam syarikat tersebut .
Projek pembinaan jalan Kg. Jeram ke Kg. Banggol Tuan Muda oleh Syarikat MZ Hakujaya Sdn. Bhd yang melibat 22 buah rumah rakyat di Kg. Banggol Donas bakal dirobohkan , sedangkan beberapa tindakan bantahan telah dilakukan oleh para penduduk sejak tahun 2008 lagi.
Adalah amat mengecewakan tiada sebarang tindakan oleh pihak kerajaan UMNO/BN Terengganu serta ADUN Teluk Pasu untuk mengadakan dialog bersama para penduduk sehingga sekarang , serta mengambil tindakan positif walaupun surat-surat bantahan telah dihantar kepada YAB Menteri Besar Terengganu , Ketua Pengarah JKR Malaysia , Pengarah JKR Negeri Terengganu dan Pengarah UPEN Terengganu .
Adalah amat sangat tidak relevan tindakan rekabentuk atau plan pembinaan jalan Kg. Jeram ke Kg. Banggol Tuan Muda DILENCONGKAN bakal melibatkan 22 buah rumah rakyat dirobohkan , sedangkan rekabentuk atau plan pembinaan jalan tersebut boleh DILURUSKAN tanpa melibatkan rumah rakyat . Kebiasaan pembinaan jalan baru , semestinya mengelak dari melibatkan bangunan rumah kediaman tetapi kes ini ianya melencong dan melibatkan rumah rakyat di Kg. Banggol Donas . Adalah difahamkan bahawa ianya direka sedemikian rupa bagi memenuhi kepentingan pihak tertentu dan dengan persetujuan JKKK Kg Banggol Donas . Benarkah status tanah yang dimiliki oleh ‘orang kuat’ JKKK Kg. Banggol Donas telah ditukar ke status bangunan daripada status pertanian ? Pampasan status tanah bangunan adalah berbeza dengan pampasan satus tanah pertanian.
AMK Negeri Terengganu membantah tindakan beberapa individu termasuk AJK JKKK Kg. Banggol Donas memujuk beberapa penduduk kampung bersetuju dengan tawaran syarikat kontraktor iaitu projek dilaksanakan dahulu dan pampasan dibayar kemudian . Pihak syarikat kontraktor ( MZ Hakujaya SB ) terlalu ghairah untuk melaksanakan projek bernilai rm226 juta tersebut , membawa masuk juruukur serta melantik Syarikat Kumpulan Ikram Sdn. Bhd bagi menjalankan “Soil Investigation” sedangkan ianya melanggar peraturan dan undang-undang di mana juruukur dan pekerja “soil Investigation” gagal menunjukkan surat kuasanya dalam Borang B sepertimana diperuntukkan Seksyen 5 Kuasa Memasuki dan Mengukur .
AMK Negeri Terengganu kecewa dengan kenyataan YB ADUN Teluk Pasu , YB Datuk Abdul Rahin Mohd. Said dalam Sinar Harian bertarikh 31 Januari 2010 . Beliau menyatakan “ saya berterima kasih kepada penduduk kerana membenarkan kerja pembinaan dijalankan walaupun proses pengambilan tanah belum selesai “. Kenyataan beliau terbukti jelas tidak bertanggungjawab dan berbohong sedangkan pihak para penduduk tidak pernah menyatakan sebarang persetujuan dan malah mengambil sikap membantah .
Kenyataan ADUN Teluk Pasu membuktikan proses pengambilan tanah tidak mematuhi undang-undang dan prosedur pengambilan tanah dan pihak pemilik tanah tidak pernah menerima NOTIS PERMULAAN sepertimana peruntukan di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 ( Akta 486 ) iaitu pemilik tanah tidak pernah menerima suatu pemberitahuan dalam “Borang A”.
Bagaimana kerja-kerja pembinaan boleh dijalankan sedangkan proses pengambilan tanah serta pampasan masih belum diselesaikan? Adakah timbul amalan rasuah sehingga pihak ADUN Teluk Pasu boleh mengeluarkan kenyataan tersebut yang jelas adalah bertentangan dengan Artikel 13 Perlembagaan Malaysia yang menjamin pemilik tanah mendapatkan pampasan secukupnya sebelum tanah mereka digunakan .
Justeru atas dasar kecaknaan dan kepentingan rakyat , AMK Negeri Terengganu menyerahkan kepada Pemuda UMNO Negeri Terengganu dan ADUN Teluk Pasu bagi menetapkan tarikh dan tempat bagi mengadakan dialog tersebut. Diharapkan Pemuda UMNO dan ADUN Teluk Pasu jangan berdolak dalik dan bersetuju dengan “Siri Dialog Rakyat Didahulukan” bagi membincangkan isu tersebut.
AMK Negeri Terengganu memberikan tempoh 7 ( Tujuh ) hari kepada pihak Pemuda UMNO Negeri Terengganu dan ADUN Teluk Pasu untuk menjawab pelawaan undangan dialog tersebut. Sekiranya tiada jawapan pihak AMK Negeri Terengganu akan menentukan tarikh dan tempat bagi dialog tersebut yang akan diadakan di Kg. Banggol Donas dan menjemput Sdr. Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu dan YB ADUN Teluk Pasu ke majlis dialog tersebut .
Sekian. Terima kasih
FARIZ MUSA
Ketua AMK Negeri Terengganu
1 April 2010
salam,
BalasPadamapa perkembangan terkini menganai isu diatas..
saya baru dilaporkan bahawa ada lori sudah mula menambun tanah pada tanah orang kampung walaupun proses pengambil alihan tanah masih belum dibuat..
harap tuan dapat "lihat lihat"..
sekian terima kasih